Thursday, August 9, 2012

PRE PRU 13 : SETAKAT MANA FAKTOR POPULARITI TOKOH MEMPENGARUHI PENGUNDI.


Populariti Tokoh

POPULARITI TOKOH DAN PENGUKUR KEMENANGAN PARTI

Sikap dan corak pengundian kaum Cina menjadi parameter keyakinan dan kekuatan pihak Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR), menyusunatur persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13). PRU13 yang belum pasti tarikhnya dan sering kali disebut, sejak UMNO menangguhkan pemilihan kepimpinan 3 peringkat: cawangan, bahagian dan Majlis Tertinggi.

Rumusan dari Persidangan Meja Bulat, anjuran Majlis Profesor Negara (MPN) minggu lepas, berfokus kepada PRU13, memberi sedikit kelegaan kepada BN, kerana ada beberapa kertaskerja yang menggambarkan kesan positif selepas PRU12 kepada BN. Hasil dapatan kajian Dr Rohana Yusoff dari UUM, menunjukkan majoriti responden menyimpulkan kerajaan negeri Kedah di bawah Pakatan Rakyat kurang berjaya melaksanakan janji pilihan raya.

Kontradiknya, kajian di Sabah pula, menjangkakan BN akan kehilangan 60 peratus kerusi Parlimen, di negeri fixed depositnya. Pemerhatian empirikal Zainon Ahmad dari akhbar The Star: orang Cina di Pantai Barat Semenanjung masih dibaluti rasa tersinggung, sikap serta pendekatan rasis ahli-ahli politik UMNO.

Kajian Dr Fuad Mohd Jali dari UKM, hasil dari 1000 responden di Lembah Kelang, peratus sokongan kepada DS Najib telah meningkat sehingga berakhir setengah tahun pertama 2012, di mana 75 peratus orang Melayu menyokong DS Najib, sementara peratus sokongan kepada DS Anwar Ibrahim dan TG Nik Abdul Aziz menurun. 71 peratus di kalangan masyarakat India dan 69.6 peratus dari kaum Cina, meletakkan Najib sebagai tokoh paling poular. Lebih 80 peratus dari responden masyarakat Bumi Sabah dan Sarawak, menyokong DS Najib.
Peningkatan populariti DS Najib kesan dari beberapa elemen yang dipersembahkan: slogan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan, Model Baru Ekonomi, Kedai Rakyat 1Malaysia, Bantuan Rakyat 1Malaysia dan Rumah Pertamaku. Impaks dari perkara tersebut, sedikit sebanyak berjaya menjernihkan lingkaran tsunami politik 2008.

Dapatan dari Merdeka Centre, menyusul kemudian, menjelmakan berlakunya peningkatan sokongan orang Cina kepada Najib, dari 37 peratus (dalam bulan Mei 2012) ke 42 peratus (dalam bulan Jun), dari keyakinan terhadap pengenalan elemen dan dasar baru kerajaan. 

Sebaliknya, peratusan sokongan orang Melayu dan India telah menurun, berlainan beberapa kajian awal sebelum ini. Sokongan dari kaum Melayu menurun dari 79 peratus ke 75 peratus, dan dari 72 peratus ke 69 peratus bagi masyarakat India. Keseluruhannya tahap populariti Najib telah menurun sebanyak 1 peratus dari 65 peratus ke 64 peratus, dalam tempoh sebulan.

Hasil kajian sebuah NGO, dalam bulan Jun, Centre for Strategic Engagement (CSE), menyimpulkan bahawa berlaku peningkatan 8 peratus sokongan orang Melayu kepada UMNO selepas tsunami politik 2008. Ini adalah kesan dari beberapa dasar baru kerajaan serta pembaharuan dalam pengurusan pentadbiran, di samping penambahbaikkan jentera UMNO, khususnya di peringkat asas: akar umbi. Perubahan-perubahan di bawah kepimpinan Najib, dapat sedikit sebanyak menarik semula pengundi Melayu dan luar bandar ke BN.

Dalam konteks politik pilihan raya, apakah populariti seseorang tokoh akan melonjakkan serta mencerminkan sokongan rakyat kepada parti. Ini masih boleh dihujah dan diteliti ketepatannya. Berdasarkan beberapa sampel dari pengalaman lampau dalam sejarah politik pilihan raya tanah air, ianya mengambarkan populariti dengan prestasi parti.

