Wednesday, April 4, 2012

BENARKAH DAP DEMOKRATIK?

ARKIB : 22/08/1998

Kongres selamatkan DAP?


KONGRES Parti Tindakan Demokratik (DAP) kali ini menjadi tumpuan bukan sahaja di kalangan anggota-anggota parti malahan pemerhati luar. Banyak faktor yang menjadikan kongres hari ini begitu menarik.

Pertama, ia berlangsung ketika DAP dilanda krisis yang dianggap paling buruk dalam tempoh 32 tahun Lim Kit Siang sebagai Setiausaha Agung yang berkuasa.

Kerana mengkritik pemimpin, DAP yang selama ini melaungkan isu-isu berkaitan prinsip-prinsip demokrasi, ketelusan, kejujuran, akauntabiliti dan sebagainya, banyak yang dipecat, digantung dan ''membawa diri''.

Parti itu juga menutup mulut ahli-ahli daripada bercakap mengenai hal ehwal parti sedangkan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) yang sering diserang DAP membenarkan ahli-ahli parti bercakap walaupun benda yang tidak betul.

Lebih menarik, kongres bakal memilih 20 anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC). Sebanyak 56 orang termasuk Kit Siang menawarkan diri untuk merebut jawatan itu.

Di kalangan 20 ahli jawatankuasa inilah yang akan memilih siapa penyandang jawatan setiausaha agung, pengerusi, timbalan pengerusi dan naib-naib pengerusi.

Adakah Kit Siang dipilih sekali lagi walaupun beliau seringkali ingin meletak jawatan bagi memenuhi tanggungjawabnya terhadap kekalahan parti dalam setiap pilihan raya umum. Banyak lagi isu dalaman DAP yang boleh disentuh pada kongres kali ini tetapi apa yang mengejutkan ialah apabila kongres dua hari itu (22-23 Ogos) terpaksa dipendekkan kepada sehari sahaja.

Keputusan ini menimbulkan tanda tanya lebih-lebih lagi kongres ini dianggap penting bagi menentukan hala tuju parti menjelang pilihan raya umum akan datang. Kongres terpaksa dipendekkan walaupun berlarutan sehingga ke tengah malam bagi membolehkan anggota-anggota parti memberi sokongan moral kepada Lim Guan Eng yang akan membuat rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan Isnin ini.
Benarlah apa yang didakwa oleh sesetengah anggota parti itu bahawa Kit Siang lebih mengutamakan anaknya, yang juga Timbalan Setiausaha Agung dan Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY). Jelaslah, kempen ''Sokong, Simpati dan Perpaduan Untuk Guan Eng'' berlangsung hingga ke saat-saat terakhir Mahkamah Persekutuan membuat keputusan.

Agak menghairankan, jika itu diutamakan kenapa kongres perlu diadakan menjelang kes Guan Eng didengar Isnin ini. Kit Siang sendiri sedang membilang hari mengenai kemungkinan anaknya terpaksa berada di Penjara Kajang
.
Dengan memendekkan masa kongres itu, sudah tentu para perwakilan mempunyai masa yang singkat untuk membincangkan pelbagai isu. Mungkin beberapa isu yang hangat dibicarakan selama ini tidak terjawab.

Terdapat juga kebimbangan, kongres kali ini tidak berjalan dengan adil, bersih dan bebas. Kemungkinan muncul pengundi hantu yang akan membantu kemenangan orang-orang tertentu dalam pemilihan kali ini.

