UNJURAN Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2010 bagi jumlah belia berumur 15 hingga 39 tahun ialah seramai 11,614,735 orang atau 43 peratus daripada populasi rakyat di Malaysia. Sehingga Disember 2010, seramai 11,811,452 yang berusia 21 tahun ke atas sudah berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), manakala pengundi yang berusia 21 hingga 39 tahun mencecah 40 peratus daripada jumlah pengundi keseluruhan. Ini menjadikan golongan belia menjadi kelompok yang penting untuk diberi perhatian kerana ia berkait rapat dengan masa depan negara.
Seramai 3.7 juta rakyat kita masih belum tergerak hatinya untuk mendaftar sebagai pemilih. Menurut data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), 60 peratus daripada kelompok tersebut ialah golongan muda iaitu berusia bawah 40 tahun.Selari dengan komposisi kaum di negara ini, terdapat hampir 2.1 juta orang Melayu dan bumiputera paling ramai tidak mendaftar sebagai pengundi.
PANDANGAN PERTAMA MENGENAI ORANG MUDA DAN POLITIK.
Mengapa gejala tersebut berlaku? Ada yang menganggap sikap tidak ambil peduli dan memandang remeh kepentingan mendaftar adalah puncanya.
Ada punca lebih besar lagi yang menyebabkan mereka tidak kisah untuk mendaftar seterusnya mengundi.
Faktor paling dominan adalah sejauh mana proses sosialisasi orang Melayu segenap lapisan dalam "mengenali" politik.
Bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta. Orang Melayu yang dapat mencerap makna sebenar politik memiliki sikap ambil berat dan memandang serius akan kepentingan mengundi, berbeza dengan hampir 2.1 juta orang Melayu yang liat mendaftar itu.
Usah salahkan mereka seratus peratus kerana mereka ialah mangsa kepada proses sosialisasi dan budaya politik yang salah sedangkan bagaimana orang Melayu "diasuh" dalam melihat politik itulah yang mempengaruhi kesedaran mereka untuk bergelar pengundi.
Di pusat pengajian tinggi misalnya, ayat peringatan bahawa "masuk universiti belajar, bukan berpolitik" adalah satu bentuk sosialisasi yang tidak tepat apatah lagi jika dikaitkan peranan mereka sebagai agen perubahan masyarakat.
Politik dipakejkan seperti lembaga menakutkan yang akan menjejaskan tumpuan mereka belajar meskipun pelajar Melayu yang konon tidak mahu "berpolitik" itu tidak pula mampu menandingi pelajar bukan Melayu yang ramai mencapai Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) lebih cemerlang.
Tanggapan terhadap politik jadi begitu jumud. Akibatnya, mereka tidak minat untuk bergerak aktif dalam persatuan pelajar di dalam kampus, apa lagi di luar sedangkan pada masa sama majoriti pelajar bukan Melayu begitu aktif bergiat dalam pelbagai kelab dan persatuan di universiti dan luar berorientasikan kepentingan dan kebudayaan mereka.
Jika suara pelajar Melayu berbeza daripada kelaziman massa akan cepat dicap sebagai "hanya tahu membangkang" sekalipun atas hujah akademik yang rasional dengan pendekatan yang berbudi bahasa.
Pendek kata, apabila disebut "politik", imej yang terpampang adalah melawan cakap, demonstrasi dan lebih jauh lagi politik kepartian sehingga dalam beberapa keadaan coretan di laman sosial Facebook pun boleh dianggap sebagai ancaman.
Walhal, interaksi dan komunikasi kita dengan persekitaran sosial setiap hari dan setiap detik itu jelas lagi nyata berkaitan dengan politik!
Akibat daripada makna dan praktis politik yang beku tidak hairanlah diperhatikan pelajar Melayu kurang berbaris berbanding pelajar Cina di kaunter pendaftaran pemilih yang secara berkala dibuka oleh SPR di universiti sebelum ini.
Kegagalan memahami makna politik dalam kalangan golongan muda Melayu ini bukan setakat terhenti impaknya kepada kelompongan di peti undi tetapi lebih dahsyat daripada itu menghakis jati diri dan rasa bangga sebagai orang Melayu.
Golongan muda Melayu yang tidak lagi secara praktis memiliki pengalaman berdepan dengan belenggu penjajahan atau hidup dalam zaman yang penuh kesukaran akan terus rapuh pegangan dan jati dirinya.
