Status Tian Chua diputuskan minggu depan – Speaker 21/06/2011 7:15pm KUALA LUMPUR 21 Jun – Parlimen akan memutuskan status Ahli Parlimen Batu, Tian Chua minggu depan, selepas meneliti semua aspek termasuk keputusan mahkamah dalam kes Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat itu, kata Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia. "Parlimen juga secara rasmi berhubung dengan penasihat undang-undang negara untuk memberi pandangan kepada kita tentang apa yang perlu kita buat, dan pada minggu depan saya akan buat perintah terhadap perkara ini,” katanya selepas sesi soal jawab berakhir pada persidangan Dewan Rakyat hari ini. Terdahulu, Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali menggesa Dewan Rakyat memutuskan dengan segera status Tian Chua, yang didapati bersalah menggigit tangan seorang anggota polis ketika ditangkap dalam satu protes berhampiran Bangunan Parlimen pada 2007. Tian Chua dihukum penjara enam bulan dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret pada Oktober 2009. Bagaimanapun, pada Jun tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ghazali Cha, yang menolak rayuan Tian Chua berhubung sabitan itu, meringankan hukumannya kepada penjara dua bulan dan denda RM2,000 bagi mengelak pilihan raya kecil diadakan. – Bernama
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
|
No comments:
Post a Comment