''Kit Siang sering kali meminta kerajaan bersikap adil, telus, bersih, mengamalkan prinsip demokrasi dan pelbagai lagi, tetapi dalam DAP sendiri tidak wujud amalan ini,'' kata seorang anggota parti itu.
Semangat DAP sebenarnya belum pulih. Kekalahan teruk yang dialami pada pilihan raya umum lalu khususnya di Pulau Pinang masih terasa. Episod Tanjong III menjadi igauan buruk. Kit Siang yang merajuk serta berhasrat meletak jawatan pada 1995 tetapi menarik balik selepas itu cuba 'kembali' aktif di Pulau Pinang. Beliau menunggu isyarat sokongan selepas pengumuman pada 3 Mei lalu.
Bagi Kit Siang, perjuangan kali ini bukannya episod Tanjong IV. Angka empat tidak membawa makna kejayaan. Perjuangan kali ini untuk pembaharuan ke arah keadilan, kebebasan dan demokrasi.
Malangnya hasrat itu tidak menerima respons yang menggalakkan khususnya dari penduduk Pulau Pinang.

Malahan Karpal Singh selaku Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan mendakwa ada di kalangan pemimpin di Pulau Pinang melihat Kit Siang sebagai 'orang luar'. 

Seorang pemimpin DAP negeri ketika dihubungi mengenai keputusan itu juga hairan dan berkata: ''Kenapa dia (Kit Siang) harus mengumumkan untuk kembali, bukankah dia MP (Ahli Parlimen) Pulau Pinang''.
 
Memanglah sebelum ini iaitu pada 1990, Kit Siang dijemput ke Pulau Pinang untuk bertanding tetapi sudah tiga penggal Kit Siang bertapak di Pulau Mutiara.

Setelah sebulan mengumumkan hasrat itu, Kit Siang mendapat isyarat bahawa Pulau Pinang menerimanya. Itupun selepas berlaku perubahan dalam pucuk pimpinan negeri yang kini dipimpin oleh Karpal. Sebelum itu, tidak ada reaksi yang menggalakkan ketika Teoh Teik Huat menerajui DAP negeri sebaliknya isu yang timbul ialah kempen untuk menumbangkan Kit Siang dan slogan ''32 Is Enough'' (Cukuplah 32).

Semua orang sedar slogan itu ditujukan khusus kepada Kit Siang. Di sebalik keputusan Kit Siang untuk kembali ke Pulau Pinang, DAP telah ''mengorbankan'' beberapa pemimpin parti yang meletak jawatan sebagai pengerusi dan timbalan pengerusi. Secara diam-diam, lanjutan pengumuman itu juga, Kit Siang diserang kerana terlalu memberi tumpuan untuk mempertahankan anaknya. Akibatnya, mereka yang membuat serangan itu menerima padah.
 
Pada 3 Jun, CEC melucutkan jawatan Naib Pengerusi Liew Ah Kim yang juga Ahli Parlimen Seputeh, Setiausaha Publisiti, Wee Choo Keong dan Bendahari Fung Ket Wing.

Serangan berterusan oleh trio ini melalui media massa dan sebagainya memaksa jawatankuasa disiplin parti memecat Wee pada 12 Julai lalu manakala keanggotaan Liew dan Fung digantung. Wee didakwa tidak bertanggungjawab dengan niat menimbulkan rasa tidak puas hati terhadap pucuk pimpinan parti ketika berucap pada mesyuarat DAP Ipoh pada 24 Mei dan 31 Mei di Melaka.

Wee juga mengkritik pemimpin parti yang menggunakan majalah parti The Rocket untuk memberi publisiti terhadap kempen mempertahankan Guan Eng.

Seorang pemimpin DAP Pulau Pinang ketika ditanya mengenai pelancaran semula The Rocket mengakui bahawa majalah parti itu lebih mengutamakan kempen menyelamatkan Guan Eng. Liew dan Fung pula dikenakan tindakan kerana didakwa gagal menggunakan kedudukan mereka untuk mengambil langkah menenangkan situasi tegang yang timbul selepas ucapan Wee di Melaka.

Ketika mengulas tindakan itu, Wee berkata: ''Kita tak boleh salahkan DAP, yang bersalah ialah Lim Kit Siang yang tidak demokrasi, cakap tak serupa bikin''.

