Monday, March 12, 2012

PAS PUSAT MULA INTAI KUASA KEDAH



PADANG RENGAS 10 Mac - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak mempunyai bidang kuasa pentadbiran negeri yang tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak termasuk Jawatankuasa Pemandu Pas Pusat, tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Beliau berkata, sebagai ketua tertinggi dalam badan eksekutif negeri, Azizan berhak untuk menerima atau menolak sebarang cadangan atau keputusan daripada pihak lain.

"Apa yang diputuskan oleh Menteri Besar dan barisan Exconya itulah yang digunapakai dan keputusan daripada Jawatankuasa Pemandu Pas Pusat tidak boleh digunapakai.

"Sebenarnya arahan parti itu boleh berjalan (dilaksanakan) sekiranya ada kerjasama daripada Menteri Besar berkenaan dan kalau beliau tidak mahu mendengar, beliau berhak. Sememangnya apa yang dikatakan oleh Azizan adalah betul," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi Parlimen Padang Rengas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Perak, di sini hari ini.

Semalam, Azizan memberi 'pukulan balas' kepada kelompok yang cuba melemahkan kepimpinannya apabila menegaskan beliau hanya berpegang kepada peraturan termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah untuk mengurus tadbir kerajaan negeri.

Bagaimanapun, katanya, beliau sentiasa terbuka untuk mendengar pandangan daripada mana-mana pihak termasuk Jawatankuasa Pemandu yang ditubuhkan Pas untuk memantau kerajaan negeri secara peribadi.

Mohamed Nazri yang sependapat dengan Azizan berkata, Jawatankuasa Pemandu Pas Pusat tidak mempunyai kuasa dalam pentadbiran negeri dan memerlukan kerjasama daripada Menteri Besar untuk melaksanakan sesuatu cadangan atau keputusan yang dibuat.



Jawatankuasa Pemandu cerminkan Pas tidak yakin Azizan

KULAIJAYA 6 Mac - Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan tindakan Pas Pusat menubuhkan Jawatankuasa Pemandu bagi memantau semua keputusan yang dibuat kerajaan negeri Kedah mencerminkan parti itu tidak yakin terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Timbalan Perdana Menteri berkata, sekiranya Pas Pusat yakin terhadap kepimpinan Azizan, sudah pasti jawatankuasa tersebut tidak perlu diwujudkan.

"Ini (jawatankuasa) jelas mereka tak yakin dengan MB (Menteri Besar). Di Johor, kita tidak ada jawatankuasa pemandu untuk pantau Datuk (Abdul) Ghani (Othman).

"Ini memberi gambaran krisis Pas belum selesai. Tugas Azizan akan lebih mencabar," katanya ketika diminta mengulas tindakan Pas Pusat menubuhkan Jawatankuasa Pemandu itu.

Muhyiddin ditemui selepas menghadiri Majlis Jalinan Mesra Rakyat dan merasmikan bangunan baru Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kulaijaya, di sini hari ini.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata, isu Azizan adalah soal dalaman Pas dan keutamaan kerajaan Pusat adalah aspek kebajikan dan nasib rakyat negeri itu yang pasti terjejas akibat pentadbiran yang terganggu kesan daripada isu tersebut.




"Pas ini memang parti pelik. Kita tak kisah, itu soal parti mereka dan yang kita pentingkan adalah supaya kebajikan dan nasib rakyat Kedah terus terjamin.

"Mereka (rakyat Kedah) tak payah pilih Pas, pilih sahaja BN...selesai masalah," katanya.

Mengenai kadar tol Lebuh Raya Lingkaran Penyuraian Timur (EDL), beliau berkata, keputusan mengenainya akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

Katanya, perkara itu telah dibincangkan pada mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dan kerajaan negeri serta Kementerian Kerja Raya telah memberikan pandangan mengenai perkara tersebut.

"Keputusan mengenainya akan dibuat tidak lama lagi dan saya fikir ia akan memberikan keceriaan kepada penduduk Johor dan pengguna EDL," katanya.

