Monday, April 16, 2012

KISAH TOK GURU


Nik Aziz 1

Setelah banyak membawa kecelaruan kepada umat Islam di negara ini selain mencetuskan keresahan kepada masyarakat Melayu, Mursyidul Am Pas, Nik Aziz Nik Mat bertukar nada.

Semalam, Nik Aziz menyatakan bahawa perjuangan terhadap Melayu perlu diutamakan. ‘‘Bagi Pas, orang Melayu perlu diutamakan dalam perjuangan kerana ia adalah kaum terdahulu (di Malaysia),’’ katanya.

Malah katanya lagi, kaum paling dominan adalah orang Melayu. Perubahan nada dan pendirian beliau itu mengundang persoalan. Selama ini, Nik Aziz mengetepikan hakikat Melayu perlu diberi lebih perhatian. Beliau langsung tidak mengambil kira soal sejarah, realiti masyarakat Melayu masih jauh ketinggalan dan keistimewaan yang termaktub dalam perlembagaan negara.

Mana-mana pihak yang mengambil pendekatan memperjuangkan kepentingan Melayu, akan dianggapnya sebagai jahil.

Tetapi Awang tidak terkejut. Demi politik, Nik Aziz boleh berubah sekelip mata. Awang setuju dengan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa Nik Aziz akan melakukan apa sahaja untuk memenangi pilihan raya umum dan kemudian menjadi pemerintah bersama dengan DAP dan PKR.

Hakikatnya di kalangan ramai orang Islam dan masyarakat Melayu, Mursyidul Am Pas itu dilihat sebagai ancaman kepada masa depan agama dan bangsa. Pendirian beliau dalam banyak isu termasuk membenarkan penggunaan kalimah Allah bagi penganut agama lain, tunduk kepada DAP dan mengetepikan agenda perjuangan bangsa, menghiris hati masyarakat Melayu. Apabila pengasas Singapura, Lee Kuan Yew menyeru umat Islam republik itu mengurangkan amalan nilai-nilai Islam baru-baru ini, Nik Aziz sanggup mempertahankan beliau.

Pada pilihan raya kecil di Tenang, beliau sekali lagi mencetuskan keresahan apabila mendakwa umat Islam yang tidak mengundi Pas adalah golongan jahiliah.

Kini Nik Aziz macam lalang ditiup angin terpaksa berpatah balik untuk menyakinkan semula masyarakat Melayu. Pada Awang, itu tidak cukup. Beliau sepatutnya memohon maaf atas banyak kenyataan dan tindak-tanduknya yang memudaratkan kepentingan agama dan bangsa.

Awang juga tertarik dengan perubahan strategi Pas sehingga terpaksa mengadakan Konvensyen Nasional Pengupayaan Bangsa: Jaminan Pas.

Rasanya tidak perlulah Pas bersusah payah mengadakan konvensyen seumpama itu. Ia tidak akan memberi sebarang kesan selagi Nik Aziz dan beberapa pemimpin Pas terus dicucuk hidung oleh DAP dan PKR.

Nik Aziz 2

Sudah sampai masanya Nik Aziz Nik Mat memerlukan kumpulan penasihat yang mantap bagi membantu beliau dalam mengeluarkan pandangan dan kenyataan media.

Jika tidak, Pas dilihat seperti organisasi pimpinan Ayah Pin. Buktinya, apabila Nik Aziz buka sahaja mulut, ia pasti mengundang padah kepada parti itu sendiri. Imej Pas akan menjadi lebih buruk dan parti itu seolah-olah melacurkan agama.

Terbaru, jawapan Nik Aziz kepada kritikan Dr. Mahathir juga longgar dan amat meragukan. Hujah-hujah Tok Guru tidak meyakinkan.

Awang hanya mahu menyentuh satu perkara iaitu penjelasan Nik Aziz mengapa beliau berbaik dengan DAP. Menurutnya, ia membolehkan Pas memperkenalkan Islam kepada DAP. Dengan kata lain beliau mahu berdakwah kepada ahli-ahli dan penyokong DAP. Sampai ke manakah tahap dakwah itu, apakah sehingga mengislamkan ramai penyokong DAP? Nik Aziz kena perjelaskan hal itu sedalam-dalamnya untuk pemahaman masyarakat Cina dan juga menepis kekeliruan umat Islam.

