Wednesday, May 2, 2012

HAK ASASI MANUSIA.


Esei ini telah memenangi Hadiah Kedua
Peraduan Menulis Makalah Undang-undang 2001
Anjuran Majlis Peguam, Dewan Bahasa Pustaka dan Institut Terjemahan Negara


Hak Asasi Manusia:
Imbangan Antara Hak Ramai dan Hak Individu

Oleh Wong Hon Wai (honwai_wong@hotmail.com)


Mukadimah

Kamus Dewan menakrifkan hak asasi sebagai hak yang dasar atau pokok seperti hak bebas mengeluarkan pendapat, menganut sesuatu agama, bergerak dan lain-lain. [1]  Contoh yang diberi itu sebenarnya hanya merujuk kepada makna tradisi hak asasi manusia. Dengan perkembangan zaman, makna hak asasi harus diberi tafsiran yang lebih luas.

Di arena antarabangsa, terdapat 3 dokumen penting berkenaan Hak Asasi Manusia iaitu Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948, Kovenan Antarabangsa Hak-hak Sivil and Politik 1966 dan Kovenan Antarabangsa Hak-hak Ekonomi, Sosial dan Kebudayaan 1966.

Dalam kedua-dua kovenan antarabangsa tersebut, hak asasi manusia merangkumi tetapi tidak terbatas kepada hak-hak berikut:

(1) Hak sivil dan politik: Hak kebebasan bercakap, kebebasan beragama, kebebasan berkumpul dan menubuhkan persatuan, kebebasan daripada penderaan dan kesaksamaan di bawah undang-undang.

(2) Hak sosial, kebudayaan dan ekonomi: Hak kepada pendidikan, pekerjaan dan rekreasi, hak menikmati perkhidmatan yang minimum berkenaan kesihatan, tempat tinggal serta persekitaran yang selamat.

Ahli falsafah Barat, Rousseau, telah mengemukakan konsep “Kontrak Sosial”  pada tahun 1762.[2] Konsep kontrak sosial menggariskan hubungan antara ahli-ahli masyarakat di mana setiap ahli melepaskan hak individu tertentu untuk mendapatkan keselamatan sosial yang bersifat kepentingan ramai.

Benih yang ditaburkan oleh Rousseau ini telah menampakkan pengaruhnya dalam nas-nas perundangan moden. Sepanjang pembentukan tamadun moden, imbangan antara hak individu dan hak ramai merupakan topik utama dalam perdebatan berkenaan hak asasi manusia.



Perbezaan Paradigma dalam Konsep Hak Asasi Manusia


Hak asasi manusia mulai mendapat tempat rasmi di arena antarabangsa melalui Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948. Perisytiharan tersebut dipelopori oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang keahliannya terdiri daripada kebanyakan negara-negara merdeka di dunia.

Kumpulan lain juga menerima pakai  piawaian hak asasi manusia. Komuniti Europah (European Community) misalnya telah memaktubkan Konvensyen Europah mengenai Hak Asasi dan Kebebasan Asasi 1950 yang mempunyai kuasa mengikat dari segi undang-undang terhadap negara anggota Komuniti Eropah.

Sementara itu, Majlis Islam juga telah mengisytiharkan Perisytiharan Islam terhadap Hak Asasi Manusia[3] yang berdasarkan al-Quran dan Sunnah. Perisytiharan ini lebih mementingkan semangat ummah yang membawa knosep komuniti. Setiap hak asasi manusia yang ditera dalam perisytiharan itu membawa bersama tanggungjawab tertentu[4]. Dalam setiap hak asasi manusia yang tertera, semua pihak adalah tertakluk kepada batasan untuk memenuhi syarat moral, ketenteraman awam serta kebajikan ummah.  [5]

Bagi tamudun lama Cina pula, susunan masyarakat berasaskan persetujuan dalam keluarga, kemudian dilanjutkan persetujuan itu  ke peringkat kampung dan negara.[6]. Susunan masyarakat Cina yang berasaskan fahaman Confucius sememangnya berbeza dengan di negara-negara Barat yang lebih individualistik.

Perbezaan dari satu tamadun ke tamadun yang lain menampakkan perbezaan persepsi antara hak asasi manusia. Di satu pihak terdapat unsur individualistik yang mementingkan hak individu dan bersifat bertentangan dengan hak ramai. Di satu pihak yang lain pula terdapat semangat  komuniti yang tinggi yang mementingkan hak ramai daripada hak individu.


