Wednesday, June 27, 2012

MEREKA BERMULA DENGAN " L "


LGE sama LKY?

SEKALI lagi Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng (LGE) yang juga Setiausaha Agung DAP, bersikap mencurigakan.

Terbaru, terdapat laporan bahawa LGE mendakwa Johor bukan negeri yang selamat bagi pelabur asing kerana penuh jenayah termasuk kes culik berbanding Pulau Pinang.

Kenyataan tersebut dibuat oleh beliau dalam satu temuramah dengan stesen radio Australia baru-baru ini. Jika benar laporan itu, beliau perlu menarik balik kenyataannya dan memohon maaf terutama kepada baginda Sultan, kerajaan negeri dan seluruh rakyat Johor.

Pada Awang, kenyataan itu bersifat penghinaan malah tohmahan kepada Johor. Kadar jenayah termasuk culik di negeri berkenaan telah menurun sejak beberapa tahun lalu. Sebagai Ketua Menteri dan rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, LGE sepatutnya tidak memburuk-burukkan negeri lain.

Jika pun beliau ghairah mahu menarik pelaburan asing ke Pulau Pinang, lakukannya dengan cara budiman. Setiap pemimpin negeri tanpa mengira ideologi politik ketika misi pelaburan ke luar negara perlu menjaga imej dan nama baik Malaysia, bukan bertindak sebaliknya.

Itulah juga pegangan etika para pemimpin wilayah atau negeri di negara lain termasuk China, India dan Rusia. Dalam mereka mempromosi pelaburan wilayah atau negeri masing-masing ke luar negara, mereka tidak memburukkan atau melemparkan tohmahan kepada sesama negeri.

Lalu ingatan Awang mengimbas kepada kenyataan Menteri kanan Singapura, Lee Kuan Yew (LKY) tidak lama dahulu bernada sama ke atas Johor. LKY mendakwa Johor adalah negeri yang tidak selamat kerana banyak berlaku jenayah.
Ketika itu, reaksi rakyat Malaysia bangkit marah dan menyatakan bantahan sehingga mencetuskan kekecohan diplomatik antara kedua-dua negara. LKY kemudian memohon maaf kepada kerajaan dan rakyat Malaysia.

Persoalannya apakah LGE mengikut pemikiran LKY, seorang pemimpin asing yang kerap mengeluarkan kenyataan menyinggung Malaysia?

Apakah itu juga mencerminkan pendirian DAP untuk berkongsi aspirasi dengan PAP yang diasaskan oleh LKY? Berdasarkan sejarah PAP dan DAP daripada benih perjuangan yang sama iaitu bermula di tanah air ini ketika Singapura belum berpisah daripada Malaysia. Dalam isu jenayah di Johor, kenyataan siapa yang LGE mahu ikut dan percaya - pihak berkuasa di negara sendiri terutama Polis Diraja Malaysia atau LKY dari negara jiran?

Seperti biasa, LGE pasti ada alasannya jika tidak pun penafian. Tetapi Awang seperti juga ramai orang punya firasat yang selalunya tepat dalam menilai siapa sebenarnya pemimpin DAP itu.

Bukan sia-sia...

Akhirnya Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu didakwa di mahkamah Rabu lalu atas tuduhan membuat tohmahan memburukkan nama anggota polis dan keluarga mangsa tragedi Balai Polis Bukit Kepong.

Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu turut dikenakan tuduhan pilihan memfitnah tiga anggota polis yang mempertahankan diri dalam peristiwa yang berlaku pada 23 Februari 1950.

Ia adalah kes pertama seumpamanya melibatkan dakwaan ke atas individu yang melakukan tohmahan ke atas anggota pasukan keselamatan.

Awang angkat topi kepada pihak berkuasa termasuk Pejabat Peguam Negara atas tindakan yang tegas. Fakta sejarah tidak boleh diputarbelit apatah lagi melibatkan pejuang yang gugur berkorban demi tanah air tercinta.

Pendakwaan tersebut adalah isyarat yang jelas kepada semua pihak agar tidak sewenang-wenangnya mengagungkan pengganas komunis dan menghina anggota pasukan keselamatan kita sendiri.

Tindakan mengheret Mat Sabu ke mahkamah dengan sendirinya menangkis cakap-cakap sinikal bahawa pihak berkuasa tidak berani mengambil tindakan.

Awang turut menerima beberapa komen menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) sebelum pendakwaan itu bahawa penat dan buang masa sahajalah orang ramai membuat aduan polis di seluruh pelosok negara.

Difahamkan, terdapat 1,269 laporan polis termasuk waris keluarga tragedi Bukit Kepong dibuat terhadap Mat Sabu ekoran kenyataannya itu pada ceramah Pas di Tasek Gelugor pada 21 Ogos lepas.

Jika tidak silap, ia merupakan jumlah aduan tertinggi melibatkan individu setakat ini. Mungkin pecah rekod dunia.

Mat Sabu dalam ceramahnya itu antara lain menyifatkan pengganas komunis yang menyerang Balai Polis Bukit Kepung adalah wira sebenar, bukannya 25 anggota polis serta keluarga mereka yang terkorban.

Kandungan ceramahnya itu disiarkan eksklusif oleh Utusan Malaysia dan turut tersebar dalam bentuk rakaman klip video menerusi Internet.