Dato' Onn Jaafar, seorang pemimpin yang cukup popular. Beliau pemimpin populist atas 3 asas: Pengasas UMNO, keluarga bangsawan, ketua sebuah kerajaan (Menteri Besar Johor). Dalam pilihan raya pertama, Pilihan Raya Dewan Perundangan Persekutuan Tanah Melayu, 1955; parti kepimpinannya (Parti Negara) dan dirinya sebagai calon, yang bertanding di Johor, ditolak rakyat. Calon-calon Parti Negara, bahagian besarnya bekas pegawai tadbir, seolah-olah mewakili kelas aristokrat. Dari segi populariti jauh terkedepan berbanding calon-calon UMNO dan Pas, masa itu.

Dalam pilihan raya pertama selepas merdeka, Pilihan Raya Umum 1959 (PRU1), beliau menang kerusi Parlimen Kuala Terengganu Selatan. Parti Negara juga menang 3 dari 4 kerusi DUN dalam kawasan Parlimen berkenaan; Batu Burok, Ladang dan Bukit Besar. Inilah kerusi Parlimen tunggal kemenangan bagi Parti Negara. Bila Dato' Onn meninggal dalam tahun 1962, Parti Negara menerusi gagal mempertahankan kerusinya, dalam pilihan kecil. 

Asasnya, sebagai parti serpihan UMNO tetapi sebuah parti berbilang bangsa, tetapi pemusatannya adalah Melayu dan luar bandar. Dalam PRU1, Parti Negara meletakkan 10 calon Parlimen dan 30 calon untuk dewan negeri, semuanya Melayu kecuali seorang calon Cina.


Dalam PRU2 (PRU 1964), Parti Negara, meletakkan 4 calon di peringkat Parlimen, semuanya di Terengganu. Ketuanya Gharieb Abdul Raof yang memperolehi 5,345 undi ditewaskan lebih 4,000 undi oleh calon Perikatan, di kerusi Kuala Terengganu Selatan. Sementara 3 calonnya yang lain semuanya hilang wang pertaruhan: Kuala Terengganu Utara (1,020 undi), Dungun (562 undi) dan Terengganu Tengah (383 undi), dalam saingan 3 dan 4 penjuru bersama Perikatan, Pas dan Socialist Front (SF). PRU2 adalah kali terakhir Parti Negara bertanding, yang secara tidak langsung semakin layu dengan pemergian Dato' Onn.

Dr Lim Chong Eu (kemudian Tan Sri), Pengerusi MCA (sekarang Presiden) yang kedua selepas pengunduran Tun Tan Cheng Lock, meletak jawatan ekoran tidak puas hati agihan kerusi pilihan raya, menjelang PRU1. Ketokohan beliau, terus utuh sungguhpun tidak berada di barisan kepimpinan negara. Ujian populariti beliau sebagai pemimpin masyarakat Tionghua, ditonjolkan menerusi organ politik. Beliau berjaya mengumpulkan bekas kepimpinan MCA dan cendekiawan Cina, bersama bekas kepimpinan dan penyokong Parti Negara, menubuhkan United Democratic Party (UDP) dalam tahun 1962. 

Ujian pertama UDP ialah dalam Pilihan Raya Majlis-majlis Tempatan, 1963. UDP berjaya memenangi beberapa kerusi msjlis berkuasa tempatan dan telah menunjukkan asas-asas pertapakan di Pulau Pinang dan sebelah utara Semenanjung. 

Dalam PRU2, UDP meletakkan 27 calon Parlimen: 18 Cina, 8 Melayu dan 1 India, di samping calon-calon untuk dewan negeri, bertanding di seluruh negara, kecuali negeri-negeri Pantai Timur. Menampakkan asasnya walaupun parti berbilang kaum, tetapi bersifat sebuah parti mewakili Cina dan kota. 

Dalam PRU itu, UDP menang 1 kerusi Parlimen dan 4 kerusi DUN di Pulau Pinang sahaja. Dr Lim Chong Eu menang kerusi Parlimen Tanjong dan kerusi Kota. UDP juga menang di kerusi Tanjong Barat, Tanjong Utara dan Tanjong Bunga. UDP menang 3 dari 4 kerusi DUN dalam kawasan Parlimen Tanjong.

