Pernahkah anda mengunjungi bangunan Parlimen dan menyaksikan sesi perbincangan di Dewan Rakyat? Jika anda belum pernah, anda wajar mengambil peluang untuk melakukannya. Lebih-lebih lagi apabila dijangkakan sesi yang sedang berlangsung kini mungkin adalah yang terakhir sebelum pilihan raya umum. Jika berminat, anda boleh menghubungi Ahli Parlimen anda kerana mereka dibenarkan membawa tetamu ke Parlimen.
Jika pernah menyaksikan sesi Parlimen, kemungkinan besar anda akan kecewa dengan apa yang dilihat. Wakil rakyat yang anda pilih ke Parlimen, lebih cenderung untuk terpekik dan terlolong bagai tidak bertamadun daripada berdebat dengan berhemah. Ketika berdebat pula, kualitinya pula rata-rata di tahap yang rendah. Kebanyakan Ahli Parlimen sering membangkitkan perkara-perkara yang langsung tidak ada kena-mengena dengan apa yang dibincangkan.
Contohnya, pada minggu lalu Parlimen kecoh dengan Ahli Parlimen berlumba-lumba untuk menunjukkan kebencian mereka terhadap negara Israel. Ada seorang Ahli Parlimen sehinggakan membuat dakwaan kononnya Israel cemburu dengan keharmonian kita. Macamlah Israel itu pedulikan apa yang berlaku dalam Parlimen kita.
Hanya minggu lalu, ada Ahli Parlimen berbincang tentang ikan arowana, penjual tomyam dan hubungan di antara coklat dan penyakit kencing manis. Ya, perkara picisan seperti inilah yang dibawa ke Parlimen oleh Ahli Parlimen kita.
Keadaan ini sedikit sebanyak melunturkan kepercayaan rakyat kepada proses perundangan. Parlimen dilihat sebagai sarkas dan Ahli Parlimen sebagai badut-badut yang dibiayai oleh rakyat. Daripada 222 Ahli Parlimen yang ada, hanya segelintir sahaja benar-benar menjalankan tanggung jawab mereka sebagai Ahli Parlimen. Kita hanya boleh bangga dengan bangunan Parlimen dan kemudahan yang ada, tampak begitu gah dan canggih. Tidak lebih dari itu.
Adakah kita sepatutnya menerima Parlimen dengan seadanya, bahawa kualiti Ahli Parlimen kita tidak akan meningkat daripada takuk sedia ada? Ataupun kita percaya bahawa Malaysia yang lebih baik hanya akan wujud dengan adanya Ahli Parlimen yang lebih berkualiti.
Sebenarnya salah kita. Kita yang memilih, memberi mandat kepada mereka dan angkat mereka daripada rakyat biasa menjadi wakil kita. Kelakuan mereka mencerminkan perwatakan dan mentaliti kita sendiri.
Pilihan raya yang akan datang sewajarnya kita jadikan batu loncatan untuk mewujudkan Parlimen kelas pertama. Kita harus sedar, tanggungjawab utama seorang Ahli Parlimen adalah dalam proses perundangan negara. Bukannya untuk menjaga longkang kita, atau menjadi tempat aduan sekiranya ada pokok terhempas di jalan di belakang rumah kita.
Tanggung jawab Ahli Parlimen bukanlah melawat kawasan mahupun memastikan kebahagiaan rakyat yang diwakilinya. Ketika Parlimen berjalan, tidak ada sebab mengapa seorang Ahli Parlimen itu tidak boleh hadir. Ingat, saraan mereka adalah dibiayai oleh rakyat. Mereka tidak boleh sewenang-wenangnya ‘ponteng’ dewan.
Parlimen kelas pertama hanya akan wujud sekiranya ia dipenuhi dengan Ahli Parlimen kelas pertama, yang mempunyai intelek, telus dan bersih serta mempunyai pengetahuan am luas supaya dapat berdebat, berbincang tentang pelbagai jenis bidang. Ahli Parlimen yang bersopan dan bersantun, walaupun bersemangat dalam mengetengahkan suara rakyat diwakilinya.
Ini bermakna, kita tidak boleh lagi memilih Ahli Parlimen semata-mata kerana sering melihatnya ‘turun padang’. Apa yang penting adalah sama ada dia dapat menyumbang secara membina kepada kelangsungan perundangan negara.
Kita memerlukan pencerahan budaya dan minda dalam pemilihan wakil rakyat. Barulah kita dapat berbangga dengan Parlimen yang kita ada.
Muslihat jadikan Parlimen seperti sarkas
"KERANA mulut badan binasa" - akibat mulut Anwar Ibrahim, tiga lagi rakannya Azmin Ali (PKR - Gombak); R Sivarasa (PKR - Subang) dan Karpal Singh (DAP - Bukit Gelugor) turut digantung bersama-samanya selama enam bulan.
Pada November lalu, Anwar sendiri berkata beliau tidak gentar dengan desas-desus yang tersebar bahawa beliau akan digantung selama enam bulan.
Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata usaha penggantungannya tidak ada erti berbanding dengan keperitan dipenjarakan selama enam tahun serta dipukul sehingga menyebabkan kecederaan tulang belakangnya sehingga kini.
Jika demikian, kenapa Anwar tidak mahu hadapi hukuman dengan tenang dan bukan biarkan rakan pembangkang lain membuat kecoh sejam setengah yang mengubah suasana Dewan Rakyat yang mulia menjadi seperti pertunjukan dalam sarkas.
Kejadian memalukan negara pada Khamis lalu itu menyaksikan pembangkang membuat kecoh dengan menjerit-jerit di Dewan Rakyat gara-gara usul supaya Ketua Pembangkang bersama tiga yang lain digantung enam bulan daripada menghadiri sesi Parlimen.
Kekecohan yang sudah dijangkakan itu 'dibuat-buat' oleh pembangkang supaya Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia hilang kawalan sehingga terpaksa tangguh sidang dan sekali gus tunda keputusan menggantung Anwar.
Jika dibaca kenyataan-kenyataan Anwar sebelum ini, sebenarnya penggantungan inilah yang ditunggu-tunggu oleh Anwar. Beliau pernah berkata sekiranya digantung dari sidang Parlimen ini juga satu rahmat kerana ia akan memberi peluang kepada beliau bertemu rakyat serta menjelajah seluruh negara untuk berkempen dan berceramah bagi pihak pakatan pembangkang.
Jadi orang ramai yang boleh berfikir tentang permainan kata-kata Anwar akan tertanya-tanya kenapa beliau berang digantung enam bulan. Dia juga marah kepada Pandikar Amin dan menuduh Yang Dipertua Dewan Rakyat itu menjatuhkan hukuman kepadanya tanpa bela diri untuk menjelaskan dakwaan berkaitan dengan gagasan 1Malaysia dan firma perhubungan awam APCO Worldwide.
Sedangkan menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz, Anwar ada tiga kesempatan membela diri. Pada April lalu, Anwar diberi masa seminggu untuk memberi penjelasan atau tarik balik tuduhan tetapi beliau tidak lakukan.
Dalam sesi kedua, masih ada kesempatan tetapi Anwar tidak buat. Sesi ketiga juga beliau tidak buat.
Kenapa Anwar mesti bengang digantung dari Parlimen? Bukankah beliau sendiri yang sengaja memutar belit dan memanipulasi fakta yang kononnya gagasan 1Malaysia itu diceduk daripada kempen 1Israel?
Kalau dibaca tulisan penulis blog pro kerajaan, ada asasnya bahawa Anwar memang suka 'digantung kerja' di Parlimen. Jika tidak, tak mungkin beliau berani membuat kenyataan bohong dan palsu di Dewan Rakyat.Azmin, Karpal dan Sivarasa pula tidak lebih daripada bertindak sebagai "sidekicks" kepada Anwar untuk menghadapi perbicaraan kes liwat yang sukar untuk ditangguhkan akibat surat Azlan Mohd. Lazim, iaitu bapa Mohd. Saiful Bukhari Azlan kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin supaya dipercepatkan perbicaraan liwat anaknya.
Jadi, mahu tidak mahu Anwar perlu mencari jalan untuk fokus kembali kepada kes liwat itu.
Usaha pembangkang hendak mengheret Pandikar Amin ke mahkamah, sekadar buat 'gempak' kerana ia tidak akan berhasil. Mahkamah tidak boleh mencampuri urusan atau prosiding Dewan Rakyat. Parlimen ada kekebalannya tersendiri yang tidak membenarkan mahkamah campur tangan.
Namun semua gelagat hodoh ini menunjukkan pakatan sendiri lupa akan tindak-tanduknya terhadap wakil rakyat Barisan Nasional. Jangan buat-buat lupa bagaimana Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang, Datuk Azhar Ibrahim digantung selama enam bulan dan Ketua Pembangkang DUN Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo digantung selama setahun daripada menghadiri persidangan walaupun tidak mengikut prosedur.
Mereka dan wakil rakyat BN tidak melolong dan menjerit-jerit melemparkan kata-kata keji kepada Speaker. BN terima tanpa buat kecoh. Apa yang pelik, bila pembangkang laksanakan hukuman itu tidak salah tetapi bila dibuat terhadap mereka, tidak boleh.
Inilah sikap pemimpin pembangkang yang hanya menggunakan pangkat dan undi daripada rakyat untuk perjuangan diri dan politik sempit mereka sahaja.
Perangai ahli-ahli Parlimen pembangkang sangat memalukan Parlimen Malaysia. Saya ingin bertanya, inikah sikap pemimpin yang perlu disokong untuk menegakkan kerajaan di Putrajaya.
Kasihan kepada pengundi dan penyokong yang memilih pembangkang. Pengundi memilih mereka untuk membawa dan membahaskan isu-isu rakyat, pembangunan dan kemakmuran negara. Malangnya anggota pembangkang yang mereka pilih itu menggunakan Dewan untuk dijadikan seperti sarkas
No comments:
Post a Comment