SPR keliru tindakan penganjur BERSIH
2011/06/19
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) keliru dengan tindakan penganjur perhimpunan BERSIH 2.0 yang tetap berkeras mahu meneruskan aktiviti itu seperti dijadualkan 9 Julai ini kononnya bagi menuntut pilihan raya bersih dan adil di negara ini. Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata penganjur perhimpunan itu, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) sebelum ini sudah diberikan penjelasan mengenai perjalanan pilihan raya di negara ini dan persetujuan mengenai beberapa perkara juga sudah dicapai.Katanya, pada sesi pertemuan SPR dengan BERSIH 2.0 hujung tahun lalu, organisasi itu tahu sudah ada tuntutan mereka yang diterima, diubah suai dan sesetengah yang lain terpaksa ditolak kerana hal Perlembagaan.“Bukan semua tuntutan BERSIH dapat ditunaikan kerana sesetengah perkara memerlukan pindaan Perlembagaan. Contohnya supaya usia pemilih diturunkan daripada 21 tahun kepada 18 tahun... sudah pasti tak dapat dipenuhi kerana ia bukan bidang kuasa SPR, sebaliknya memerlukan pindaan Perlembagaan di Dewan Rakyat.
“Kita juga sedang berusaha memperbaiki sistem pengundian pos malah setiap hari membuat semakan daftar pemilih dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi memastikan tiada masalah senarai pengundi. Ada beberapa tuntutan BERSIH seperti tempoh berkempen dan undi pos sudah kita ubah suai dan dipersetujui bersama.
“Contoh lain, mereka minta tempoh kempen pilihan raya dipanjangkan, kita sedia memberikan minimum tujuh hari atau lebih, tetapi SPR juga perlu adil kerana ada parti politik kecil merayu tempoh berkempen tidak terlalu panjang,” katanya ketika dihubungi Berita Minggu, semalam.
Abdul Aziz berkata, dakwaan SPR menggunakan taktik kotor dengan memenangkan parti kerajaan pada setiap kali pilihan raya adalah tidak benar sama sekali serta tohmahan berniat jahat untuk memburukkan nama suruhanjaya itu sebagai badan bebas di negara ini
No comments:
Post a Comment