Put your stuff here |
Oleh Nazura Ngah
nazura@bharian.com.my
2011/06/03
Perwakilan gagal rencana agenda perjuangan, salahkan pihak lain
HAMBAR dan lesu – dua perkataan yang menjelaskan keseluruhan sesi perbahasan pada Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) Ke-51 yang berlangsung semalam walaupun usul dibangkitkan kebanyakannya bersifat nasional dan menyentuh isu semasa.
Dewan Jubli Perak, Shah Alam yang menyediakan suasana selesa dilihat tidak mampu membangkitkan suasana ‘panas’ atau bersemangat di kalangan kira-kira 1,000 yang menghadiri persidangan sehari itu termasuk 622 perwakilan.
Mungkin masing-masing ‘terlebih selesa’ berada di dalam dewan yang luas dan dingin, malah kedinginan itu juga yang mengulit mimpi segelintir perwakilan dan pemerhati yang berada di dalam mahupun luar dewan.
Berbalik kepada suasana hambar dan lesu, perwakilan tidak menjadikan muktamar kali ini sebagai pentas untuk merencanakan agenda yang boleh menguatkan parti atau memperkukuhkan ikatan dalam rakan pakatan pembangkang.
Sebaliknya, perbahasan sama seperti tahun sebelumnya masih diwarnai sikap menyalahkan orang lain atas kegagalan sendiri dan menjadikan UMNO serta Barisan Nasional (BN) bahan kecaman.
Daripada empat usul diterima untuk dibahaskan, hanya satu usul yang menyentuh mengenai kekuatan parti, usul supaya PAS Pusat menubuhkan Pusat Maklumat untuk menyampaikan maklumat secara maya, selaras dan berkesan dalam menangkis segala isu yang datang sama ada pada peringkat kawasan, negeri mahupun nasional.
Lebih menarik perwakilan dari Dungun meminta Muslimat mencontohi sikap dan komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk mendekati rakyat, termasuk menerusi laman sosial Facebook dan Twitter serta menggesa Muslimat terutama pemimpin supaya sentiasa memperbaharui entri kandungan dalam laman web.
“Kenapa kita tidak menggunakan budaya ini (dibawa Perdana Menteri), ada blog pemimpin yang tidak dikemas kini sejak tiga bulan lalu, mungkin lebih lama lagi... apabila kita bina blog, janganlah tinggalkan begitu saja,” katanya.
Jika teguran Ketua Dewan Muslimat PAS, Nuridah Salleh diberi perhatian perwakilan dan ahli supaya menjadikan kekalahan demi kekalahan dialami PAS pada pilihan raya kecil dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak sebagai pengajaran pastinya parti yang kini meniti usia 60 tahun dapat mengamalkan politik lebih matang.
Sewajarnya PAS tidak berterusan cuba menyalahkan pihak lain jika gagal menjayakan misi perjuangan parti itu. Sudah sampai masa mereka bermuhasabah dan menilai kekuatan diri sendiri serta cuba mencari angin perubahan.
“Kalaulah setakat beramai-ramai memenuhi markas dan bilik gerakan PAS, tetapi tidak pergi menemui pengundi, hanya berbekalkan poster dan kibaran bendera, jangan impikan kemenangan akan datang bergolek,” tegas Nuridah.
Selain usul organisasi, muktamar turut meluluskan usul keselamatan yang membincangkan bahaya kewujudan loji nuklear, usul kepenggunaan mengenai makanan tidak halal dan usul pendidikan mengenai pendidikan sekular.
Jawatankuasa usul menolak tiga usul untuk dibahaskan dan antaranya usul dikemukakan Muslimat Kawasan Batu supaya Jawatankuasa Pilihan Raya Pas Pusat wajib memberikan satu kerusi strategik khusus kepada Ketua Muslimat PAS Pusat untuk bertanding sebagai calon peringkat Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri.
Mereka mencadangkan pemilihan kerusi hendaklah diberi keutamaan kepada Ketua Muslimat PAS Pusat sebelum dibuka kepada calon peringkat kawasan dan negeri.
No comments:
Post a Comment