Mereka bukan lagi rendah diri tetapi jadi kerdil diri dan tidak lagi punya deria yang peka terhadap kepentingan bangsanya kerana tidak mahu dilabel rasis.
Rantaian kepada psikologi Melayu yang kacau itu kemudiannya diterjemah dalam bentuk tindakan. Mereka hanya cenderung bercerita isu remeh berkepentingan jangka pendek kerana mahu berada dalam zon selamat.
Orang Melayu yang telah dilunturkan pemahaman mereka terhadap makna politik tidak tahu lagi memberi keutamaan kepada hal yang mendatangkan manfaat kepada bangsanya.
Buktinya jelas. Jika mendaftar sebagai pemilih dan seterusnya nanti keluar untuk mengundi pun tidak peduli, apakah yang boleh kita harapkan kepada kelompok 2.1 juta itu untuk memperjuangkan diri dan bangsanya sendiri jika suatu masa nanti ditindas?
PANDANGAN KEDUA MENGENAI ORANG MUDA DAN POLITIK.
Pertama, tahap pendidikan dan yang kedua pengaruh media sosial. Boleh dikatakan majoriti pengundi muda mendapat pendidikan minimum pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Ini bermakna mereka berada dalam ruang lingkup pengaruh pendidikan formal sehingga 11 tahun dalam kehidupan sebelum mereka mengundi. Ia semakin melebar sekiranya mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.
Pendidikan mengasah ketajaman daya fikir. Kebanjiran maklumat menerusi internet dan televisyen satelit menyebabkan sesuatu isu yang menyentuh kepentingan dan peranan anak muda akan dibuat perbandingan senario dalam negara dan antarabangsa. Keterbukaan dan pendedahan maklumat ini sudah tentu menuntut pendekatan yang berbeza dalam mengurus isu yang berkaitan dengan anak muda.
Apakah keperluan kehidupan anak muda? Isu anak muda berkaitan dengan 4P – Pendidikan, Pekerjaan, Pendapatan dan Perumahan. Bagaimana mereka mendapat peluang dan inisiatif untuk mereka melanjutkan pelajaran dengan kos yang minimum, dengan pendidikan yang sempurna bolehkah mereka mendapat peluang pekerjaan dan dengan pekerjaan mereka akan mempunyai pendapatan untuk menyara kehidupan dan peluang memiliki rumah sebagai tempat berlindung dan status sosial. Model Baru Ekonomi (MBE) bertujuan meningkatkan pendapatan tahunan perkapita sebanyak AS$7,000 kepada AS$15,000. Tentunya hasrat murni ini perlu mengambil kira peluang anak-anak muda untuk turut sama meningkatkan pendapatan.
Pandangan anak muda mengenai politik lebih terbuka dan ia diadun antara politik keperluan dan politik idealisme. Mereka mahukan isu 4P yang berkaitan dengan kelangsungan hidup diambil berat oleh kerajaan dan mereka juga mahu negara ini diurus tadbir dengan sempurna seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.
Oleh sebab itu kelangsungan hidup anak muda bukan saja memerlukan inisiatif daripada kerajaan kerana yang lebih penting ialah persediaan sikap dan minda anak muda dalam berhadapan dengan persekitaran yang semakin mencabar. Kerajaan demi kelangsungan kuasa tentunya akan menguruskan isu berkaitan anak muda, namun yang lebih penting ialah anak muda juga mesti berusaha membantu diri mereka sendiri.
PANDANGAN KETIGA MENGENAI ORANG MUDA DAN POLITIK.
Pengundi Muda
Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh SPR sehingga Mac yang lalu saudara, terdapat sekurang-kurangnya 1.9 juta orang melayu yang layak mengundi tetapi belum berdaftar. Jumlah ini merupakan 43% daripada 4.3 juta pengundi yang masih belum berdaftar. Bagi kaum lain, seramai 1.7 juta masih belum berbuat demikian iaitu 30.6% daripadanya adalah orang cina dan 9.3% adalah orang india.
Isu pendaftaran pengundi baru ini menjadi begitu penting dan panas tatkala semua parti-parti politik berlumba-lumba dalam membuat persiapan menghadapi PRU-13 yang katanya akan dilakukan secara mengejut. Terkejut atau buat-buat terkejut adalah fenomena biasa dalam amalan demokrasi di Malaysia.