Liew dan Fung pula berkata, DAP akan hancur jika setiausaha agung tidak mengubah sikap.

Selepas penggantungan trio itu, banyak isu didedahkan. Karpal mendakwa terdapat satu pakatan sulit yang bergerak selama setahun bagi menumbangkan Kit Siang dan beliau. Pakatan itu menggunakan kod KOKS (Knock Out Kit Siang) (Knock Out Karpal Singh). Terdapat juga KODC (Knock Out Dr Chen Man Hin.

Isu inilah yang akhirnya memecahkan DAP Pulau Pinang dengan peletakan jawatan pengerusinya, Teoh Teik Huat dan naib pengerusi Gooi Hock Seng.

Sebelum kehadiran Kit Siang, merekalah menjadi jentera utama yang menggerakkan parti di Pulau Pinang. Turut sama meletak jawatan ialah Pengerusi Biro Pendidikan dan Politik Negeri K. Balasundaram dan pemimpin pemuda, Teh Beng Hai. Mereka meletak jawatan kerana mendakwa mandat untuk berkhidmat dalam jawatankuasa negeri telah diketepikan oleh 'serangan membuta tuli dan tidak wajar' oleh Karpal.

Adalah tidak wajar pemimpin peringkat negeri itu diserang kerana parti telah memberi mandat kepada mereka setelah Karpal berundur dari jawatan pengerusi dan Kit Siang pula mengucapkan selamat tinggal kepada Pulau Pinang.

Barisan baru yang dipimpin oleh Teoh sepatutnya diberi peluang untuk memberi nafas baru kepada DAP Pulau Pinang.

Hari ini Liew, Fung, Teoh, Balasundaram juga disenaraikan untuk bertanding dan nasib mereka akan ditentukan oleh 628 orang perwakilan. Hari ini, menentukan sama ada kempen KOKS yang dikatakan wujud dalam parti benar-benar mencapai kejayaan.
 
Persoalannya mampukah mereka ini yang dilihat sebagai orang yang menimbulkan masalah dapat meraih simpati perwakilan?.

Kit Siang mengakui kempen KOKS cuba menamatkan karier politiknya lebih awal tetapi menyerahkan keputusan itu kepada perwakilan hari ini.


''Saya bersedia untuk berundur daripada memimpin DAP dengan pelbagai jawatan sejak 32 tahun lalu, sebagai setiausaha organisasi kebangsaan dan editor Rocket dalam tahun 1966 dan dilantik sebagai setiausaha agung pada Oktober 1969,'' katanya.

Adalah dijangkakan, kumpulan yang cuba menggugat Kit Siang tidak mempunyai kekuatan. Malahan yang membimbangkan kemungkinan mereka ini menerima nasib lebih malang sama ada digantung atau dipecat.

Perwakilan mungkin sekadar menunjukkan tanda protes sekiranya bilangan undi yang diterima oleh Kit Siang berkurangan daripada calon-calon lain.

Jika perwakilan masih melihat ''DAP adalah Kit Siang dan Kit Siang adalah DAP'', maka tidak mungkin begitu mudah Kit Siang disingkirkan.
 
Sekalipun dalam tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ketika kongres 1988, Kit Siang bersama enam rakan yang lain masih mampu mempertahankan kedudukan mereka dengan meraih undi terbanyak. Beliau mampu mendapat 345 undi.

Dan kali ini, yang pasti, Kit Siang sudah cukup matang bermain politik.

Oleh: HASSAN MOHD. NOOR

1 comment:

PecahPalakMikir said...

salam perjuangan tuan
saya ingin memohon tumpang berjuang dgn pautan di blog tuan
http://pecahpalakmikir.blogspot.com/
Harap pihak tuan sudi berjuang bersama-sama saya. Terima kasih
Bahasa kita bahasa mudah,
Bahasa cintakan perjuangan Agama Bangsa dan Negara
Wasalam...

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]