 Tetapi Awang percaya Nik Aziz terperangkap dengan kritikan Dr. Mahathir. Ternyata beliau tidak mempunyai jawapan yang konkrit. Jika mahu berbaik dengan parti bukan Islam dan bagi memperkenalkan Islam, UMNO telah mempelopori usaha itu bersama MCA dan MIC seawal tahun 1950an lagi. Muafakat antara agama dan kaum telah lama dimulakan oleh UMNO pada ketika Pas sibuk mengkafirkan parti-parti bukan Melayu suatu masa dahulu. Lebih ramai bukan Islam memeluk Islam terutama di era Tunku Abdul Rahman kerana kesederhanaan dan toleransi agama Islam di bawah naungan kepimpinan UMNO.

 Yang sebenarnya menjadi isu sekarang ialah sikap Pas terutama Nik Aziz mengikut telunjuk DAP. Beliau tergamak melabel UMNO sebagai pihak yang kononnya tidak mengamalkan Islam tetapi menjulang DAP yang diketahui sentiasa cuba menggugat kepentingan Islam. Beliau terlupa bahawa kerajaan UMNO paling banyak mendirikan masjid, sekolah agama selain universiti Islam, Tabung Haji, memperkenalkan Bank Islam, instrumen kewangan Islam, insurans Islam dan banyak sumbangan lagi. Semua itu bukan hasil perjuangan Pas apatah lagi DAP.

Setakat ini, tiada apa yang menampakkan DAP akur kepada muafakat kepimpinan Islam dalam pakatan pembangkang. Sebaliknya, banyak kepentingan Islam tergugat angkara percaturan politik DAP sementara Pas menjadi picisan. Maknanya Nik Aziz gagal di samping membuka lebih banyak ‘pencerobohan’ ke atas kepentingan Islam di negara ini. Beliau juga ternyata takut kepada DAP. Penegasan berulang kali Pengerusi DAP, Karpal Singh ‘langkah mayat saya sebelum menubuhkan negara Islam’ tidak berani disanggah oleh Nik Aziz. Beliau menikus seolah-olah Karpal juga adalah Pengerusi Pas. Belum pernah dalam sejarah Pas, ada pemimpin yang dayus dan celaru seperti Nik Aziz. Belum pernah...


Maafkanlah Nik Aziz...

Sebenarnya bukan kali pertama Nik Aziz berbuat demikian. Tetapi kali ini, ia lebih mendesak sebagai strategi untuk menutup banyak kepincangan dan isu-isu yang melibatkan integriti dan kronisme dalam pentadbiran kerajaan Pas Kelantan.

Isu tajaan haji oleh sebuah syarikat kepada Nik Aziz (yang kemudian dibatalkan setelah perkara itu didedahkan media), kes siasatan SPRM terhadap menantunya, Abdul Ariffahmi Ab. Rahman dan perpecahan dalam Pas di negeri itu, semakin menyerlahkan kegagalan beliau. Presiden Pas, Hadi Awang berpendapat Nik Aziz mendapat nasihat yang salah berhubung pelantikan menantunya sebagai Ketua pengawai Eksekutif, Perbadanan Menteri Besar Kelantan. Apa maknanya? Itu belum mengambil kira faktor tidak banyak perubahan di Kelantan di bawah kepimpinannya hampir 20 tahun. Beliau hanya banyak bergantung kepada nasihat dan tidak inovatif, demikian antara suara kritikan di kalangan ahli Pas.

Tidak hairan mengapa Nik Aziz menghadapi kritikan hebat daripada dalaman parti, yang keadaan itu tidak berlaku sebelum ini.

Ada beberapa pemimpin Pas sendiri secara senyap-senyap melihat Tok Guru itu sudah menjadi liabiliti kepada parti kerana semakin banyak melakukan kesilapan, yang memberi kesan kepada imej Pas di peringkat nasional.

Awang ingin bertanya berapa ramai pemimpin Pas yang tampil lantang mempertahankan Nik Aziz dalam isu-isu terbaru yang dihadapinya terutama tajaan haji dan isu menantunya? Kenapa mereka lebih banyak berdiam, mencetuskan persoalan. Bahkan ada yang terang-terang meragui beliau.

