Tuesday, May 29, 2012

PRU 13 : ADAKAH PKR TERSALAH PILIH CALON LAGI?



BERAPA ramaikah wakil rakyat yang mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) sekarang merupakan golongan yang termasuk dalam kumpulan tersilap pilih? Persoalan ini dilontarkan apabila kepimpinan parti itu secara terbuka menyatakan mereka sama ada secara langsung atau tidak langsung tersilap memilih calon.

Kini PRU 13 yang masih menjadi tanda tanya bilakah berlangsungnya, apakah sekali lagi PKR akan tersilap pilih calon lagi? Seperti kata pepatah "pisang berbuah dua kali". Sebagai sebuah parti yang baru, tentunya calon-calon yang bertanding atas tiket PKR sama ada calon lama atau calon baru.

Akibatnya wakil rakyat ini 'tidak kuat' dan 'mudah goyang' sehingga akhirnya membawa peletakan jawatan atau meninggalkan parti itu. Ada juga wakil rakyat yang dikatakan tidak mampu menjalankan tugas yang diamanahkan setelah mereka dipilih oleh rakyat.

Dalam erti kata lain, adakah kebanyakan wakil rakyat PKR merupakan calon 'tangkap muat' (mengambil mana yang sempat sahaja) yang tidak mampu memberi perkhidmatan terbaik sebagai wakil rakyat? Malang sungguh rakyat jika ini benar-benar berlaku. Mungkin bagi bagi wakil rakyat yang dikenal pasti berada dalam kumpulan 'tersalah pilih', tiba masanya parti menasihatkan mereka meletak jawatan.

Jika tidak silap, pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 lalu, PKR bertanding di 96 kerusi Parlimen dan menang di 31 kawasan manakala bagi Dewan Undangan Negeri (DUN), parti itu meletakkan calon di 176 kawasan dan memenangi 40 kerusi.

Mungkin kenyataan 'tersalah pilih' hanya terpakai kepada mereka yang mengambil keputusan meninggalkan PKR. Sekadar meletak jawatan untuk memberi laluan kepada orang lain tidak apa. Meletak jawatan dalam parti tetapi kekal sebagai wakil rakyat juga boleh dimaafkan. 

Tidak mampu bekerja tetapi kekalkan jawatan juga tidak apa. Jangan sekali-kali marahkan parti kemudian tinggalkan parti. Ini tentunya tidak boleh dimaafkan dan akan tergolonglah dalam senarai 'tersalah pilih'. Justeru, kalau tidak mahu dilabelkan sebagai 'tersalah pilih' eloklah duduk 'diam-diam' dalam parti.

Biarlah sampai parti singkirkan mereka. Kalau nak keluar juga sebelum disingkirkan bersedialah dilabel sebagai calon tersilap pilih dan sebagainya. Lainlah jika wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang menyertai mereka (PKR) tentulah disambut dengan kata-kata yang enak didengar.

Samalah seperti apabila wakil rakyat pembangkang keluar parti, mereka disuruh letak jawatan tetapi apabila wakil BN sertai mereka, tidak pula kedengaran disuruh letak jawatan untuk pilihan raya kecil. Bak kata orang, 'halal haram' dan 'adil atau berat sebelah' ditentukan oleh mereka. Kalau sesuatu keputusan itu memihak kepada mereka, itu 'adil dan halal' tetapi kalau memihak kepada orang lain, hukumnya 'haram dan berat sebelah'.

Cuma yang peliknya ketika ada wakil rakyat yang dikatakan 'tersalah pilih atau tidak kuat' itu, kebanyakan yang meninggalkan PKR juga bukanlah calang-calang orang. Mereka pernah diberi tanggungjawab sebagai Exco kerajaan negeri dan ada yang pernah memimpin parti di negeri.

Menyelak kembali ketika Badrul Hisham Abdullah (DUN Pelabuhan Klang) meninggalkan PKR, pemimpin parti itu mengakui tersilap memilih calon untuk bertanding pada PRU pada Mac 2008.

