Siapa hina Islam? Oleh BISIK-BISIK AWANG SELAMAT Menteri Besar Kelantan, Nik Aziz Nik Mat semalam mengumumkan keputusannya mengharamkan Utusan Malaysia daripada membuat liputan acara melibatkan beliau dan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkuatkuasa serta merta. Langkah tersebut sebagai membantah karikatur yang dikatakan menghina Islam berhubung isu rogol dan zina. Awang hanya senyum. Nampaknya Nik Aziz mengikut jejak langkah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang turut memulaukan Utusan Malaysia. Strategi memulaukan media sebagai senjata dan ugutan adalah pemikiran zaman dinosaur. Rasanya tiada lagi mana-mana kerajaan yang memerintah peringkat pusat, negeri atau wilayah di negara lain yang berbuat demikian. Kebebasan media dan hak bersuara seperti yang dijanjikan oleh DAP, PKR dan Pas dalam manifesto PRU, hanya gimik. Awang tidak terkejut dengan tindakan Mursyidul Am Pas itu kerana beliau sememangnya condong kepada DAP dalam percaturan politiknya. Cuma Awang hairan mengapa karikatur itu yang disiarkan pada Rabu, 15 Jun dianggap menghina Islam. Sedangkan ia hanya menyindir pemimpin Pas kerana mengambil pendirian yang mengelirukan ekoran kes rakaman video seks ketua pembangkang, Anwar Ibrahim. Tidak perlu untuk Awang mempertahankan karikatur itu kerana sudah banyak pihak tampil memberikan gambaran sebenar terutama dalam laman blog. Jika mahu pandangan lebih keras ikutilah komen Ahli Parlimen Bebas Zulkifli Noordin melalui zul4kulim.blogspot dan pengendali blog yang lain antaranya ruang bicara faisal.blogspot.com; www.papagomo.com; bumiyang.blogspot.com dan penembak-tepat.blogspot.com. Seandainya mahu pandangan yang seimbang rujuk kepada tulisan bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin (drmaza.com). Awang juga tertanya-tanya mengapa karya kartunis aktivis pembangkang, Zunar yang terang-terang menghina Islam tidak pula berani disentuh oleh Nik Aziz. Persoalan lebih besar ialah siapakah sebenarnya yang menghina Islam? Seperti kata Zulkifli, sesungguhnya banyak tindak-tanduk Pas yang menghina dan menggugat umat Islam. Pada Awang dan ramai lagi umat Islam di negara ini, kenyataan Nik Aziz sendiri banyak menghina dan memalukan Islam. Buatlah kajian ilmiah, pasti mudah membuat rumusan. Jika disenaraikan cukup banyak. Antaranya menyokong kalimah Allah digunakan oleh bukan Islam, mendakwa tuhan boleh mencarut, menjanjikan syurga kepada sesiapa yang undi Pas, pernah menuduh orang UMNO kafir, wanita cantik tidak boleh keluar bekerja dan banyak lagi yang bercanggah dengan ajaran Islam sebenar. Itu belum menyentuh tentang pendirian beliau yang menolak permuafakatan sesama parti Islam tetapi menjulang DAP yang menentang penubuhan negara Islam. Lebih banyak kecelaruan dicetuskan oleh Nik Aziz berbanding individu lain termasuk Ayah Pin, yang sedang diburu oleh pihak berkuasa. Angkara siapakah yang menampakkan Islam tidak ubah seperti kartun? |
Sunday, June 19, 2011
SIAPA SEBENARNYA YANG HINA ISLAM?
Label:
UMUM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
KIRIM PESANAN ANDA
No comments:
Post a Comment