Wednesday, June 27, 2012

ANTARA GURU DAN ANAK MURID.


Sekalipun rusuhan 13 Mei 1969 berlaku di Kuala Lumpur lebih tiga tahun setelah Singapura terpisah dari Malaysia tetapi tidak dapat dinafikan Malaysian Malaysia menjadi bibit cetusan peristiwa berdarah kerana anak tinggalan PAP iaitu DAP meneruskan perjuangan atas konsep ini.

Mengenai semangat Malaysian Malaysia, LKY mencatatkan dalam bukunya itu sebagai ''bijak'' sepotong ucapan penyokongnya dari Parti Machinda Sarawak, Michael Buma di Malaysian Solidarity Convention anjuran PAP di Singapura pada 6 Jun 1965 mengenai perasaan tidak senang Buma de-ngan perkataan Waktu Tanah Melayu dan juga nama Keretapi Tanah Melayu.

Malaysian Malaysia telah dideklarasikan dalam satu perhimpunan anjuran PAP di Singapura pada 8 Mei 1965 dengan dihadiri oleh parti-parti pembangkang Malaysia. Antara lain ia menegaskan bahawa ''Malaysian Malaysia bererti sebuah negara yang tidak dikenali dengan supremacy, kebajikan dan kepentingan sesuatu kaum atau bangsa.'' (MLKY muka 605).

Setelah Singapura disingkirkan dari Malaysia pada September 1965, DAP telah ditubuhkan untuk meneruskan perjuangan Malaysian Malaysia tetapi DAP akhirnya menyepikan Malaysian Malaysia yang menggerunkan orang Melayu.

Yang terakhir DAP dihayati oleh slogan reformasi dari Indonesia yang telah mendapat pengesahan dari Amerika Syarikat terutama sekali kerana ia akan memaksakan dasar ketulusan yang memerlukan kerajaan mendedahkan keistimewaan kepada Melayu terutama kepada anak Melayu tertentu.

Ramai juga generasi baru Melayu yang tidak melalui perjalanan politik tanah air yang panjang dan berliku-liku, tidak dapat merasai bahaya politik yang terselindung di sebalik reformasi dan keadilan yang tiba-tiba disokong oleh DAP, tetapi setelah kuasa Melayu lumpuh dalam Parlimen kelak maka barulah mereka akan menyedari betapa salahnya isteri Anwar Ibrahim, Wan Azizah berpegangan tangan dengan Lim Kit Siang dan Pas bercumbuan dengan DAP.

MELAYU LANUN DAN SAKAI

DALAM perjuangan Malaysian Malaysianya, Lee Kuan Yew (LKY) mendapat dukungan dan sokongan daripada wartawan-wartawan asing dan juga daripada media asing. Beberapa orang wartawan asing yang berpusat di Singapura membantunya mempropagandakan konsepnya itu dan menimbulkan anggapan kerajaan Malaysia adalah kerajaan Melayu yang tidak adil dan bersifat perkauman. Di antara wartawan anti-Melayu ketika itu ialah Alex Josey.

Alex Josey yang berasal dari Britain adalah kawan rapat LKY. Dalam tulisannya di majalah Australian Bulletin beliau mengatakan orang Melayu berasal dari lanun dan sakai.

Penghinaan Alex Josey itu di tahun 1965 telah menimbulkan kemarahan orang Melayu di seluruh negara dan demikian juga penghinaan lain tetapi Utusan Melayu pada masa itu hanya dapat menggambarkan suatu bantahan daripada masyarakat yang miskin dan tidak berpelajaran berbanding dengan serangan provokasi bersifat intelektual dari Singapura.

Bagaimanapun kerajaan Malaysia telah menerima tekanan orang Melayu dan menghalau Alex Josey keluar dari negara ini pada 6 Julai 1965.

Penghinaan Singapura sampai kepada peringkat keterlaluan setelah perpisahannya dari Malaysia. Beberapa orang pemuda Malaysia telah dicukur rambut mereka kerana memasuki Singapura dengan berambut panjang.

Pada masa itu, Melayu sewajarnya dipandang rendah dan hina kerana mereka berada dalam kemunduran dan jauh ketinggalan dari bukan Melayu. Hanya terdapat beberapa kerat Melayu terpelajar dan profesional Melayu.

Mahathir terus dihantui oleh penghinaan Singapura masa lalu seperti LKY juga dihantui oleh bayang-bayang Utusan Melayu (tergambar jelas dalam buku MLKY).

Maka itu apabila beliau dipilih menjadi Perdana Menteri, keazamannya yang utama ialah membawa Malaysia menjadi suatu bangsa yang bermaruah.

Maka itu apabila diserang sakit jantung, Mahathir mahu pembedahan ke atasnya dijalankan di negara sendiri oleh pakar bedah Melayu yang lahir dari Dasar Pelajaran Kebangsaan, Dasar Ekonomi Baru dan Hak Istimewa Melayu yang tidak pernah diyakini dan selalu disindir oleh LKY. Kejayaan pembedahan itu menimbulkan keyakinan besar kepada pakar bedah Melayu ini hingga keluar negara termasuk rakyat Singapura sendiri. Mahathir telah mempertarungkan nyawanya untuk mengiklankan keupayaan anak bangsanya.

