Kebijaksanaan kaum Cina berpolitik
Kekalahan BN dalam pilihan raya kecil Bukit Gantang dan Bukit Selambau pada 7 April lalu, tidaklah mengejutkan.
Sentimen menolak BN sememangnya sudah terlalu kuat. Biarpun berlaku peralihan kepimpinan negara pada 3 April lalu dan kempen saat-saat akhir mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, ia tidak dapat membawa kemenangan.
Banyak faktor yang menyumbang kepada kekalahan BN antaranya calon, isu setempat dan sentimen kebencian yang dimainkan oleh kempen pembangkang termasuk fitnah dan serangan peribadi.
Di peringkat BN, kempen parti komponen seperti MCA dan Gerakan tidak agresif sebagaimana DAP. Misalnya, bilik gerakan ditutup pukul 11 malam sedangkan parti pesaing beroperasi sehingga awal pagi.
Bukanlah kita mahu menuding jari kepada mana-mana pihak tetapi itulah realitinya dan ia menuntut post mortem yang berani.
UMNO memang perlu berubah tetapi parti komponen yang lain juga perlu berubah. MIC sudah tentu memerlukan perubahan lebih besar terutama kepimpinannya.
Dengan prestasi hambar itu maka MCA, Gerakan dan MIC tidak berhak untuk membuat pelbagai tuntutan apatah lagi bagi jawatan Timbalan Perdana Menteri kedua.
Sebarang pendirian parti komponen untuk mengasak UMNO bagi memenuhi semua kehendak politik bukan Melayu kononnya atas nama pembaharuan, tidak akan membantu sama sekali kebangkitan BN. Jika ia terus dilakukan atas andaian UMNO makin lemah, itu adalah percaturan yang silap. Walaupun UMNO berdepan dengan banyak tekanan dan kekangan, parti itu belum hilang kekuatan.
Ternyata trend undi masyarakat Melayu kepada BN meningkat termasuk dalam pilihan raya kecil terbaharu sedangkan undi bukan Melayu menyusut. Para pengundi bukan Melayu seperti biasa akan membuat banyak tuntutan pada musim kempen tetapi undi mereka tetap kepada pembangkang.
Ini termasuk peti-peti undi yang paling banyak menerima peruntukan yang ditagih oleh pelbagai pihak mewakili pengundi antaranya RM1 juta untuk sekolah Cina, RM400,000 sekolah Tamil, tuntutan tanah rizab dan puluhan lagi.
Apa makna ini semua? Bukankah ia menampakkan BN terus dipermainkan oleh pengundi bukan Melayu. Pada Awang, keputusan kedua-dua pilihan raya kecil itu dan beberapa yang lain sebelum ini adalah isyarat jelas kepada BN supaya jangan lagi terperangkap dengan muslihat sedemikian.
Usahlah mengharapkan sangat perubahan sokongan bukan Melayu. Inilah kesan pendekatan politik pemimpin PKR, Anwar Ibrahim yang berjaya menggugat kuasa politik Melayu. Anwar membuka laluan dan Pas membantu.
Sebab itu, pengundi Cina dan India sanggup memakai logo dan mengibarkan bendera Pas yang diterjemahkan menerusi peti undi. Ia bagi menjayakan agenda DAP dan PKR yang lebih dominan dalam pakatan pembangkang terutama dalam senario politik Perak.
Realitinya sampai hari ini masyarakat Cina tetap menolak agenda Pas untuk mewujudkan negara Islam. Pas bukan pilihan sebenar sebagaimana DAP dan PKR yang mempunyai gagasan termasuk Malaysian Malaysia yang lebih memikat. Begitulah kekuatan dan kebijaksanaan masyarakat Cina berpolitik, yang kemuncaknya nanti mahu dicapai pada Pilihan Raya Umum Ke-13. Mereka bersatu dalam percaturan. Jadi siapa yang tertipu?
BISIK-BISIK AWANG SELAMAT
Ke mana undi Cina?
SELAIN menanti keputusan pilihan raya kecil Tenang pada Ahad ini, Awang teruja untuk melihat sikap pengundi Cina. Dalam 13 pilihan raya kecil lalu yang diadakan selepas pilihan raya umum 2008, tidak banyak perubahan kepada pendirian pengundi Cina yang lebih memihak kepada pembangkang.
Walaupun pemimpin BN menunjukkan kemurahan hati dengan memenuhi banyak permintaan NGO dan masyarakat Cina setempat di sesuatu kawasan pilihan raya kecil, ia tidak diterjemahkan dalam bentuk undi.
Inilah persoalan menarik. Apakah kali ini ada perubahan sikap kepada pengundi Cina yang kini lebih terikat dengan aspirasi DAP dan PKR?
Berdasarkan perbincangan Awang dengan ramai penganalisis politik, pemimpin BN dan pengundi Cina, ada dua kesimpulan yang boleh dibuat. Pertama masyarakat Cina memerlukan lebih masa untuk menerima BN. Itu pun bergantung kepada perkembangan dan isu-isu yang kaum itu perjuangkan. Ini memerlukan kesabaran dan strategi yang kemas. Kedua, BN perlu bersedia menghadapi kemungkinan untuk tidak lagi bersandarkan harapan kepada pengundi Cina termasuk dalam pilihan raya umum akan datang. Jika ada peningkatan sokongan, itu dianggap bonus.
Faktor perpecahan Melayu dan percaturan pemimpin pembangkang Melayu termasuk Pas yang sanggup tunduk kepada DAP, sedikit sebanyak mempengaruhi sikap pengundi Cina.
Inilah dilema BN. Namun janganlah putus asa, peluang untuk memenangi hati kaum tersebut belum tertutup sama sekali. Ini kerana sebahagian orang Cina sedar bahawa kaum itu tidak boleh lari daripada politik arus perdana dalam menjamin masa depan mereka. Selama ini, masyarakat Cina menjadi dominan dalam ekonomi dan kekayaan negara adalah di bawah naungan BN.
Seperti mana kata-kata pemikir dan strategis Cina, Sun Tzu, emosi dan kepentingan masa singkat tidak akan menentukan kejayaan jangka panjang. Lebih-lebih lagi, BN di bawah pimpinan Perdana Menteri, Mohd. Najib Tun Razak menunjukkan komitmen tinggi untuk membela nasib semua kaum sebagaimana yang dibuktikan menerusi gagasan 1Malaysia. Tetapi seandainya majoriti pengundi Cina masih enggan menyokong BN, usahlah bimbang.
Awang percaya akan ada jalan keluar. Jangan lupa BN terutama UMNO belum hilang kekuatan dan pengaruh. Kita tunggu keputusan malam ini. Ia boleh menjadi titik tolak penting untuk BN merangka strategi baru termasuk bagi memperkasakan pula golongan yang sememangnya menjadi penyokong setia. Hati golongan ini yang perlu lebih dijaga. Jangan sampai mereka pula merajuk dan bertukar haluan, itu lebih parah. Maka berlakulah apa yang dikejar tidak dapat, yang dikendung berciciran. Jika itu berlaku, semuanya sudah terlambat.
No comments:
Post a Comment