Tinjauan terhadap Perundangan yang melindungi Hak Asasi Manusia di Malaysia


Di bawah Bahagian 2, Perlembagaan Malaysia termaktubnya sembilan kebebasan asasi. Secara umumnya, Perlembagaan Malaysia memperuntukkan hak individu tetapi tertakhluk kepada syarat-syarat tertentu umpamanya ketenteraman awam, kesihatan awam dan moral yang merupakan hak ramai.

Kita akan mendapat perspektif yang lebih jelas dengan merujuk secara mikroskopik terhadap salah satu kebebasan asasi yang dijamin oleh Perlembagaan Malaysia. Perkara 10 antaranya memberi hak bebas bercakap, mengeluarkan fikiran, berhimpun secara aman dan dengan tidak bersenjata serta menubuhkan persatuan kepada semua warganegara Malaysia.

Menurut pandangan seorang ahli akademik, Harding, Perkara 10 sebenarnya bukan memberi hak tersebut tetapi mengambil balik hak tersebut. [7]

Hak-hak yang tersebut di atas sebenarnya tertakluk kepada Perkara 10(2) di mana Parlimen diberi kuasa untuk mengawal hak tersebut dan ia boleh dikurangkan melalui Akta-akta Parlimen berasaskan lapan alasan. Alasan-alasan tersebut ialah kepentingan keselamatan Persekutuan, perhubungan persahabatan dengan negeri lain, ketenteraman awam, keistimewaan Parlimen dan Dewan Negeri, penghinaan terhadap mahkamah, akhlak, fitnah atau perbuatan mengapi-api supaya dilakukan suatu kesalahan serta mempersoalkan kedudukan yang dilindungi di bawah Bahagian 3, Perkara  152,153 dan 181.

Kelapan-lapan alasan tersebut boleh dikategorikan secara umumnya di bawah hak ramai. Dengan itu, Perkara 10 walaupun memberikan hak kepada individu tetapi tertakhluk kepada lapan hak ramai.

Jika dibandingkan dengan Konvensyen Eropah mengenai Has Asasi Manusia dan Kebebasan Asasi 1950 yang menggariskan bahawa kebebasan bercakap hanya dibataskan di mana diperlukan di bawah satu masyarakat demokratik, kebebasan bercakap yang diberi di bawah Perlembagaan Malaysia adalah terbatas secara relatifnya.

Walau bagaimanapun, seperti yang dinyatakan oleh Prof Dr Shad Saleem Faruqi, penghayatan hak asasi manusia ialah satu perjalanan dan bukan satu destinasi memandangkan hak asasi manusia bukanlah sesuatu yang statik. [8]  Ancaman yang baru akan menimbulkan keperluan yang baru. Dengan peredaran masa, maka satu satu penghayatan semula tentang teori hak asasi manusia diperlukan. Malaysia juga tidak terkecuali daripada perubahan paradigma sejagat.

Di bawah Seksyen 2, Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 (Akta 597), pengertian hak asasi manusia merujuk kepada kebebasan asasi  yang termaktub dalam Bahagian II, Perlembagaan Malaysia. 

Seksyen 4(4) Akta 597 juga memperuntukkan bahawa rujukan harus dibuat kepada Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948  setakat yang tidak berlawanan dengan Perlembagaan Persekutuan.  Ini bermakna hak asasi manusia yang tidak disebut dalam Bahagian II tetapi dimaktubkan dalam Perisytiharan Hak Asasi Manusia 1948 harus dirujuk setakat tidak berlawan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Secara adatnya,  Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 dianggap sebagai undang-undang antarabangsa yang mengikat. Dengan terteranya Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999, konsep hak asasi manusia di Malaysia telah diperluaskan sejajar dengan perkembangan sejagat. 