Mahathir dianggap sebagai membazirkan wang negara kerana mendirikan Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) yang baru, meningkatkan keupayaan Pelabuhan Klang dan membangunkan bangunan pencakar langit yang tertinggi di dunia (Menara Berkembar Petronas), tetapi jika lapangan terbang itu tidak didirikan sebelum kegawatan ekonomi, janganlah dimimpikan Malaysia akan mempunyai lapangan terbang antarabangsa yang dapat menyaingi Singapura untuk seratus tahun lagi.

Jika KLCC tidak dibangunkan, orang Malaysia akan terus mendongak kepada pencakar langit di Singapura dan merasa lebih kecil dari negara kecil itu yang selamanya mempunyai keyakinan bahawa Melayu pemalas dan bangsa yang tidak berbudaya tua.

Mahathir memberikan pengertian baru dalam pembangunan tamadun manusia. Tidak semestinya bangsa berbudaya tua akan terus di hadapan. Kebudayaan Cina adalah tertua di dunia tetapi Amerika Syarikat dan Jepun lebih jauh ke hadapan dari China dan Eropah. Mahathir buktikan lanun dan sakai juga boleh menyaingi Singapura secara bijak.

Mahathir berpendapat keagungan Melayu dan Islam tidak boleh dicapai sekadar meneriakkan Allahuakbar. Umat Islam hendaklah berupaya untuk menterjemahkan teriakan itu kepada realiti keupayaan mental.

Mereka yang mempunyai wawasan akan dapat melihat kebesaran Allah di Malaysia di dalam pencapaian umat Islam di bidang pelajaran, profesionalisme, teknologi maklumat, lebuh raya dan sebagainya. Ia dapat dilihat dalam ketibaan kita di puncak Gunung Everest, ekspedisi Kutub Utara dan cabaran Jalur Gemilang, pelayaran solo Azhar Mansur mengelilingi dunia.

Tidak semestinya kita melihat sesuatu hanya dari faedah yang nyata, dari untung ruginya, dari pembazirannya tanpa melihat dari segi keperluan kepada simbol dan mercu tanda yang memberikan psychological esteem kepada bangsa dan negara.

ANTARA SAMAN LKY DAN KIT SIANG

SETIAUSAHA Agung DAP, Lim Kit Siang telah menyaman malu terhadap Utusan Melayu dan menuntut ganti rugi RM250 juta kerana dikatakan memfitnahnya sebagai tidak patriotik. Beliau juga menyaman New Straits Times dan New Sunday Times dengan tuntutan ganti rugi yang sama besarnya.

Perdana Menteri Singapura Lee Kuan Yew sendiri yang meninggalkan warisannya DAP setelah berpisah dengan Malaysia pernah mengambil tindakan saman terhadap Utusan Melayu kerana keengganan Utusan Melayu menarik balik siaran berita Setiausaha Agung UMNO Malaysia Allahyarham Tan Sri Syed Jaafar Albar menuduh LKY sebagai ''ejen komunis, mempunyai niat jahat untuk menghancurkan Malaysia dan melaga-lagakan Melayu dan Cina.''

Bagaimanapun Utusan Melayu terpaksa meminta maaf dan membayar kos perbelanjaan mahkamah sebesar lapan puluh ribu ringgit kepada LKY atas nasihat Allahyarham Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman kerana tidak mahu persengketaan diteruskan setelah penyingkiran Singapura.

Tindakan Utusan Melayu membatalkan langkah mencabar saman itu telah menimbulkan kemarahan yang amat sangat di kalangan orang Melayu. Mereka tidak merelakannya kerana Utusan Melayu telah menjuarai perjuangan menentang Malaysian Malaysia yang bermatlamat untuk menghapuskan kuasa politik Melayu.

Sekalipun dalam ucapan-ucapannya LKY sering menafikan dia menentang hak istimewa Melayu tetapi selalu beralasan. Contohnya di dalam suatu ucapan di Parlimen Malaysia, beliau menyatakan: ''Saya menarik perhatian kepada perbezaan antara persamaan hak politik dan hak istimewa bagi meningkatkan taraf politik dan sosial orang Melayu. Saya menerima hak istimewa tetapi jika persamaan hak politik dengan orang Melayu dinafikan kepada rakyat Malaysia lainnya maka kita tidak memerlukan Sukarno dan konfrontasi untuk menghancurkan kita . (MLKY muka 610).

Dari semasa ke semasa ketika Singapura berada dalam Malaysia, Utusan Melayu mendedahkan dolak-dalik LKY di sebalik kata-kata penerimaan hak istimewa Melayu. Maka itu dendam LKY kepada Utusan Melayu tidak berkesudahan. Tidak hairanlah jika warisannya mempunyai perasaan yang sama terhadap Utusan Melayu.
Utusan Melayu akan tetap meneruskan perjuangannya dan akan terus membuktikan bahawa perkongsian kuasa oleh UMNO yang berpengalaman adalah lebih baik bagi orang Melayu dari menyerahkan peranan ini kepada mereka yang tidak berpengalaman dalam perkongsian yang lemah dan berbahaya. - dipetik dari akhbar UM.

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]