Wednesday, June 15, 2011

PRU 13, WAJARKAH TEMPOH MAKSIMUM 5 TAHUN ?

Maksimumkan tempoh mandat

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my
KETIKA pakatan pembangkang tidak sabar-sabar mencetuskan polemik tarikh Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13, menteri paling senior dalam Kabinet, Datuk Seri Dr. Rais Yatim merungkaikan satu isu yang dianggap beliau harus direnungkan bersama.

"Paling ketara adalah isu ekonomi, perut dan cari makan. Selagi BN berupaya mententeramkan tahap kenaikan harga barang, selama itu rakyat akan berpihak kepada BN.

"Tapi ini juga berkaitan kemampuan kerajaan untuk pastikan subsidi tertanggung dan boleh ditanggung hari ini iaitu RM20 bilion oleh kerajaan kita. Alhamdulilah, ada Petronas, kalau tidak, tentu agak membebankan," kata beliau.

Rais, 69, berada dalam kerajaan selama empat dekad dan bekerja di bawah lima Perdana Menteri dari era Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein sehinggalah memegang portfolio Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan ketika ini di bawah pentadbiran anak sulung Perdana Menteri kedua itu, Datuk Seri Najib.

Bercakap kepada Utusan Malaysia di khutub khanah pejabat kementerian di Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur kelmarin, Rais menyatakan: "Saya memang menerima hujah semua isu mempengaruhi undi tetapi perkara remeh tak membawa banyak perubahan sebab ia dialami dan disentuh oleh segelintir masyarakat sahaja.

"Tapi bila sampai ke tahap harga yang naik terus menerus di luar kawalan, maka ia takkan menguntungkan kerajaan. Jadi, mahu tak mahu daripada suri rumah ke peniaga, soal harga barang menjadi isu besar kepada mereka. Kita kena berusaha ke arah itu dengan menstabilkan harga dan tetapkan harga di tahap membantu rakyat," kata beliau.

Rais mengibaratkan PRU ke-13 sebagai penentu paling grafik dan jelas kepada masyarakat dan negara kerana buat pertama kali BN yang bertulang belakangkan UMNO hanya mempunyai tenaga majoriti mudah - tidak dengan majoriti dua pertiga.

Justeru, ia satu titik permulaan psikologi yang dipandang negatif oleh sesetengah pihak yang menentukan setakat mana orang Melayu dan bumiputera mengenal akan hak-hak dan kepentingan kaumnya lebih daripada rakan-rakannya dari kalangan kaum India dan Tionghua.

"Sebabnya ialah orang Melayu yang selama ini lebih ke depan dalam politik negara secara bersekutu pada masa ini sendiri berpecah dua dalam bahagian besar dan berpecah tiga apabila dikira UMNO, Pas dan PKR. Yang ketiga ialah penentuan kepemimpinan yang mampu menjadi pemimpin kuat kepada kaum-kaum.

"Semuanya ini diselia oleh Perdana Menteri, walaupun kita yakin beliau akan membawa kepada 'situasi menang-menang' tapi beliau kena dapatkan sokongan orang Melayu lebih daripada biasa. Dari situ pentingnya kita membuat ujian kepada persoalan bolehkah BN mendapat dua pertiga kerusi.

"Jika tahun ini dibuat PRU, maka sukar untuk kita mencapai dalam bentuk biasa yang memerlukan sedikit masa untuk Gagasan 1Malaysia bercambah. Percambahan itu memerlukan sentuhan hidup, yakni faedah kepada masyarakat," kata beliau.

Dan akhir sekali yang harus ditentukan ialah sama ada kontrak sosial yang wujud dalam Perlembagaan itu menjadi kekal ataupun tidak dalam beberapa situasi penentuan.

"Dengan semua inilah PRU Ke-13 sangat penting kepada orang Melayu dan bumiputera," kata Rais.

Rais percaya jika Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat dalam tahun ini, pakatan pembangkang yang menguasai Pulau Pinang, Kelantan, Selangor dan Kedah pastinya tidak akan menyertai pilihan raya peringkat Pusat. Mereka memiliki hak sedemikian.

Maka dengan itu, ia satu faktor yang perlu difikirkan oleh BN kerana semasa PRU, pembangkang akan bebas membuat gerak kerja di luar dugaan.