Walaupun terdapat 28 perkara di bawah Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 yang menjamin hak asasi individu, terdapat satu klausa khas iaitu Perkara 29  yang menyebut bahawa setiap orang tertakluk hanya kepada batasan seperti yang ditentukan oleh undang-undang semata-mata bagi tujuan menjamin pengiktirafan dan penghormatan yang sepatutnya terhadap hak-hak dan kebebasan orang lain dan untuk mendekati keperluan-keperluan sepatutnya bagi akhlak, ketenteraman awam dan kebajikan umum dalam suatu masyarakat yang demokratik. [9]
Di bawah Kovenan Antarabangsa Hak-Hak Sivil dan Politik, idealisme manusia bebas untuk menikmati kebebasan sivil dan politik hanya dapat dicapai sekiranya memenuhi syarat-syarat asas yang membolehkan seorang menikmati hak sivil, politik, ekomomi, social dan kebudayaan. Di bawah perkara 4 Kovenan tersebut telah dinyatakan bahawa di bawah keadaan darurat yang mengancam keselamatan negara dan telah diisytiharkan secara rasmi, negara yang menandatangani Kovenan tersebut boleh mengambil langkah mengurangkan obligasinya dalam Kovenan itu tertakluk kepada keperluan semasa dengan syarat langkah-langkah itu bukan tidak konsisten dengan obligasi-obligasi lain di bawah undang-undang antarabangsa dan tidak melibatkan diskriminasi atas alasan bangsa, warna kulit, jantina, bahasa, agama serta asal-usul seseorang.  Dinyatakan juga terdapat hak-hak individu yang tidak boleh dikurangkan dalam apa-apa keadaaan seperti hak terhadap nyawa (Perkara 6), larangan terhadap hukuman berbentuk kejam (Perkara 7), larangan pengabdian (Perkara 8), larangan pemenjaraan atas alasan tidak dapat memenuhi obligasi kontrak (Perkara 11), hak perlindungan daripada undang-undang jenayah yang berkuatkuasa kebelakangan (Perkara 15), hak sebagai seorang manusia di bawah apa-apa undang-undang di mana jua (Perkara 16) serta kebebasan agama (Perkara 18). [10]

Walaupun piawaian dalam imbangan antara hak ramai dan hak individu adalah berbeza mengikut satu negara daripada negara lain, tetapi terdapat satu perkara yang umum iaitu terdapat peruntukan yang mengiktiraf bahawa hak individu boleh disekat demi kepentingan hak ramai. 


Tinjauan terhadap Keputusan Kehakiman yang bersangkutan dengan Hak Asasi Manusia di Malaysia

Bagi individu, mahkamah merupakan harapan terakhir untuk mengutarakan kes pencabulan hak asasi manusia. Dengan meninjau kes-kes yang telah diputuskan di mahkamah Malaysia, kita dapat menkaji pendekatan cabang kehakiman terhadap imbangan antara hak ramai dan hak individu.

Dalam kes Re Susie Teoh  [11], Hakim Mahkamah Tinggi YA Abdul Malek, memutuskan bahawa seorang bapa tidak mempunyai kuasa di bawah Akta Penjagaan Anak 1961 untuk memilih agama bagi anaknya. Anaknya mempunyai hak di bawah Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan untuk memilih agamanya sendiri. Ringkasnya, seseorang  bukan Islam  yang berumur di bawah umur 18 tahun boleh menentukan agamanya sendiri dan tidak tertakluk kepada kehendak penjaganya.

Tetapi, keputusan ini dibalikkan di Mahkamah Agung.[12] Di Mahkamah Agung telah diputuskan di bawah semua keadaan, demi kepentingan negara yang lebih utama (in the wider interests of the nation), seseorang minoriti[13] tidak mempunyai hak automatik untuk menerima ajaran berkaitan sesuatu agama tanpa kebenaran ibu bapa atau penjaganya. Dalam keputusan ini, kepentingan ramai mengatasi hak seorang kanak-kanak untuk memilih agamanya yang dijamin di bawah Perkara 11.

Dalam satu kes yang lain, kes Hajjah Halimatussadiah[14], mahkamah memutuskan hak  seorang kakitangan awam untuk memakai purdah adalah tertakhluk kepada perintah perkhidmatan awam. Dengan ini, hak ramai mengatasi hak individu seorang untuk memilih cara berpakaian demi alasan untuk mengekalkan disiplin di perkhidmatan awam.

Menurut keputusan kes Susie Teoh dan kes Hajjah Halimatussadiah, adalah jelas terdapat kecenderungan untuk memberi tempat yang lebih utama kepada hak ramai daripada hak individu.


Dalam kes Lau Dak Kee lwn Pendakwaraya[15], Mahkamah Tinggi telah memutuskan bahawa hak kebebasan bercakap adalah tertakhluk kepada undang-undang yang diluluskan di Parlimen.