Kemenangan UDP tersebut sama dengan kemenangan Parti Negara dalam PRU1. Kemenangan parti lebih berfokus kepada kemenangan atas populariti dan ketokohan peribadi pemimpin parti. Kemenangan kerusi-kerusi DUN disebabkan kemenangan kerusi Parlimen. Di kawasan lain, calon Parti Negara dalam PRU1 dan calon UDP dalam PRU2, sebahagian besarnya hilang wang pertaruhan, begitu juga prestasi Parti Negara dalam PRU2.

Dalam PRU2, penyertaan UDP disertai Parti Tindakan Rakyat (Petir atau PAP) yang bertapak di Singapura, telah memecahkan undi pembangkang, undi anti-establishment dan undi tidak berparti, memberikan kemenangan besar kepada Perikatan menerusi calon-calon MCA di kawasan perbandaran. Berlakunya pertandingan melebihi 2 penjuru di kebanyakan kawasan antara Perikatan, UDP, SF, Petir dan PPP. 

Kawasan berkenaan cuma menyumbangkan 6 orang Anggota Parlimen berbanding 16 wakil kawasan berkenaan dalam Parlimen Pertama (1959-1964). Mereka adalah: Dr Lim Chong Eu (UDP-Tanjong), Lim Kean Suew (SF-Datok Keramat), Dr Tan Chee Khoon (SF-Batu), D.R.Seenivasagam (PPP-Ipoh), S.P.Seenivasagam (PPP-Menglembu), J.V.Devan Nair (Petir-Bangsar). Mereka adalah pemimpin utama parti masing-masing dan semuanya outspoken Parliamentarians bagi Parlimen Kedua. 

Di kawasan Parlimen Bangsar, calon Petir, Devan Nair, tokoh trade union Singapura mengalahkan tokoh kesatuan sekerja dan pemimpin Partai Buruh yang bertanding atas tiket SF, V.David, di kawasan kubu kuat gerakan kesatuan sekerja. Perolehan undi: Petir  13,494 undi, SF  12,686 undi, calon Perikatan  9,761 undi dan calon PPP 2,219 undi. 

Namun begitu, ketokohan Devan Nair (sedekad kemudiannya, Presiden Republik Singapura), gagal membantu prestasi undi 8 calon Parlimennya yang lain, yang semuanya hilang wang pertaruhan. 

Bagi Dr Lim Chong Eu, hayat UDP tidak lama. Tahun 1968, UDP dibubarkan membolehkan semua ahlinya bersama bekas kepimpinan Partai Buruh Malaya dan beberapa tokoh akademik, mengasas dan menubuhkan sebuah parti multi-racial, Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).

Dalam PRU3 (PRU 1969), Gerakan di bawah kempimpinan Prof Dr. Syed Hussien Alattas, mewujudkan satu persefahaman pilihan raya (electoral pact) dengan DAP, untuk menggelakkan pertindihan kawasan atau mewujudkan saingan satu lawan satu dengan Perikatan. Hasilnya, Gerakan berjaya menumbangkan kerajaan negeri Pulau Pinang yang dipimpin oleh MCA bersama UMNO dan MIC. Dr Lim Chong Eu, Timbalan Pengerusi Gerakan, yang mempertahanakan kerusinya di DUN Kota dan Parlimen Tanjong, diberi mandat mengepalai kerajaan negeri.

Selepas pengunduran Dr Syed Hussien, Dr Lim diangkat sebagai Pengerusi Gerakan Pusat, menerusi penyertaan Gerakan ke dalam BN, beliau berjaya mempertahankan kerusi Ketua Menteri sehingga PRU8 (PRU 1990), bila digagalkan oleh Lim Kit Siang, Setiausaha Agung DAP di kerusi Padang Kota.

Lim Kit Siang berjaya tumpaskan Dr Lim Chong Eu di kerusi negeri, yang memberikan kerusi DAP menguasai 14 kerusi dari jumlah 33 kerusi DUN, mengesahkan populariti tokoh boleh membantu kemenangan parti. 

Kemasukan Gerakan ke dalam BN, 1974, telah memecahkan keanggotaannya kepada 3 fraksi: kekal dalam Gerakan bersama BN, menubuhkan Parti Keadilan Masyarakat (Pekemas) dan Parti Kesatuan Insaf Tanah Air (KITA).

