IPT tanpa PTPTN?
AKHBAR Sinchew Daily bertarikh 14 April 2012 pula melalui ruangan Sudut Pendapat memaparkan tulisan Ketua Beritanya, Hou Yah Lun berkenaan usaha pembangkang memansuhkan PTPTN.
Pemimpin pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menimbulkan isu ini dan berjanji jika pakatan pembangkang memerintah Kerajaan Pusat, mereka akan memansuhkan skim PTPTN dan kos pendidikan pengajian tinggi itu dicadang akan ditanggung oleh Petronas supaya golongan muda mudi semua kaum dapat pendidikan dari sekolah rendah sehingga ke universiti secara percuma.
Pengajian tinggi adalah pendidikan yang menelan kos yang besar, siapa yang tidak mahu jika ia dapat secara percuma? Cadangan seperti ini memang baik tetapi bagaimana ia boleh direalisasikan? Sejak PTPTN ditubuhkan dan dilaksanakan, ramai pelajar dapat tamatkan pendidikan tinggi mereka kerana pinjaman itu.
Kemasukan di institusi pengajian tinggi (IPT) awam memang terhad, menyebabkan ramai pelajar tidak dapat masuk. Walaupun keadaan sekarang agak berbeza, ramai pelajar yang cemerlang lepaskan peluang mereka masuk ke IPTA dan ambil keputusan belajar di IPT swasta.
Mereka memilih IPTS yang bayaran yuran agak tinggi agar dapat memilih bidang yang mereka minati. Kos yang ditawarkan di IPTS juga lebih dinamik dan sesuai dengan keperluan di pasaran pekerjaan serta IPTS biasanya mempunyai program berkembar dengan universiti luar negara.
Pada mulanya, skim PTPTN ini ditawarkan kepada pelajar di IPTA, kini diperluaskan ke peringkat IPTS. Ia memang banyak mengurangkan beban ekonomi pelajar-pelajar di IPTS dan telah memberi peluang kepada mereka untuk tamatkan pengajian.
Ada sesetengah orang tidak setuju selepas mereka tamat pengajian dan bekerja, terpaksa pula bayar balik pinjaman PTPTN. Mereka anggap, pihak kerajaan sepatutnya beri pendidikan secara percuma kepada rakyat.
Mansuhkan PTPTN dan beri secara percuma belajar di IPT bukan semudah apa yang diperkatakan, ini melibatkan kos yang amat tinggi. Walaupun kerajaan mampu menanggungnya, yang dapat menikmati kebajikan seperti ini bukan semua golongan muda mudi. Pendidikan tinggi itu bukan wajib ataupun pendidikan paksaan dan bukan semua orang memilih ke jalan itu.
Selain itu, tempat di IPTA terhad. Jika PTPTN dimansuhkan, adakah bermakna pihak kerajaan akan serap kos dan yuran di IPTS juga? Jika pakatan pembangkang memerintah, benarkah mereka dapat lakukan semua itu? Jika pihak kerajaan tidak dapat menanggung kos dan yuran di IPTS tetapi mansuhkan juga PTPTN, bagaimana pula dengan pelajar-pelajar miskin mahu melanjutkan pelajaran mereka?
Buat masa ini, faedah yang dikenakan oleh PTPTN hanya satu peratus. Bayaran balik dilonggarkan selama 15 tahun selepas mahasiswa tamat belajar dan mencari pekerjaan. Setiap bulan bayar balik pinjaman PTPTN sebanyak RM100 hingga RM200 sahaja. Sebenarnya, ia bukan satu masalah yang rumit, bukankah ini sebagai satu tanggungjawab mereka kepada masyarakat?
Anwar pernah menjadi Menteri Pelajaran dan pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri. Jika sejak zaman memegang jawatan dahulu beliau telah tukar sistem seperti ini untuk memberi pulangan kepada rakyat, bukankah itu satu yang lebih baik?
Berkaitan isu memansuhkan skim PTPTN dan mencadangkan mahu memberi pendidikan di IPT secara percuma, diharap beliau dapat beri penjelasan langkah-langkah selanjutnya dengan butir-butir yang terperinci.
Adakah dengan tidak menaikkan cukai tetapi boleh laksanakannya, ataupun naikkan harga cukai di sektor-sektor lain untuk pembiayaan pendidikan secara percuma di IPT?
No comments:
Post a Comment