Dalam kes Madhavan Nair lwn Pendakwaraya[16], Mahkamah Tinggi  telah mengisytiharkan bahawa mahkamah tidak mempunyai bidangkuasa untuk menyoal penggunaan perkataan subjektif seperti “perlu” dan “mustahak” di bawah Perkara 10(2) Perlembagaan Perlembagaan Persekutuan. Selama Parlimen memenuhi keperluan prosedur dalam meluluskan undang-undang untuk mengongkong kebebasan bercakap, maka undang-undang itu tidak dapat dicabar atas alasan terlampau kongkong atau tidak munasabah.

Di bawah Perlembagaan India, terdapat keperluan untuk membuktikan bahawa batasan terhadap hak asasi manusia mesti munasabah. Di Mahkamah Malaysia, ujian yang diguna bukan kemunahsabahan tetapi samada pencabulan hak asasi tersebut adalah d bawah kuasa undang-undang yang dibenarkan. Adalah jelas bahawa kedudukan mahkamah Malaysia dalam kes pencabulan hak asasi manusia adalah berbeza dengan kedudukan mahkamah di India. [17]

 



Locus Standi


Dalam memperihalkan hak individu dan hak ramai, kita harus menkaji penerima pakai piawaian locus standi.

Di bawah Common Law, locus standi merujuk kepada hak seseorangan untuk memulakan pembicaraan di mahkamah. Dalam kes England, R lwn Commissioner of Police for the Metropolis ex p. Blackburn[18],  Lord Denning memutuskan akan menidakkan locus standi kepada seseorang penyibuk yang menyentuhi hal yang tidak berkaitan dengannya tetapi akan memberikan locus standi kepada sesiapa yang mempunyai isu benar di mana sesuatu yang dilakukan atau bakal berlaku mempunyai kesan ke atasnya.

Di kes-kes yang diputuskan di Malaysia, , kes Lim Cho Hock lwn Kerajaan Negeri Perak [19], mahkamah telah memutuskan bahawa bahawa plaintiff mempunyai locus standi di bawah alasan beliau mempunyai kepentingan persendirian yang benar untuk membawa kes tersebut.

Walau bagaimanapun, piawaian locus standi yang digunakan  tidak dilanjutkan kepada seorang ahli politik walaupun beliau mengemukakan alasan bahawa dia seorang pengguna jalan serta pembayar cukai. Kes United Engineers (M) Berhad lwn Lim Kit Siang  [20], mahkamah Aguong memutuskan ahli politik tersebut  tiada locus standi.

Dalam kedua-dua kes tersebut, nyata menunjukkan bahawa hak individu adalah dilindungi berasaskan kepentingan persendirian yang sebenar tetapi tidak terpakai untuk seorang wakil rakyat yang membawa kes tersebut berdasarkan kepentingan ramai.

Walaupun kes ini bukan berkenaan pencabulan hak asasi, keputusan tersebut secara tersiratnya bererti remedi terhadap pencabulan hak asasi diberi kepada individu yang mempunyai kepentingan persendirian sahaja.


Penutup:

Di Malaysia, konsep undang-undang [21] adalah ditakrifkan di bawah Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan. Tiada terdapat peruntukan spesifik berkenaan undang-undang antarabangsa di bawah Perkara tersebut. Secara tersiratnya, ini bermakna undang-undang antarabangsa bukan sebahagian daripada  sumber undang-undang bagi Malaysia.

Dalam ketika Malaysia berkembang menuju ke arah Wawasan 2020 untuk menjadi sebuah negara maju, seharusnya terdapat satu usaha untuk  mengikut arahtuju undang-undang antarabangsa. Undang-undang antarabangsa berkenaan Hak Asasi manusia merupakan satu jurisprudens yang tidak dapat dielakkan sekirannya Malaysia ingin berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara maju yang lain.

Seperti yang dicadangan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)[22], kerajaan harus mengambil langkah untuk menandatangani serta mengambil langkah ratifikasi terhadap 2 kovenan penting iaitu Kovenan Antarabangsa Hak-Hak Sivil dan Politik serta Kovenan Antarabangsa Hak-hak Ekonomi, Sosial dan Kebudayaan. 

Salah satu syarat yang harus dipenuhi apabila menandatangani serta mengambil langkah ratifikasi kedua-dua dokumen penting itu ialah undang-undang domestik Malaysia yang terlalu berpusatkan hak ramai harus diberi kelonggaran.