"Jadi, jalan keluar paling praktikal ialah memaksimumkan tempoh PRU, jadi mereka tak ada pilihan, semua boleh keluar untuk berkempen. Dan tarikhnya ialah pada tahun 2013," kata beliau sambil menaruh keyakinan tinggi penguasaan kembali BN ke atas Kedah dan Selangor.

Mengulas satu persatu kedudukan parti-parti pembangkang dan kaum tertentu, Rais mempunyai pandangan berikut:

* PKR - Potensinya sudah berkecai dari sudut realiti. Struktur parti itu sendiri yang meliputi pucuk pimpinan atau orang paling berpengaruh seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, sahsiahnya 50:50. Walaupun dikatakan 'berkarisma' dan sebagainya tetapi perjuangan Anwar tampak kepada hala-hala yang dipersoalkan, justeru tidak membantu PKR.

Malah, PKR sudah hilang 15 pemimpin utama daripada Ahli Parlimen sehinggalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). PKR sebenarnya bersandarkan nasib kepada Pas dan DAP. Apabila Pas dan PKR bersatu, 55 peratus sokongan orang Melayu cenderung kepada UMNO dan selebihnya kepada Pas dan PKR. Namun data ini adalah rambang dan belum diuji lagi.

* Orang Tionghua - Kaum itu diyakini akan pulang ke kotak persahabatan untuk BN dan UMNO. Di Sarawak, mereka menjalankan politik bandaran dengan semua bandar besar 'disapu' oleh mereka. Kemungkinan itu berlaku di Semenanjung dan Sabah tetapi sebenarnya mereka belum diuji 10 peratus. Yang ada cuma di bandar-bandar besar tetapi belum teruji di kalangan orang Tionghua yang menetap di pekan kecil dan kawasan industri.

Berdasarkan senario yang dikemukakan oleh jabatan dasar dan penerangan dan rakan-rakan parti komponen BN, kira-kira 38 peratus lagi pendirian orang Tionghua belum diketahui.

* DAP - Parti itu sekarang sudah merasa keseronokon memerintah sebuah negeri. Pengalaman di Pulau Pinang perlu dilihat dari sudut praktikal dengan pentadbiran Lim Guan Eng mirip PAP di Singapura (DAP sendiri lahiran PAP). Ada 'tali pusat' sebenarnya antara PAP dan DAP yang difahami semua wujud tetapi tidak dapat dikira atau diukur di Malaysia. Apa yang berlaku di Pulau Pinang itu harus dilihat dari sudut BN melalui komitmen parti Gerakan atau MCA untuk merampas kembali negeri itu.

Cuma, kedudukan DAP agak kebal di negeri itu sehingga pentadbiran masjid pun hendak ditentukan mereka corak pentabirannya. Dan sayangnya, orang Melayu di Pulau Pinang tidak bangkit sama ada UMNO atau Pas. Kemuraman Gerakan dan MCA amat jelas berdasarkan maklum balas yang diterima oleh JASA.

* Pas - Dengan melepaskan konsep negara Islam, Pas menjurus kepada politik populis. Ia tidak lagi kepada ajaran ortodoks yang dahulu sinonim dengan Pas. Mungkin dengan cara ini, para pemimpin baru yang muncul di keliling Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang boleh bebas memainkan kepentingan politik daripada agama.

Kemunculan pemimpin Pas di dalam topeng Islam itu semakin tertanggal. Jadi, yang untung ialah DAP. Parti chauvinis itu memperoleh 'dividen' daripada kemunculan 'Pas baru'. Soalnya, Pas tidak pernah menyatakan untuk memperjuangkan kepentingan Melayu seperti mana UMNO.

* UMNO - parti orang Melayu ini harus berubah seperti yang ditegaskan oleh Perdana Menteri iaitu berubah dari dalam dengan memiliki peribadi yang luhur dan jangan angkuh. Diyakini jika ini dilakukan oleh kepimpinan UMNO di seluruh negara, UMNO akan menjadi lebih kukuh.

Menutup minum petang dengan Rais, menteri itu memberitahu penulis: "UMNO harus mengikis semua amalan negatif. Kita harus beri kepada Perdana Menteri ruang untuk membuat pasukan yang baru (pada PRU nanti). Jangan kecil hati jika ditinggalkan beberapa individu.

"Yang penting Jeneral Najib mampu kukuhkan based orang Melayu dan kemudian kukuhkan based tradisional orang Melayu lebih daripada orang lain."

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]