Maka saudara, kita akan melihat setiap parti politik sudah mula dengan semangatnya menggerakkan jentera masing-masing untuk menarik orang muda untuk daftar mengundi. Bukankah senang kalau kesemua 4.3 juta yang liat ini didaftarkan secara automatik? dan bagi aku, tak perlulah rasanya wang rakyat dibazirkan untuk upah RM1 ke, RM10 ke untuk setiap pengundi yang mendaftar. (entahlah, macam manalah mereka berfikir).
Saudara, sedar atau tidak, rupa-rupanya golongan muda atau belia hari ini merupakan penentu kepada pembentukan kerajaan dalam PRU-13 yang akan datang seperti mana yang diakui ramai pihak. Sama ada BN akan tumbang atau PR akan ambil alih, penentunya pada pengundi muda dan baru. Berkenaan dengan pengundi baru, menurut Pengarah Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin, beliau mengatakan;
“Mendaftar sebagai pengundi dan aktif dalam politik adalah dua perkara yang berbeza. Justeru parti-parti politik kini perlu mendekati golongan ini supaya aktif dalam politik kerana dari situlah, komitmen mereka untuk keluar mengundi akan timbul.” (mStar online).
Sebab itu, semua nampaknya beria-ia mahu tunjuk baik, tunjuk perihatin, tunjuk mesra khususnya kepada golongan muda. Walaubagaimanapun, apakah golongan ini akan mudah terpengaruh dengan politik ampu, politik ugut, politik munafik dan politik murahan sebilangan pemimpin yang dilihat hari ini?
Oleh itu saudara, berdasarkan pandangan Prof Madya Dr.Ahmad Nizammuddin Sulaiman, pensyarah Sains Sosial di UKM, beliau mengakui bahawa perkembangan politik semasa banyak mempengaruhi keputusan politik golongan muda;
“Orang muda hari ini berfikiran lebih kritis dalam isu-isu seperti hak asasi, keterbukaan dalam pemerintahan, kerajaan yang bebas daripada rasuah dan isu ISA yang menjadi faktor kepada perubahan tersebut.”
Beliau menambah lagi;
“Mereka lebih bersemangat dan lantang bersuara memperjuangkan hak mereka. Mereka banyak menyertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Gabungan Pilihan raya Bersih dan Adil dan Gerakan Mansuh ISA , jadi ini dilihat sebagai satu perubahan daripada aspek pemikiran mereka.” (mStar online)
Ternyatalah saudara, landskap politik baru yang mula tercetus dan berkembang hari ini tidak sama dengan suasana politik lapuk zaman kuno dahulu. Kalau dulu, orang mudah terpengaruh dengan pelbagai dakyah dan propaganda media arus perdana, tetapi keadaan itu hari ini sudah jauh berubah. Orang semakin cerdik untuk menilai setiap isu yang cuba untuk disensasikan denagn publisiti murahan. Ini kerana, berdasarkan kajian Merdeka Centre seperti yang dilaporkan oleh Malaysian Insider, 57% orang melayu serta 58% orang Cina didapati sudah tidak percaya dengan media arus perdana yang ada hari ini.
Bagi Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya, Prof Madya Dr. Abu Hassan Hasbullah, beliau berpandangan bahawa;
“Pengundi muda kini lebih berpandangan terbuka dan membina dan mereka tidak menilai sesuatu isu berdasarkan ideologi politik. Sokongan mereka mudah berubah atau bertindak kepada situasi pada bila-bila masa. Mereka tidak lagi berpegang kepada kata-kata atau janji ahli politik tetapi sebaliknya menilai bagaimana parti-parti berkenaan menangani pelbagai isu.” (BHarian online)
Oleh hal demikian saudara, bagi mereka yang memperjuangkan politik baru yang lebih matang, lebih terbuka dan tidak jumud sudah pasti boleh menghela nafas panjang sedikit tatkala mendengar perkembangan ini. Walaubagaimanapun saudara, masih banyak perkara yang perlu diusahakan dalam memupuk politik demokrasi yang berintegriti dan berhikmah, bukannya sempit dan terkebelakang.