Dalam satu zaman globalisasi serta perkembangan teknologi yang pesat, model perundangan yang terlalu berpandukan hak ramai tidak dapat memenuhi cabaran zaman. Dalam era ini, hak individu seperti hak terhadap rahsia diri, hak mendapatkan maklumat dan sebagainya harus diberi perhatian baru.

Konsep kontrak sosial yang diutarakan oleh Rosseau 2 abad lalu harus mendapat penghayatan semula.  Ruang pergerakan manusia tidak terbatas lagi kepada ruang fizikal. Hari ini, transaksi perniagaan atau pembelajaran boleh dijalankan di Internet tanpa pertemuan fizikal. Apa yang penting ialah pertemuan minda yang tidak mengira ruang fizikal. Dengan itu, konsep hak ramai perlu diberi definisi baru.  Satu titik imbangan baru antara hak ramai dan hak individu harus dicari.






[1] Kamus Dewan Edisi Baru 1989 terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka ms 394.
[2] R.H. Hickling, Malaysian Public Law ms 117
[3] Perisytiharan Islam mengenai Hak Asasi Manusia (Universal Islamic Declaration of Human Rights)   http://ww.alhewar.com/ISLAMDECL.html
[4] Nota Huraian 2: Perisytiharan Islam mengenai Hak Asasi Manusia.
[5] Nota Huraian 3: Perisytiharan Islam mengenai Hak Asasi Manusia.
[6] Kevin Tan Yew Lee  , Yeo Tiong Ming & Lee Kiat Seng Constitutional Law in Malayisa and Singapore, Malayan law Journal, 1991, ms 420
[7] Harding,A. : Law, Government and the Constitution in Malaysia, Malayan Law Journal, 1996 ms 189
[8] Sunday Star December 3, 2000
[9] Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat http://www.unhchr.ch/udhr/lang/mli.htm
[10] Kovenan Antarabangsa Hak-Hak Sivil dan Politik http://heiwww.unige.ch/humanrts/instree/b3ccpr.hmt
[11] [1986] 2 MLJ 228
[12] Teoh Eng Huat lwn Kadhi, Pasir Mas  [1990] 2 MLJ 301
[13] Mengikut Seksyen 2, Akta Majoriti 1971, seorang yang dewasa ialah mereka yang mencapai umur 18 tahun.
[14] Halimatusaadiah lwn Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia [1992] 1 MLJ 513 (HC), [1994] 3 MLJ 61 (SC)
[15] [1976] MLJ 229
[16] [1975]2 MLJ 264
[17] Kevin Tan Yew Lee  , Yeo Tiong Ming & Lee Kiat Seng Constitutional Law in Malayisa and Singapore, Malayan law Journal, 1991 ms 791)
[18] [1968] 2 QB 241
[19] [1980] 2 MLG 148
[20] [1988] SCR
[21] Perkara 160(2): “Undang-undang teramsuklah undang-undang bertulis, common law setakat mana ianya berkuatkuasa dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, dan apa-apa adat atau kelaziman yang mempunyai kuatkuasa undang-undang dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya.
[22] Laporan Tahunan 2000 Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia, ms 28.

1 comment:

UMNO PARTI PENJARA said...

Utusan Malaysia Wajib Tubuhkan segmen... sex - gay dan lesbian jika mahu tingkatkan jualan ( Lihat sendiri bukti Transformasi 1 Malaysia Berjaya )
1~BUKTI 1
2~BUKTI 2
3~BUKTI 3
4~BUKTI 4 (new)
5~BUKTI 5 (new)
6~BUKTI 6 (hot)

Jangan segan2... Utusan Malaysia Pasti Boleh Buat!!



Sumpah Aku Akan Lingkupkan Putrajaya Jika Generasi Muda Terengganu Tidak Jadi Perdana Menteri Ke-7 Tanpa Perlu Berdolak-dalik!!
(Bukti kukuh)
1 ~ http://www.tranungkite.net/v11/modules.php?name=Forums&file=viewtopic&t=32381
2 ~ http://www.sabahforum.com/forum/sabah-malaysia-international-politics/topic28065.html
3 ~ http://www.utaraonline.net/v4/modules.php?name=Forums&file=viewtopic&t=22146
4 ~ http://www.selatanonline.net/v1/modules.php?name=Forums&file=viewtopic&t=3155

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]