Dr Tan Chee Khoon, amat popular sewaktu menjadi Ahli Parlimen dan ADUN Selangor setelah memenangi PRU2. Politikus yang paling lantang, kritis dan rajin. 

Dalam PRU2, beliau cuma menang 2 undi di kerusi Kepong (DUN Selangor), beliau yang bertanding atas tiket SF, dapat 7,487 undi mengalahkan Chan Khoon Hoon, dari MCA/Perikatan yang dapat 7,485 undi. Di kerusi Parlimen Batu, beliau juga menang tipis, 348 undi. Beliau dapat 10,122 undi, sementara Yap Chin Swee (MCA/Perikatan) 9,774, calon Petir, Dr Too Chow Ching, 2,459 undi. Yap Chin Swee, Setiausaha Politik Perdana Menteri (Tunku) dan calon harapan Perikatan.

Populariti Dr Tan Chee Khoon dalam tempoh 5 tahun, membolehkannya kemenangan cemerlang dalam PRU3. Beliau menang dengan majoriti besar di kedua-dua kerusi yang dipertahankannya. Kali ini beliau bertanding atas tiket Gerakan. Di kerusi Kepong, majoriti undi beliau telah meningkat ke 7,019 undi  mengalahkan lawannya dari Perikatan, Lee Kim Sai, yang dapat 6,291 undi. Dr Tan dapat 13,310 undi.

Di kerusi Parlimen Batu, beliau perolehi 22,720 undi untuk mengalahkan sekali lagi calon Perikatan, Yap Chin Kwee, dengan majoriti 13,948 undi. Undi calon Perikatan cuma 8,772 sahaja, lebih rendah dari PRU2.

Dr Tan Chee Khoon, bersama kumpulannya yang terdiri bekas kepimpinan Partai Buruh dan kesatuan sekerja, menubuhkan Pekemas. Dalam PRU4 (PRU 1974), prestasi calon-calon Pekemas tidak memuaskan. Populariti Dr Tan Chee Khoon, Pengerusi Pekemas, sebagai Ketua Pembangkang Parlimen, menyelamatkannya memenangi kerusi tunggal untuk Pekemas. Di Parlimen Kepong, beliau memperolehi 9,858 undi untuk mengalahkan calon Gerakan/BN, Dr Tan Tiong Hong, yang dapat 9,192 undi, dengan majoriti 666 undi. Calon DAP, dapat 4,296 undi. 

Dr Tan juga bertanding di kawasan majoriti Melayu untuk iaitu kerusi Gombak bagi DUN Selangor. Popularitinya gagal di kawasan ini. Beliau ditewaskan oleh calon UMNO/BN, Zakaria Yahya, yang dapat 7,452 undi, Dr Tan 2,665 undi dan calon DAP , Gangga Nayar 1,272 undi sahaja.

Calon-calon Pekemas dari kalangan bekas Anggota Parlimen Gerakan, semuanya tewas dan hilang wang pertaruhan, kerana pertandingan sebenar adalah antara BN dan DAP. Undi calon Pekemas duduk di tempat ketiga atau keempat. Mereka adalah; V.David (Jelutong), V.Verappan (Nibong Tebal) dan Yeoh Teck Chye (Kuala Lumpur Bandar).

Dalam PRU5 (PRU 1978), Dr Tan Seng Giaw, yang diasuh untuk menggantikan Dr Tan Chee Khoon di Kepong, gagal mempertahankan kerusi Pekemas, bila beliau ditewaskan oleh Dr Tan Tiong Hong, calon Gerakan/BN, dengan 2,228 undi, apabila Tiong Hong dapat 20,055 undi, Seng Giaw 17,827 undi, sementara calon DAP, Khoo Chin Tow dapat 9,971 undi.

Dalam PRU5 (PRU 1978), V.David bertanding atas tiket DAP, selepas meninggalkan Pekemas, di Parlimen Damansara, beliau menang setelah perolehi 21,461 undi, berbanding undi calon BN 18,239 undi, calon Pas 5,386 undi dan calon Pekemas hanya 161 undi sahaja.