Awang lega dan syukur. Jelas dalam pendakwaan tersebut, suara orang ramai dan pelbagai pihak menjadi pertimbangan utama. Maka bukan sia-sialah sekian banyak aduan polis yang dibuat.

Belajar dari DAP

Dalam ruangan ini minggu lalu, Awang paparkan isu kebiadaban wakil rakyat DAP, M. Manoharan yang mahu menukar bendera Malaysia jika pembangkang memerintah negara.

Dalam tulisan membidas Manoharan itu, diselitkan fakta bahawa beliau telah memohon maaf. Permohonan maaf itu meredakan sedikit kemarahan orang ramai dan pelbagai pihak terhadap ADUN itu namun isu itu masih berbahang.

Terbaru, DAP mengambil tindakan menggantung Manoharan selama enam bulan ekoran kenyataan tersebut. Walaupun tindakan itu terdedah kepada apa sahaja tafsiran, Awang tertarik dengan pendekatan DAP yang mahu berpegang kepada nilai dan etika yang sesuai.

Ia seharus menjadi mesej kepada Pas. Parti itu sewajarnya mengenakan tindakan tertentu ke atas Timbalan Presiden, Mohamad Sabu yang membuat kenyataan dalam ceramahnya yang menghina anggota-anggota polis dalam tragedi Bukit Kepong.

Sudahlah beliau enggan menarik balik dan memohon maaf, Pas pula tidak mengambil tanggungjawab sebagaimana yang diperlihatkan oleh DAP.

Dalam isu yang melibatkan kepentingan negara, realiti sejarah serta patriotisme, Pas dan Mohamad Sabu telah memberikan isyarat salah kepada rakyat Malaysia. Memohon maaf dan membetulkan kesilapan adalah amalan yang mulia apatah lagi dalam ajaran Islam.

Nasihat Awang, belajarlah daripada DAP. Itu belum bercakap tentang konsistensi dalam dasar dan perjuangan. Isu hudud adalah contoh paling ketara. Ia tenggelam dan timbul mengikut musim. Sekejap mahu hudud dan sekejap tukar negara kebajikan. Ada ketika mengaum seperti singa, ada ketika senyap menikus.

Ternyata hudud menjadi bahan jaja politik setiap kali menjelang pilihan raya umum. Tetapi yang tidak pernah goyah pendirian menentang hudud ialah DAP - dari dulu hingga sekarang.

Diancam oleh Pas sekalipun, parti itu tidak gentar. Berbeza dengan Pas, DAP juga tidak menggadai kepentingan agama anutan mereka demi politik. Sekali lagi, belajarlah daripada DAP.

Terima kasih...

Banyak fakta menarik tentang kumpulan popular, Alleycats. Membina kehebatan dengan mendaulatkan lagu Melayu.

Kumpulan yang asalnya terdiri daripada semua ahli bukan Melayu, sehingga kini mampu memikat pencinta muzik tempatan daripada semua kaum dan golongan. Lebih 40 tahun bertahan dalam industri muzik dan kini masih aktif melakukan persembahan termasuk di hotel dan kelab terkemuka.

Sebanyak 287 lagu sudah dirakamkan menerusi 20 album dan sebahagiannya terus segar sehingga sekarang.

Penyanyi utama, David Arumugam sudah berusia 61 tahun tetapi suara dan persembahan masih hebat. Penyanyi kedua kumpulan itu, Loga Arumugam telah meninggal dunia namun memori terhadap mendiang terus menyala di kalangan peminatnya. Rambut Afro penyanyi dua beradik itu merupakan satu lagi keunikan.

Sebahagian fakta itu sudah cukup untuk membuatkan ribuan orang melangkah ke Istana Budaya menonton Konsert Alleycats, minggu lalu. Ramai yang meninggalkan konsert itu dengan perasaan puas dan terhibur kerana persembahan yang memukau.

Awang ucap tahniah kepada kumpulan tersebut terutama David Arumugam. Sebahagian rakyat Malaysia membesar dengan lagu-lagu nyanyiannya. Sampai hari ini, orang kecil seperti Awang cukup terkesan dengan lagu Gerimis Senja. Yang turut mencuri perhatian ialah persembahan artis undangan, Dasha Logan. Dia adalah anak kepada Loga (anak saudara David). Dasha menyanyikan beberapa lagu antaranya Kasih Tidak Kesampaian, yang mengusik perasaan.

Dasha berbakat besar. Penguasaan Bahasa Malaysia cukup bagus, lebih baik daripada sebahagian penyanyi Melayu. Yang menjadikan Dasha istimewa malam itu kerana dia menghayati sepenuhnya lagu-lagu nyanyian Loga. Riak wajahnya boleh menceritakan semua.

Apa yang disampaikan bukan sekadar lagu. Ia adalah luahan kasih buat seorang ayah, yang telah pergi. Konsert malam itu menambahkan lagi himpunan fakta menarik tentang Alleycats. Sebagaimana ucapan terima kasih... yang selalu terpacul daripada mulut David Arumugam kepada para peminat, itulah juga ungkapan kepada Alleycats atas sumbangan besar kepada industri muzik tanah air. - BISIK-BISIK MINGGUAN.

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]