Monday, July 30, 2012

Aspek negatif polemik negara Islam.

 CAKAP-cakap pasal negara Islam sudah jadi klise atau basi macam cerita budak gembala biri-biri yang jerit serigala.

Oleh sebab dia selalu sangat jerit serigala, walaupun tak ada serigala, apabila serigala betul-betul serang ternakan dia, tak ada siapa yang percaya dan datang menolong.

Kita boleh faham perbuatan budak gembala biri-biri itu. Boleh jadi dia takut atau bosan, jadi dia jerit serigala untuk tarik perhatian. Sekali jerit orang bergegas datang menolong. Tapi bila jerit kerap sangat walhal tak ada pun serigala, orang tak ambil kisah apabila serigala benar-benar serang. 

Tapi apabila bahan teriakan itu bukan biri-biri, sebaliknya bersangkut paut dengan Islam, Kunta Kinte rasa ia lebih buruk daripada klise. Ia sudah jadi semacam persendaan.

Peluang persenda Islam

Kita boleh bahas, bincang dan buat polemik politik mengenai negara Islam atau apa saja isu berkaitan Islam, tapi yang Kunta Kinte bimbang ialah kita bagi peluang kepada orang bukan Islam pertikai dan persenda Islam.

Orang politik dan parti politik yang terbabit dengan bahas negara Islam boleh jadi tak sedar kesan buruk perbuatan mereka. Walaupun niat mereka baik, tapi mata mereka buta kerana cahaya lampu sorot dan telinga mereka pekak kerana pekik-sorak penonton.

Sebenarnya pun itulah realiti. Cubalah duduk atas pentas dengan lampu sorot menyuluh muka kita. Kerana kilauan cahaya, kita tak berapa nampak siapa di depan kita.

Apabila kita bercakap, orang ramai boleh dengar kita sebab corong pembesar suara ditala kepada mereka. Tapi bila mereka cakap, tanya soalan, kita antara dengar dan tidak sebab pembesar suara membelakangkan kita.

Jangan asyik sangat

Jadi orang politik yang duduk atas pentas janganlah seronok sendiri. Orang politik dan sesiapa saja yang terbabit dengan bahas negara Islam janganlah asyik sangat. Silap-silap yang dihambat tak dapat yang dikendong berciciran.

Dah ada pun tanda-tanda, iaitu apa yang orang Islam Malaysia kendong sudah mula berciciran sedangkan yang kononnya dikejar belum tentu dapat. Tengok sajalah macam mana sudah ada pihak di luar Islam yang tambah berani pertikai kedudukan Islam dan minta persamaan bagi agama dan kepercayaan mereka.

Kalau orang bukan Islam cabar Islam atau cuba ambil kesempatan daripada polemik negara Islam ini, yang salah adalah orang Islam sendiri. Kunta Kinte tak mahulah kata mereka cakap bohong, tapi kerana gilakan kuasa politik sudah ada yang sanggup putar-belit fakta. 

Ada yang tergamak kata sikap Parti Tindakan Demokratik (DAP) mengenai negara Islam dah berubah. Mereka kata DAP tak tolak negara Islam. Tapi dengan serta-merta DAP ulang cabaran langkah mayat mereka dulu kalau nak tubuh negara Islam.

Masalah orang Islam kita

Tak tahulah Kunta Kinte kalau orang Islam yang sibuk cakap pasal negara Islam tu sanggup berperang dan langkah mayat orang yang tentang cadangan negara Islam atau ada orang bukan Islam yang sanggup mati daripada terima negara Islam.

Inilah masalah dengan sesetengah orang Islam di Malaysia. Mereka berasa mereka lebih baik dan lebih Islam daripada orang Islam lain. Malangnya, banyak orang macam itu yang kawan bukan Islam pun tak ada. Kalau ada pun ialah tauke Cina yang bagi mereka hutang gula, baja dan barang emas.

Kalau nak hidup seharian pun kena bergantung kepada orang bukan Islam, macam mana nak yakinkan orang bukan Islam mengenai kebaikan dan keagungan Islam?

Apatah lagilah nak meyakinkan orang bukan Islam yang cerdik, licik dan berideologi macam Lim Kit Siang dan Karpal Singh.

Kunta Kinte tak berani dan tak akan mengaku yang Kunta Kinte alim atau mahir hal-ehwal agama. Tapi Kunta Kinte ada ramai kawan bukan Islam dan sikit sebanyak dah bantu beberapa orang bukan Islam peluk Islam. Syukur Alhamdulillah.

Fikir baik buruk

Jadi Kunta Kinte mintalah kepada orang kita yang suka sangat berbahas dan berpolemik mengenai negara Islam supaya fikir buruk baik perbuatan mereka. Janganlah kerana politik kita dedahkan kelemahan kita kepada orang bukan Islam.

Maaf cakaplah kalau Kunta Kinte kata, banyak orang bukan Islam yang cerdik dan licik sudah sedar dan mula ambil kesempatan daripada kelemahan orang Islam. Masalahnya orang Islam sendiri tak sedar pasal mereka hidup dalam kelompok sendiri, terlindung dan terselamat daripada ancaman luar.

Jadi mereka tak tahu dan tak sedar mengenai kewujudan pelbagai gerakan tempatan dan antarabangsa yang bertujuan mencabar kuasa politik orang Islam dan menggugat akidah umat Islam. Wallahualam.

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]