Di sini saudara, aku terfikir juga, jika orang muda amat sangat diperlukan dalam kerangka politik semasa dan kesannya terhadap pembentukan politik baru, soalnya kenapa masih ada sesetengah pihak yang seakan fobia jika mahasiswa terlibat dengan politik? Bukankah para mahasiswa juga adalah bakal pengundi muda yang akan memilih kerajaan yang akan datang?
Pada aku, keputusan untuk seseorang mahasiswa itu terlibat dalam politik atau tidak adalah menjadi keputusan peribadi mahasiswa tersebut. Ya saudara, memang ada pro dan kontranya, tetapi peluang ini akan menjadi satu platform buat mereka menerima pendedahan terhadap kematangan berpolitik dengan ilmu dan idealisma sebagai prinsip perjuangannya. Akhir bicara, janganlah berimaginasi terlalu negatif terhadap keupayaan mahasiswa kerana keberadaan mereka sebagai penggerak masyarakat dan pelapis kepimpinan masa depan negara harus disantuni oleh semua pihak
Oleh MOHD. SHUKRI MOHD. ARIFF
Politik mempunyai pelbagai aliran. Salah satunya mendakwa bahawa semakin maju sesebuah negara, semakin kurang rakyatnya keluar mengundi pada pilihan raya.
Aliran tersebut wujud di mana-mana negara di pelosok dunia. Amerika Syarikat dan Eropah merupakan antara negara yang paling kritikal menghadapi masalah ini. Misalnya, sejak beberapa tahun
kebelakangan ini Amerika Syarikat mencatatkan kurang 50 peratus rakyatnya keluar mengundi setiap kali berlangsungnya Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat. Sehingga baru-baru ini timbul dakwaan bahawa Presiden Amerika Syarikat sebenarnya dipilih oleh golongan minoriti yang keluar mengundi.
Samuel P. Huntington dalam bukunya, Who Were Are? The Challenges to America’s National Identity (2004), menyelar sikap rakyat Amerika Syarikat yang tidak mengambil endah tanggungjawab mereka untuk mengundi. “Sikap buruk ini sebenarnya mengancam kelangsungan dan masa depan Amerika kerana kita (bangsa kulit putih Amerika) sekarang sedang terhakis penguasaan politik, budaya, dan jati diri ekoran kemasukan beramai-ramai pendatang Hispanik dan Asia,” jelas Huntington.
Adakah negara yang mengguna pakai sistem demokrasi berparlimen seperti Malaysia bakal berhadapan situasi yang sama seperti Amerika Syarikat?
Ramai ahli muda UMNO tak daftar
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, Pemuda dan Puteri UMNO telah diarah memberi perhatian terhadap usaha tersebut.
"Kami berharap dalam tempoh dua minggu ini, usaha mengesan dan mendaftar kumpulan ini sebagai pengundi berhasil, itupun jika tarikh pilihan raya umum ditetapkan selepas tiga bulan," katanya selepas merasmikan Majlis Penerangan Perdana anjuran Puteri UMNO yang turut dihadiri oleh Ketuanya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin di PWTC di sini hari ini.
Menurut Ahmad, usaha itu perlu dilakukan secara berterusan walaupun tarikh pilihan raya umum ditetapkan lebih awal dari tempoh tersebut.
"Jika kumpulan ini hanya sempat didaftarkan tetapi tidak tersenarai sebagai pengundi, mereka boleh membantu jentera pilihan raya nanti," katanya.
Sementara itu, Rosnah berkata, seramai 40,000 daripada kira-kira 380,000 ahli Puteri UMNO dikesan masih belum mendaftar sebagai pengundi.
"Kami memandang serius perkara ini dan akan pastikan mereka berdaftar termasuk cuba mengesan mereka kerana ada ahli berpindah termasuk menyambung pengajian ke luar negara," katanya.
Menurutnya, Puteri UMNO akan meningkatkan kerjasama dengan Pemuda UMNO untuk mengesan mereka masih belum mendaftar.
"Kami sentiasa mengingatkan ahli supaya berdaftar sebagai pengundi dan maklum balas yang diterima amat memberangsangkan," katanya.
Rosnah berkata, sepanjang tempoh 2009-2011 seramai 100,000 ahli Puteri UMNO mendaftar sebagai pengundi.
No comments:
Post a Comment