Wednesday, June 15, 2011

USUL KELAYAKAN TIAN CHUA SEBAGAI MP.....

BNBBC tak jadi bawa usul kelayakan Tian Chua sebagai MP
SELASA, 14 JUN 2011 14:43 NOOR HASILAH ISMAIL

Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) membatalkan keputusan membawa usul terhadap soal kelayakan Ahli Parlimen PKR Batu, Tian Chua.

Timbalan Pengerusi BNBBC, Datuk Bung Mokhtar Raden, berkata, keputusan itu dibuat setelah beliau berjumpa dengan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, pagi Selasa.

Beliau diminta mengulas laporan yang menyebut BNBBC bercadang mengemukakan usul berkenaan.

Apapun Bung Mokthar mempersoalkan dari segi moral kehadiran Tian Chua di Parlimen.

Beliau menyerahkan pada pihak Speaker dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz yang jaga urusan parlimen untuk memutuskan hal berkenaan.

Nazri pula memberitahu wartawan di lobi parlimen beliau tidak setuju usul berkenaan dibentang.

Katanya tidak mana-mana Ahli Parlimen yang boleh melucutkan kelayakan Ahli Parlimen lain.

Menurutnya keputusan seumpama itu hanya boleh dibuat oleh pihak Speaker.

Sementara itu Tian Chua ketika ditemui di lobi parlimen, berkata dia tidak tahu apa-apa mengenai usul itu dan tetap menegaskan masih Ahli Parlimen.

“Mahkamah sudah putuskan saya masih Ahli Parlimen dan sehingga kini tidak ada orang, terutama dari pihak kerajaan mempertikaikan keputusan mahkamah itu. Jadi, sebenarnya tidak ada apa-apa,” katanya.

Pada 23 Mei lalu, Mahkamah Rayuan telah menolak permohonan Tian Chua untuk merayu hukuman denda sebanyak RM2,000 atas kesalahan menggigit polis yang dijatuhkan ke atasnya sebelum ini.

Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Balia Yusuf Wahi ketika membacakan keputusan itu berkata permohonan itu ditolak notis lewat difailkan. Notis rayuan itu sepatutnya dikemukakan pada 13 September 2010 tetapi Tian Chua hanya berbuat demikian pada 6 Oktober 2010.

Peguam Tian Chua, Amer Hamzah Arshad dilaporkan berkata, anak guamnya itu masih kekal sebagai Ahli Parlimen walaupun hukuman dan denda berkenaan dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan. Katanya ia berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi pada Jun tahun lalu yang mengatakan mahkamah tidak mahu pilihanraya kecil berlaku.

Pada 17 Jun tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengekalkan keputusan Tian Chua bersalah menggigit seorang anggota polis tetapi mengurangkan hukuman kepada RM2,000 atau dua bulan penjara. Keputusan itu mengetepikan keputusan terdahulu yang memutuskan Tian Chua didenda RM3,000 dan enam bulan penjara.

Artikel 48 Perlembagaan Persekutuan mengatakan bahawa seorang Ahli Parlimen akan hilang keyakan sekiranya dipenjara tidak kurang dari setahun atau denda tidak kurang dari RM2,000.

Berikutan itu Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dilaporkan berkata bahawa hanya Speaker Dewan Rakyat dapat menentukan status Tian Chua sebagai Ahli Parlimen. – 14/6/2011.-OLEH NOOR HASILAH ISMAIe

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]