Begitu juga dengan Dr Tan Seng Giaw. Beliau berjaya setelah sertai DAP dan bertanding atas tiket DAP dalam PRU6 (PRU 1982) di kerusi Parlimen Kepong. Beliau menang setelah perolehi 29,368 undi berbanding Kerk Choo Ting (Gerakan/BN) 28,165 undi. Beliau menang dengan majoriti 1,205 undi. Seterusnya beliau menang 6 kali berturut di kerusi yang sama hingga kini, dengan peningkatan majoriti: PRU7 16,513 undi, PRU8  22,352 undi , dan terakhir PRU12  23,848 undi.

Seorang wakil rakyat yang secara realiti mencapai kejayaan kerjayanya atas kapasiti peribadi ialah bekas ADUN Selangor kawasan Batu Laut, Abdul Jabar Mohd Yusoff. Beliau bertanding buat kali pertama dalam PRU4 (PRU 1974) sebagai calon bebas. Beliau adalah bekas ahli UMNO, bertanding sebagai calon bebas atas desakan segelintir ahli yang tidak dapat menerima calon yang dikemukakan parti.

Dalam PRU4, beliau perolehi 3,183 undi untuk mengalahkan Abdul Samad Maharuddin (BN) yang perolehi 1,953 undi. Menang dengan majoriti 1,230 undi. Abdul Samad adalah Setiausaha Akhbar Menteri Besar Selangor.

Dalam PRU5, atas kecemerlangan perkhidmatannya, beliau berjaya meningkatan majoriti kemenangan sebanyak 1,530 undi. Undi calon BN, Mohd Yusoff Dahlan cuma 2,513 berbanding undi Abdul Jabar sebanyak 4,043 undi. 

Dalam PRU6, Abdul Jabar atau lebih dikenali Cikgu Jabar, berjaya pertahankan kerusi tetapi dengan undi yang merosot. Beliau memperolehi 3,885 undi untuk mengalahkan calon BN, Shahrom Haji Maasom, yang dapat 3,625 undi dan calon Pas, Paujan Haji Siraj, 294 undi sahaja. Menang dengan majoriti kecil, sebanyak 260 undi.

Dalam tahun 1986, Abdul Jabar menyertai sebuah parti baru, yang diasaskan oleh bekas anggota UMNO, yang dikepalai oleh Dato' Raja Nasrom Raja Ishak, bekas Ahli Parlimen Kuala Selangor dan Zainuddin Mohamad, iaitu Parti Nasionalis Malaysia atau ringkas Nasma, sebuah parti berbilang kaum. 

Abdul Jabar bertanding dalam PRU7, atas tiket parti baru, untuk pertahankan kerusinya serta mencuba di kerusi Parlimen. Beliau ditewaskan dengan majoriti besar oleh calon BN, Sairun Haji Abdul Hamid, yang perolehi 6,993 undi, di mana Abdul Jabar (Nasma) 2,009 undi sahaja, Paujan Haji Siraj (Pas) 488 undi dan Tan Siew Seng (SDP) 266 undi.

 Sementara di kerusi Parlimen Sepang, undi beliau cuma 2,757 undi berbanding Mohd Shariff Jajang (BN) 18,253 undi, K. Ramasen (DAP) 7,092 undi dan Tan Siew Seng (SDP) 439 undi.

Kegagalan Abdul Jabar menjelaskan populariti beliau gagal mencetuskan penerimaan masyarakat terhadap sebuah parti baru. Sebagai sebuah parti baru, cuba menggunakan populariti Abdul Jabar, membantu meluaskan pengaruh. Karier politik beliau berakhir di situ.

Ahmad Nor yang meletakkan namanya popular menerusi jawatan Pengerusi Ceupacs, meletak jawatan sebagai pemimpin NGO berkenaan kerana kecewa dengan dasar kerajaan dalam tahun 1980an, menyertai politik menerusi parti SDP (Socialist Democratic Party), untuk meneruskan perjuangan kelas pekerja. 

Beliau mengetuai SDP menyertai PRU7 (PRU 1986). Beliau cuma mampu meraih 6,112 undi di Parlimen Lembah Pantai, berbanding Abdul Razak Abu Samah (BN) 21,408 undi dan Yap Kew Sing (DAP) 8,868 undi.  Di peringkat DUN, beliau bertanding di kawasan kubu kaum pekerja iaitu kerusi Kelana Jaya. Ahmad Nor cuma dapat 800 undi, menduduki tempat ke 4, dalam persaingan 5 penjuru.

