PERSOALANNYA BERANIKAH KITA BERBUAT DEMIKIAN.
Jangan terperanjat apabila kuasa Barat menyerang negara Islam ketika ini kerana agenda agama dan penguasaan ekonomi. Mereka pernah lakukan sejak ratusan tahun lalu di alam Melayu.
Kuasa Barat, mulai awal abad ke-16 mengunjungi alam Melayu atas alasan berdagang rempah ratus. Sebenarnya apa yang dilakukan oleh Portugis, Belanda dan Inggeris, bukan sekadar berdagang rempah ratus. Mereka juga berusaha menyebarkan Kristian, di samping memperluaskan tanah jajahan di Timur untuk meneguhkan ekonomi empayar masing-masing.
Kuasa Barat, mulai awal abad ke-16 mengunjungi alam Melayu atas alasan berdagang rempah ratus. Sebenarnya apa yang dilakukan oleh Portugis, Belanda dan Inggeris, bukan sekadar berdagang rempah ratus. Mereka juga berusaha menyebarkan Kristian, di samping memperluaskan tanah jajahan di Timur untuk meneguhkan ekonomi empayar masing-masing.
Keadaan yang berlaku dulu berlanjutan hingga kini apabila Barat dan ejen Zionis mengancam dan Islam. Kesan yang ditinggalkan penjajah Portugis dan Belanda di Tanah Melayu tidaklah seluas dan mendalam seperti kesan yang ditinggalkan Inggeris. Tempoh penjajahan Inggeris yang lebih lama, meluas dan diturunkan serta dibudayakan dalam sistem pendidikan, pentadbiran, politik negara ini dan sebagainya berbanding pengaruh Portugis dan Belanda.
Kesan pengaruh Barat
Tanpa menafikan kesan positif hasil legasi Barat, umpamanya pendidikan dan teknologi moden yang memberi manfaat, tadbir urus yang lebih sistematik serta pengembangan ekonomi dan sebagainya, pengaruh Barat sedikit banyak mengikis jati diri sesuatu bangsa.
Hal ini dapat dilihat dari aspek yang paling ekstrem, iaitu Kristianisasi hinggalah kepada budaya serta dominasi bahasa Inggeris terhadap maruah serta kedaulatan bahasa Melayu di tanah airnya sendiri.
Menyedari pentingnya bangsa Melayu mempertahankan maruah serta jati diri, kira-kira 150 tahun yang lalu pujangga dan sasterawan Melayu menanamkan bibit melawan Barat menerusi karya sastera.
Di samping sikap keterbukaan kita terhadap nilai universal yang baik, pujangga-sasterawan kita sejak abad yang lalu mengingatkan kita untuk mempunyai keberanian melawan Barat demi jati diri bangsa.
Dua ceritera Melayu
Dua ceritera Melayu yang selalu disebut sebagai mewakili sikap Melayu yang melawan balik kuasa Barat ialah Cerita Anggun Cik Tunggal dan Cerita Malim Dewa. Sungguhpun cerita lisan Melayu lainnya seperti Hikayat Raja Budiman dan Hikayat Bongsu Pinang Peribut turut memerikan kisah watak Portugis, tetapi wacana balas dua ceritera di atas sering menarik perhatian pengkaji sastera lisan Melayu.
Dua ceritera di atas menampilkan watak protagonis yang kental dengan semangat bertindak balas atau menyerang balas, atau dalam bahasa kolonialnya striking-back terhadap penguasa atau kuasa luar yang pernah mengharu-birukan kerajaan Melayu.
Dalam Cerita Malim Dewa, wiranya Malim Dewa bukan saja berjaya membunuh Maharaja Pertukal (baca: Portugis), malah berjaya memikat hati puterinya, Tuan Puteri Cahaya Laut, lalu dibawa pulang ke negeri asal Malim Dewa di alam Melayu.
Serangan angkatan yang diketuai Malim Dewa ke atas Portugal adalah serampang dua mata untuk mengalahkan Maharaja Pertukal dan membuktikan kejantanan wira Melayu dari Timur ini, yang bukan saja belayar ke Barat, malah dapat mengalahkan sebuah kuasa Barat yang besar.
Anggun Che Tunggal
Dalam ceritera kedua, watak utamanya (Anggun Che Tunggal) ialah cucu kepada beberapa bangsawan Melayu yang mencari tujuh nendanya yang dibawa lari oleh penjajah beberapa dekad sebelumnya.
Seperti Malim Dewa, Anggun Che Tunggal juga bertindak balas atau menyerang balas penguasa atau kuasa asing itu dalam usaha untuk menemukan semula leluhurnya. Raja Berdurai Putih, antagonis dalam hikayat ini dapat dibunuh oleh Anggun Che Tunggal, seorang protagonis Melayu.
Raja Pertukal ketika itu terpaksa melutut meminta perdamaian dengan Anggun Che Tunggal kerana takut negerinya dibinasakan.
Nenda Anggun Cik Tunggal, selama beberapa dekad dalam tawanan, telinga mereka ditulikan daripada mendengar bahasa Melayu, dan telinga serta lidah mereka dibiasakan dengan bahasa Nasrani sehingga tatkala diselamatkan watak yang ada tokoh orang Melayu itu tidak dapat memahami bahasa Melayu lagi.
Justeru Bujang Selamat mencadangkan kepada rajanya Anggun Che Tunggal agar watak yang ada tokoh orang Melayu itu dibawa pulang, serta diajar menguasai bahasa Melayu semula.
Cerita itu yang berusia kira-kira 150 tahun patut menjadi iktibar kepada semua orang Melayu dan bukan Melayu yang memperjuangkan bahasa Melayu. Sebagai jati diri utama bagi bangsa Melayu, bahasa Melayu harus dimartabatkan dalam pelbagai lapangan kehidupan di tanah airnya. Tanpa kita menolak kepentingan bahasa lain yang boleh membuka jendela ilmu kepada anak bangsa kita.
No comments:
Post a Comment