Sepatutnya Nik Aziz melihat ini sebagai isyarat penolakan terhadapnya namun beliau terus tenggelam dalam sindrom penafian. Seperti biasa, beliau 'mengugut' tidak mengampunkan mana-mana pihak yang mencetuskan masalah kepadanya sedangkan beliau sendiri adalah punca permasalahan

Lalu Awang sekali lagi tertanya-tanya apakah beliau maksum dan tidak melakukan dosa. Tidakkah perbuatannya memperalatkan agama bagi isu tertentu tidak berdosa kepada umat Islam di negara ini selain mengelirukan bukan Islam? Begitu juga dengan percaturan politiknya yang mengekang kesatuan Islam biarpun ketika kedudukan umat Islam goyah. Apakah juga kegagalannya yang panjang dalam membawa kesejahteraan ekonomi lebih baik kepada penduduk Kelantan, boleh dibanggakan sedangkan pengurusan Islam berorientasikan kecemerlangan?

Awang tidak berhajat untuk mengulas panjang tentang soal pahala dan dosa. Awang bukan ulama tapi mahu mengajak seluruh umat Islam di negara ini bersama-sama memaafkan sebarang dosa dan kesilapan Nik Aziz. Atas nama Islam, sudah tentu juga kita harus mendoakan yang terbaik untuk beliau walaupun doanya mahu menjahanamkan orang lain. Sesungguhnya rintangan terhadap survival Islam juga boleh datang daripada mereka yang mendakwa diri ulama tetapi sebenarnya turut mensabatoj agama. Kajilah sejarah Islam.



Kisah Nik Aziz...



MURSYIDUL Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat menunjukkan pemikirannya yang semakin bercelaru. Tok Guru itu tidak habis-habis memalukan Pas.

Terbaru beliau mempertahankan kenyataan mantan Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew agar umat Islam di republik itu tidak terlalu kuat berpegang kepada ajaran dan nilai Islam.

Aneh, seorang pemimpin Pas yang mahu menegakkan negara Islam boleh berkompromi dengan kenyataan Kuan Yew. Mujurlah sebahagian pemimpin Pas tidak senada dengan beliau. Antaranya Ketua Pemuda Pas, Nasruddin Hassan yang membidas Kuan Yew. Beliau ada keberanian menyanggah pengasas Singapura itu dengan hujah-hujah ilmiah mempertahankan ajaran dan nilai-nilai Islam.

Namun sikap Nik Aziz tidak mengejutkan. Jika beliau boleh tunduk dengan DAP maka tiada sebab untuk tunduk dengan Kuan Yew yang merupakan pengasas PAP, parti yang memerintah Singapura sehingga kini. Ini kerana PAP dan DAP ada jalinan strategik. Sebab itu, Nik Aziz tidak berani untuk bersuara mempersoalkan Pengerusi DAP Karpal Singh yang terus menolak penubuhan negara Islam.

 Pertama kali dalam sejarah ada pemimpin utama Pas yang menjadi alat DAP. Awang dapat tahu, ramai ahli Pas yang kecewa dengan kenyataan Nik Aziz lebih-lebih lagi menjelang pilihan raya kecil Tenang. Malah ada yang menyatakan beliau sudah tidak lagi relevan selain menjadi liabiliti kepada Pas. Awang juga berpendapat begitu. Anak Nik Aziz, Nik Abduh jauh lebih bijak dan wajar diberi peranan untuk meneruskan legasi bapanya suatu hari nanti.

Beberapa hari lalu pula, Nik Aziz mengeluarkan ‘fatwa’ bahawa mereka yang tidak mengundi Pas sebagai golongan jahiliah. Awang sudah tidak larat geleng kepala apabila bercakap tentang kecelaruan Nik Aziz. Menteri Besar Kelantan itu nampaknya riak dan semakin banyak menyalahgunakan Islam untuk kepentingan politik.

 Dua tokoh agama dari Kelantan iaitu bekas Ahli Jawatankuasa Ulama Pas, Mohd. Noor Idris dan Pengagas Pondok Geting, Tumpat, Abdullah Sa’amah turut menyelar kenyataan Nik Aziz. Awang harap Nik Aziz tidaklah meletakkan imejnya seperti pengamal ajaran sesat Ayah Pin yang sedang diburu oleh pihak berkuasa.

Jika dibuat perbandingan siri-siri kenyataan Nik Aziz sejak bertahun-tahun lalu dan Ayah Pin, rasanya Tok Guru itu lebih banyak mengelirukan umat Islam. Tetapi apakan daya, ketaksuban oleh sebahagian ahli dan penyokong Pas, menenggelamkan rasional. Sedihnya, di antara Islam sejati dan fahaman Nik Aziz, ramai juga yang sanggup memilih untuk akur dengan Tok Guru yang celaru.

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]