Tokoh silat Melayu, Omar Din Mawai Din, yang bertanding sebagai calon SDP menumpang popularitinya Mahaguru Seni Silat, cuma dapat 477 undi dalam persaingan 4 penjuru di kerusi Parlimen Batu. 

Kegagalan menjuarai perjuangan kaum pekerja menerusi Ceupacs dan SDP, mengalihkan Ahmad Nor ke DAP. Dalam PRU8 (PRU 1990), beliau diletakan DAP bertanding di kawasan padat kelas pekerja iaitu di kerusi Parlimen Bayan Baru. Beliau berjaya memasuki Parlimen setelah perolehi 25,853 undi untuk menewaskan calon BN, Khor Gaik Kim, yang dapat 23,513 undi.

Dalam PRU9, populariti sebagai tokoh sekerja, gagal mempertahankan kerusi berkenaan. Beliau ditewaskan majoriti 6,439 undi oleh calon BN, Wong Kam Hong (32,190 undi), Ahmad Nor (25,351 undi), di kala pengundi bukan Melayu di seluruh negara mengalih arah ke BN. Tokoh DAP, Karpal Singh, yang mempertahankan kubunya buat kali kelima, cuma mampu menang tipis 283 undi di kerusi Parlimen Jelutong.

Usaha pasukan pembangkang menerusi pakatan Ming Court yang membawa kepada Pilihan Negeri Sarawak 1987, menggunakan populariti Tun Abdul Rahman Yaakub, bekas Yang Dipertua Negeri dan bekas Ketua Menteri, gagal menjatuhkan kerajaan BN Sarawak. Walaupun gabungan Permas-PBDS kalah tipis, tetapi Tun Abdul Rahman sendiri kalah di kerusi yang ditandinginya. 

Tun Salleh Abas, bekas Ketua Hakim Negara, yang bertanding atas tiket Parti Semangat 46, cuma perolehi 10,058 undi berbanding calon BN, Shahrizat Jalil, 23,447, bila bertanding di kerusi Lembah Pantai, dalam PRU9, sewaktu undi pembangkang mulai beralih ke BN, di seluruh negara, berbanding PRU8.

Dalam PRU10, beliau menang besar bila bertanding di kerusi DUN Jertih, Terengganu, sebagai calon Pas, di waktu rakyat menolak BN, khususnya di kalangan pengundi Melayu.

Dari beberapa sample di atas dapatlah disimpulkan bahawa populariti seseorang tokoh boleh memenangkan parti berasaskan kepada faktor senario politik semasa, senario politik tempatan dan geografi politik. Populariti tokoh lebih besar peranannya di kawasan perbandaran dan kawasan pengundi berpendidikan berbanding pengundi di kawasan luar bandar. Ini lebih dipengaruhi faktor akses maklumat, isu-isu tersirat dan realiti penerimaan isu nasional dan tempatan oleh pengundi.

Dr Azmi Hassan dari UTM dalam responsnya kepada rumusan Persidangan MPN; populariti Najib bukan pengukur kemenangan BN. Sokongan kepada dasar serta pembaharuan dan berbagai transformasi, bukan mencerminkan sokongan parti yang dipimpin oleh tokoh. Sokongan kepada parti lebih banyak dipengaruhi oleh beberapa faktor penentu yang lain. 

Dr Shamsul Adabi Mamat dari UKM, menghujah bahawa pengundi di kawasan luar bandar, mengundi bukan kerana tokoh tetapi memilih parti, hasil dari pemerhatian dan kajian analitikalnya. 

Justeru itu, faktor populariti tokoh bukanlah faktor determinat yang menentukan kemenangan atau perluasan pengaruh parti. Faktor dasar parti, prestasi parti dan kerajaan, serta analitikal realiti keperluan masyarakat semasa yang lebih bersifat penyuburan nilai-nilai demokrasi. Populariti tokoh lain belum diuji, kerana belum menerajui kerajaan Persekutuan, yang mana bdang kuasa lebih luas dan lebih kukuh, berbanding penerajuan sebuah kerajaan negeri. 

nukilan : MOHD ZAIN MAHMOOD. 

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]