Hadi kecam UMNO habis-habisan
KUALA LUMPUR 3 Jun - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjadikan peluang menyampaikan ucapan dasarnya pada Muktamar Tahunan Pas Ke-57 untuk menyerang kerajaan Barisan Nasional (BN) dan UMNO habis-habisan.
Dalam ucapan lebih sejam itu, Abdul Hadi menuduh BN mengamalkan pemerintahan zalim dan mendakwa UMNO menjadi punca kepada pelbagai masalah yang dihadapi oleh rakyat negara ini.
Turut menjadi mangsa kecaman beliau ialah golongan ulama yang menyebelahi UMNO dengan menganggap mereka tidak mampu menterjemah kefahaman Islam dengan ilmu dalam memahami politik semasa akibat dilahirkan melalui sistem pendidikan Islam yang lemah.
Abdul Hadi yang menyampaikan ucapan bertemakan 'Membangun Negara Berkebajikan' mendakwa, Pas bertanggungjawab untuk membersihkan bidang politik dari perilaku dan gejala politik jijik, fitnah dan perkauman sempit yang diamalkan oleh UMNO dan BN.
"Pas mesti mengambil peranan dan amalan politik, 'Matlamat Menghalalkan Cara' seolah-olah adalah bebas dari ketentuan dan bimbingan syariah Allah SWT," katanya.
Mengenai kerjasama Pas dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP yang ramai melihat Pas hanya menjadi 'kuda tunggangan', Abdul Hadi mempertahankan kerjasama tersebut dengan menganggap ia sebahagian daripada fekah politik Islam.
Menurut Abdul Hadi, konsep kerjasama itu wajib dipelajari oleh pimpinan Pas dan diperkenalkan kepada masyarakat.
Ini kata beliau bagi membolehkan mereka memahami perbezaan kerjasama Pas dalam Pakatan Rakyat, dengan kerjasama wala' antara UMNO dan BN yang dituduh beliau mengorbankan prinsip dan menghilangkan jati diri Islam daripada bangsa Melayu yang beragama Islam, seterusnya menghanyutkan Islam yang sebenar.
Mengulas mengenai konsep negara berkebajikan, Presiden Pas itu yang sama sekali tidak menyebut mengenai penubuhan negara Islam berkata, parti tersebut wajib menghapuskan budaya mendapat hasil secara membebankan rakyat yang didakwa beliau menjadi amalan kerajaan UMNO dan BN.
Abdul Hadi juga menuduh UMNO dan BN melemah dan mematikan sifat menggalakkan wujudnya masyarakat berkebajikan dengan sifat persaudaraan kemanusiaan dan kejiranan untuk melakukan kerja kebajikan sehingga mendahulu kerajaan untuk mendapat pahala.
"UMNO dan BN telah mematikan sifat tersebut (seperti) amalan wakaf bagi mendirikan masjid, sekolah rakyat, rumah kebajikan dan sebagainya, semata-mata bagi melaksanakan peluang rasuah politik terhadap rakyat," dakwanya.
Beliau seterusnya menyerang UMNO dengan menuduh parti itu 'dibarahi' penyakit warisan penjajah yang memisahkan amanah memerintah daripada perhitungan agama.
"Akibatnya amanah yang besar ini dijadikan peluang kebendaan bagi menyuburkan perbuatan rasuah dan khianat," katanya.
Selain itu, isu video seks yang didakwa melibatkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, langsung tidak disentuh oleh Abdul Hadi walaupun ramai yang menanti pendirian sebenar parti itu.
Sebaliknya, Abdul Hadi mendakwa, UMNO dan BN telah mencemarkan kemurnian politik melalui tindakan politik wang, fitnah, sikap perkauman sempit dan pembohongan.
Beliau juga mendakwa, orang Melayu sebagai teras politik dalam negara ini semakin hari semakin lemah jati diri kerana lemah kefahaman Islamnya.
"Di masa yang sama UMNO sekadar mengekalkan kuasa mereka dan bukannya memartabatkan Melayu dengan Islam kerana Melayu UMNO tetap menyokong BN walaupun di kawasan Pas bertanding menentang calon MCA dan MIC," katanya.
Abdul Hadi juga mengkritik pengurusan ekonomi negara yang dianggap tidak mengambil kerangka dan asas pemikiran seperti dianjurkan Islam, sebaliknya mendakwa ia diurus tadbir hanya untuk kepentingan kelompok tertentu yang ada hubungan dengan elit politik kerajaaan BN
No comments:
Post a Comment