Menurut Timbalan Presiden PKR, Dr. Syed Husin Ali, disebabkan kesilapan itu, calon yang menang gagal memberikan perkhidmatan berkesan kepada pengundi.

''PKR terlalu ghairah menidakkan kemenangan Barisan Nasional, tersilap memilih calon tidak berwibawa dan tidak layak menjadi wakil rakyat,'' katanya seperti dilaporkan oleh sebuah akhbar tempatan.

"PKR berdepan masalah meletakkan calon yang benar-benar berwibawa di kerusi yang diperuntukkan untuk PKR.
"Kita hadapi masalah mencari calon kerana ramai tidak menyangka parti menang besar sehingga orang 'baik-baik' takut bertanding. Sesiapa saja yang sanggup bertanding ketika itu kita ambil tanpa memeriksa latar belakang mereka," katanya.

Bagaimanapun Syed Husin berkata, PKR banyak belajar daripada kesilapan dan mendakwa mempunyai ramai pemimpin berwibawa untuk diketengahkan pada PRU akan datang.

Nada yang sama juga diucapkan oleh Penasihat PKR apabila Ahli Parlimen Bayan Baru, Zahrain Mohamed Hashim mengisytiharkan keluar dari PKR dan menjadi anggota Bebas.

Menurut laporan Bernama, Anwar mengakui salah memilih beberapa calon bagi mewakili parti itu untuk bertanding pada PRU lepas.

''Calon bagi kerusi Parlimen, saya yang pilih. Ketika itu PKR masih baru. Jadi kita terpaksa angkat (mereka),'' katanya pada majlis sambutan Tahun Baru Cina anjuran PKR di Pulau Pinang baru-baru ini.

Beliau yang juga Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat berkata, PKR akan lebih berhati-hati bagi memastikan calon yang dipilih untuk bertanding pada PRU akan datang tidak goyang, tetapi kuat dan bersih.

Begitulah pandangan yang dilontarkan oleh pemimpin PKR apabila Badrul Hisham dan Zahrain meninggalkan parti itu. Tidak pasti sama ada kenyataan yang sama boleh terpakai kepada wakil rakyat yang sama ada meletak jawatan di peringkat DUN atau Parlimen, meletak jawatan dalam parti atau meninggalkan parti.

Bagi yang sudah lupa mengenai senarai nama mereka yang sama ada meletak jawatan sebagai wakil rakyat, meletak jawatan dalam parti atau keluar parti, lihatlah senarai yang disediakan. Rasanya itulah jumlahnya yang penulis masih ingat. Bagaimanapun ia tidak termasuk senarai yang meletak jawatan dalam parti tetapi kekal sebagai ahli atau wakil rakyat.

Mendahului senarai tentulah Presiden PKR, Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh. Bagaimanapun tujuan jelas beliau berbuat demikian adalah untuk memberi laluan kepada suaminya, Anwar. Ini diikuti V. Arumugam (DUN Bukit Selambau) yang ketika itu sebagai Exco Kerajaan negeri Kedah. 

Arumugam mulanya bertanding atas tiket Bebas tetapi kemudiannya menyertai PKR. Adakah PKR tersilap menerima wakil rakyat? Manakala Mohammad Fairus Khairuddin (DUN Penanti) pula ketika itu sebagai Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang. Alasan yang diberi oleh wakil rakyat ini untuk sambung belajar. 

Tidak pasti sama ada peletakan jawatan itu juga boleh dikategorikan sebagai tersalah pilih calon kerana peletakan jawatan berlaku dalam tempoh yang singkat selepas PRU. Sama ada tersilap pilih calon atau tersalah pilih parti, rakyat jangan diabaikan. Mereka sebagai wakil rakyat yang sudah diberi mandat perlu memikul amanah ini dalam apa keadaan sekalipun.

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]