Semuanya mahu dipolitikkan sehingga bertemu pilihan raya umum 13,
DAH tak larat dengan cerita politik. Sejak selepas pilihan raya umum (PRU) lalu, ada saja isu politik yang dibangkitkan. Setiap tindakan, pergerakan dan tutur kata mahu dipolitikkan. Novel yang berusia berpuluh tahun pun mahu dipolitikkan. Sudah dua tahun 10 bulan, PRU 2008 berlangsung tetapi terasa macam baru berlalu.
Ada wakil rakyat letak jawatan semata-mata nak bagi ruang orang lain bertanding. Ada yang letak jawatan kerana tidak berpuas hati dengan pemimpin. Bagaimanapun ada yang tinggalkan parti tetapi tidak letak jawatan wakil rakyat, maka selamatlah ‘duit rakyat’. Tetapi pilihan raya kecil (PRK) disebabkan kematian tidak dapat dielakkan.
Itu sudah ketentuan Allah SWT. Setiap yang bernyawa pasti mati, tidak selama-lamanya menongkat langit atau kekal dengan jawatan di dunia ini. Hujung bulan ini ada lagi PRK. Mungkin inilah penggal paling banyak PRK. Sekali lagi ia tidak dapat dielakkan kerana itulah kehendak undang-undang.
Selagi tidak cukup tiga tahun tempoh penggal PRU lalu, maka kekosongan perlu diisi. Kadangkala PRK ini juga ada baiknya untuk melihat keupayaan parti politik sama ada mampu mendapat sokongan seperti PRU lalu. Dan lebih penting bagi negeri-negeri yang kerajaannya seperti telur di hujung tanduk, bolehlah PRK ini membantu menambah atau mengurangkan kerusi.
Kekalutan juga berlaku di kalangan parti politik. Masalah tak pernah selesai. Maka banyak masa dihabiskan untuk menyelesaikan masalah dalaman. Nampaknya, sehingga PRU akan datang, parti-parti politik sama ada pemerintah atau pembangkang akan terus berbicara mengenai politik. Masing-masing mahu mengekalkan kuasa dan dengan apa cara sekalipun akan berusaha untuk terus berkuasa.
Lebih-lebih lagi khabar angin mengatakan PRU semakin hampir. Tentunya ramai yang belum puas dengan tempoh tiga tahun ‘berkuasa’ atau bergelar Yang Berhormat atau Yang Amat Berhormat. Maka wujudlah insan yang ‘rakus’ berpolitik, kononnya mahu tunjuk pandai sehingga mereka menjadi manusia yang bodoh sombong atau cerdik tak boleh diajar, bodoh tak boleh ditegur. Bagi mereka biarlah apa orang lain nak kata, asalkan matlamat tercapai.
Di negeri yang dikuasai pakatan DAP-PKR-Pas (3P), macam-macam cerita ‘kepincangan’ berlaku. Ini bukanlah bermakna kerajaan yang dipimpin Barisan Nasional (BN) terlepas daripada masalah tetapi sebelum ini pakatan 3P cuba menggambarkan bahawa merekalah yang terhebat tanpa cacat cela.
Di Selangor, tak habis cerita kelam-kabut berkaitan pentadbiran negeri yang diketuai oleh bekas tokoh korporat, Abdul Khalid Ibrahim. Entah apa nak jadi dengan pemerintahan kerajaan 3P ini. Daripada sekecil-kecil isu sekadar logo 1Malaysia sehinggalah isu pelantikan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri.
Macam-macam kenyataan dikeluarkan berhubung dua isu ini. Logo 1Malaysia misalnya, exco cakap lain, setiausaha politik cakap lain dan menteri besar cakap lain. Itu baru logo. Rakyat boleh menilai adakah apa yang dilakukan lebih baik atau seperti tikus membaiki labu atau seperti kera mendapat bunga?
Namun apa yang penting, jangan sampai ada yang kena jual seperti yang berlaku dalam filem P. Ramlee iaitu 3 Abdul. Mengikut cerita, Abdul Wahab, Abdul Wahib dan Abdul Wahub mewarisi harta Ismet Ulam Raja yang kaya raya. Tetapi kerana ketamakan dan kebodohan, Abdul Wahab dan Abdul Wahib dilelong oleh bapa mertua, Sadiq Segaraga dengan harga 2,000 pound.
Mujurlah muncul Abdul Wahub yang menebus maruah abang-abangnya kerana harta yang diwariskannya masih disimpan oleh peguam Suleman Akhlaken termasuk harta di Pakistan, Afghanistan, Turkistan, Hindustan dan Goheadgostan. Di mana letaknya Goheadgostan itu? Mengikut kata Abdul Wahub (P. Ramlee), kedudukannya dekat dengan negeri Setan!
Setakat ini kita belum dengar lagi negeri Setan tetapi apa yang kita tahu, dalam politik hari ini sudah ada ‘pakatan syaitan’ dan orang yang ‘berkawan dengan syaitan’.
Di Kedah pula, ada juga isu yang belum selesai. Tiba-tiba sahaja Naib Presiden Pas, Mahfuz Omar meletak jawatan sebagai Pengerusi Syarikat Kedah Sato Sdn. Bhd., anak syarikat milik Kerajaan Kedah. Kalaulah Mahfuz itu orang BN, maka sudah pasti Pas mati-matian akan minta kerajaan siasat itu ini. Pastinya ada yang tidak kena dengan peletakan jawatan itu.
Di Pulau Pinang kerajaan DAP juga tidak pernah kering isu untuk dijadikan modal politik. Terbaru tentulah isu serbu dan sita di restoran India Muslim. Tindakan secara tidak berhemah itu mengundang persoalan mengenai sejauh mana ketelusan pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan terhadap pelbagai kesalahan yang dilakukan oleh peniaga, penjaja yang berselerak di pulau itu.
Bagaimanapun satu tindakan yang harus mendapat perhatian di Pulau Pinang ialah negeri itu terkehadapan dalam kempen beg plastik. Jika negeri-negeri lain cuma ada satu atau dua tiga hari, Hari Tanpa Beg Plastik (HTBP) tetapi di Pulau Pinang hari-hari tanpa beg plastik.
Kata Lim Guan Eng, ini selaras dengan hasrat kerajaan negeri menuju sebuah Negeri Hijau.
HTBP bermula 1 Julai 2009 dan dilanjutkan kepada tiga hari dalam seminggu mulai 1 Januari 2010. Kempen ini terpakai kepada semua pasar raya besar, pasar raya, pusat membeli-belah, farmasi, restoran makanan segera, rangkaian nasi kandar, kedai serbaneka (termasuk kiosk stesen minyak).
Pasar mini dan premis perniagaan tunggal juga perlu mematuhi syarat baru semasa pembaharuan lesen iaitu melaksanakan HTBP pada setiap Isnin, Selasa dan Rabu. Penjaja dan pasar bagaimanapun dikecualikan. Dan mereka yang ingin menggunakan beg plastik boleh membayar 20 sen sekeping. Hasil jualan itu akan disalurkan kepada akaun Rakan Antikemiskinan Negeri Pulau Pinang.
Diharapkan selepas ini, kerajaan negeri lebih berani melakukan tindakan supaya peniaga tidak dibenarkan sama sekali menjual beg plastik. Apa maknanya HTBP tetapi jual plastik. Biarlah hilang sokongan atau tidak popular asalkan hasrat menjadi Negeri Hijau tercapai.
No comments:
Post a Comment