EDL sepanjang 8.1 kilometer dibina oleh Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) dengan kos RM1 bilion itu bertujuan menjimatkan masa serta menyelesaikan masalah kesesakan jalan terutama di Jalan Tebrau dan Jalan Pandan di Johor Bahru.



Pas memanjakan pemberontak



NAMPAK benar Pas Pusat menuruti hawa nafsu dalam menangani isu pemberontakan politik dua Exco Kerajaan Pas Kedah. Ketika ramai orang khususnya ahli Pas Kedah mengharapkan Pas Pusat bersikap tegas tetapi sebaliknya mereka ternampak lebih memanjakan kumpulan pemberontak itu.

Bagi Pas Pusat, Datuk Phahrolrazi Zawawi dan Dr. Ismail Salleh adalah manusia istimewa. Exco kanan ini yang terang-terang menentang dan memusuhi Menteri Besar dipandang mulia dan dilayan seperti pahlawan menang perang.

Walhal Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak adalah orang yang sepatutnya mendapat layanan sedemikian rupa. Azizan orang nombor satu di Kedah, ketua tertinggi badan eksekutif negeri. Azizan juga adalah Pesuruhjaya Pas.

Azizan perlu diutamakan dan didahulukan sesuai dengan kedudukannya selaku Menteri Besar dan ulama.



saktinya Phahrolrazi sehinggakan kemahuannya perlu dituruti oleh Pas Pusat. Begitu sekali kuasa Phahrolrazi yang melampaui kekuasaan seorang Menteri Besar dan Pesuruhjaya Pas.

Setakat ini, Phahrolrazi berada di pihak yang menang. Betul, sebagaimana ditegaskannya semasa memasuki bilik mesyuarat perundingan bersama kepimpinan Pas Pusat bahawa beliau yakin akan menang

Tak cukup isu itu dibincang di peringkat Pusat, beliau berjaya membawa kepada campur tangan kepimpinan tertinggi terus ke Seri Mentaloon. Yang datang berbondong-bondong cuba menjadi orang tengah bukan sebarangan orang.

Setelah Naib Presiden, Salahuddin Ayub, barisan kepimpinan Pas termasuk Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bergegas ke Kedah untuk misi mendamaikan dua nakhoda dalam satu bahtera ini. Tetapi campur tangan peringkat tertinggi itu pun dianggap gagal.




Hanya kemudian, Pas Pusat melalui Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Pemandu. Untuk apa? Alasan mereka ia untuk menasihati pentadbiran kerajaan negeri.

Tetapi bagi empunya jawatan Menteri Besar sendiri menegaskan: “Kita ikut apa Perlembagaan Kedah kata. Jawatankuasa Pemandu itu, dia hendak bagi pandangan atau nasihat. Secara peribadi saya dengarlah, sesiapa pun boleh bagi nasihat,”.

Phahrolrazi pula melihat matlamatnya 'supaya Kedah ditadbir secara berjemaah' tercapai.

"Dengan penubuhan Jawatankuasa Pemandu, ini bermakna akan ada pihak yang memantau pentadbiran negeri," kata beliau seperti dipetik Harakahdaily.

Aneh, semasa para pemimpin Pas menguar-uarkan krisis pentadbiran Kerajaan Pas Kedah selesai dengan kedudukan menang-menang, timbul pula tuduh menuduh antara dua kubu - Azizan dan Phahrolrazi.

Kubu satu lagi menuduh Azizan berikan projek bernilai RM60 juta setahun kepada kontraktor UMNO. Ada juga tuduhan ia ada kaitan dengan projek jalan pesisir bernilai RM600 juta.

Kubu satu lagi pula kononnya menuduh Phahrolrazi menerima wang daripada seorang tauke. Semuanya masih dalam bentuk tuduhan yang tersebar luas dalam blog dan portal.

Tiada siapa berani membuat laporan polis mahupun kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Cuma kubu Azizan menafikan projek RM60 juta punca perselisihan Azizan-Phahrolrazi.

Selepas isu dikatakan selesai, Azizan masuk hospital untuk rawatan mata pun dijadikan isu besar sehinggakan kubu Menteri Besar meminta bantuan agar khabar yang memburuk-burukkan kesihatan Azizan dipintas.




