Tuesday, February 21, 2012

SIAPA ITU MELAYU?


Oleh Nazri Muslim
Keistimewaan orang Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan sering kali menjadi polemik pelbagai pihak di negara ini.

Polemik ini semacam tiada penghujungnya, ditambah lagi dengan kemunculan generasi baharu selepas merdeka yang tidak memahami konteks isu ini secara keseluruhannya, tetapi turut terlibat dalam polemik tersebut.

Siapakah Melayu menurut tafsiran Perlembagaan? Takrifan Melayu sebenarnya sangat luas dan jika diambil daripada konteks sejarah dan sosiobudaya, Melayu itu meliputi mereka yang mendiami kepulauan Melayu. Walaupun terdapat pelbagai suku bangsa, bahasa, dan loghat, kebanyakan ahli bahasa dan budayawan menganggap mereka sebagai satu kumpulan yang sama, iaitu keturunan Melayu.

Jika merujuk Perlembagaan Persekutuan, orang Melayu ditakrifkan dalam Perkara 160(2) sebagai seseorang yang beragama Islam. Lazimnya, mereka ini bercakap dalam bahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat Melayu. Seseorang itu dikatakan Melayu apabila lahir sebelum kemerdekaan di Persekutuan atau di Singapura; atau ibu atau bapanya lahir di Persekutuan atau di Singapura; atau pada hari merdeka berdomisil di Persekutuan atau di Singapura.

Di samping Perkara 160(2), Melayu turut ditakrifkan di bawah Perkara 89(6) yang menyatakan bahawa seseorang itu disifatkan sebagai seorang Melayu bagi maksud merizabkan tanah di bawah undang-undang bagi negeri mereka bermastautin. Perkara ini menjelaskan bahawa takrifan Melayu itu boleh dipecahkan kepada dua, iaitu berdasarkan sosiobudaya dan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

Terdapat beberapa perkara yang boleh dibincangkan dalam kedua-dua takrifan di atas. Pertama, untuk menjadi seorang Melayu mengikut Perlembagaan Persekutuan tidaklah semestinya seseorang itu berketurunan Melayu. Seorang India boleh dianggap sebagai Melayu sekiranya beragama Islam, menjadi kelazimannya bertutur dalam bahasa Melayu, dan mengamalkan adat Melayu. Sebaliknya, walaupun dia seorang yang berketurunan Melayu sekalipun, bagi maksud Perlembagaan, dia bukan Melayu jika tidak beragama Islam.
___
Nazri Muslim merupakan pensyarah Pusat Pengajian Umum, Universiti Kebangsaan Malaysia

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]