Yang menimbulkan tanda tanya apabila Azizan dalam membela dirinya menyatakan, `apa dosa saya. Saya tidak ada skandal perempuan, tidak sapu projek, tidak ambil balak,”.

Siapakah orang dalam Pas yang ada skandal dengan perempuan, menyapu projek atau ambil balak? Orang Pas tentu tahu siapa yang dimaksudkan oleh Azizan.

Sekarang jelaslah. Ini rupanya cara Pas mengatasi masalah - sorok dan terus sorok di bawah permaidani.

Sebenarnya, dari awal mereka tidak mengakui ia satu masalah apatah lagi krisis. Ia sekadar berbeza pandangan, hanya ribut dalam cawan, kata mereka.

Sebab itu ada orang menyebut Pas kini dibelenggu dengan sindrom penafian yang cukup tebal.

Semua ini dulu penyakit UMNO. Lucu, ketika melaungkan slogan parti pengganti UMNO, mereka turut adaptasi perangai lama UMNO itu. Memanglah perubahan dalam UMNO belum ketara sangat tetapi sekurang-kurangnya ia berada dalam kedudukan lebih baik berbanding parti berlabel Islam ini.

Di akhir kekuasaan Azizan, beliau dianiaya dan di aibkan sedemikian rupa, oleh anggota keluarganya sendiri. Jika beginilah mereka melayan orang seperti Azizan, bagaimana pula agaknya kepada orang kebanyakan?

Mereka tak peduli soal rakyat dan pembangunan negeri. Waktu yang tak banyak ini sepatutnya digunakan untuk tujuan kebajikan rakyat dan kemakmuran negeri. Sudahlah tak banyak pembangunan dibawa, saling bercakaran pula.

Cara Pas dan pakatan pembangkang sejak kebelakangan ini begitu kental dengan kepentingan kekuasaan. Apakah pembangunan yang boleh dibanggakan dibawa oleh mereka? Tiada.

Sebab itu cara mudah ialah melencongkan perhatian umum dengan menyerang apa juga kelemahan Kerajaan Pusat. Kelemahan Kerajaan Pusat kalau mahu dicari-cari memang ada, kerana mereka banyak melakukan perubahan dan pembangunan.




Sebaliknya apa yang pakatan pembangkang suka buat? Apa sahaja yang ada kepentingan untuk meneruskan kekuasaan dan menyebabkan kerajaan Barisan Nasional nampak lemah, akan dieksploitasi serta dimanipulasi sehabis mungkin.

Bekas imam, Hoslan Hussin yang dijatuhkan hukuman penjara satu tahun kerana menghina mahkamah setelah membaling selipar ke atas hakim itupun diangkat jadi isu besar untuk memburuk-burukkan sistem kehakiman.

Aneh, kenapa mereka membela dan memanjakan 'orang yang angkuh, biadab, riak dan ganas ini? Tidak mengapa rasanya jika mahu mengumpulkan dana bagi membantu lelaki yang mempunyai enam anak ini tapi janganlah dibangga-banggakan perbuatannya itu.

Apakah mungkin ia dilakukan kerana bekas imam ini yang mengaku ahli Pas tegar boleh meraih simpati ahli-ahli Pas dan juga rakyat, lantas melonjakkan imej mereka yang sudah semakin terhakis ini? Agaknya apa reaksi mereka jika Presiden atau Mursyidul Am nanti dibaling selipar?

Berpada-padalah jika mahu membela dan memanjakan orang. Pas bukan parti yang baru semalam ditubuhkan. Jangan nanti ia dilabel parti untuk para pemberontak pula. - warungpolitikmm@gmail.com


PAS lantik 5 'driver' untuk Kedah


Antara yang akan menganggotai jawatankuasa itu ialah Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali;Pesuruhjaya Pas Johor Datuk Dr Mahfodz Mohamad, Ahli Parlimen Tumpat Datuk Kamaruddin Jaafar dan bekas Pengarah Pilihan raya Pas Perak, Asmuni Awi. Bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Halim Abdul Rahman merupakan pengerusi jawatankuasa pemandu tersebut.


No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]