Sunday, September 2, 2012

APA SEBENARNYA PILIHAN PENGUNDI PADA PRU 13?


Siapa, apa tentukan sikap pengundi



Fatwa agama jadi mainan politik parti

Siapakah yang akan menentukan pengundi pilih parti mana dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13)? Karpal Singh, Datuk Nik Aziz Nik Mat, Lim Guan Eng, Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Datuk Seri Najib Razak? Atau bekas pemimpin PKR yang tak henti-henti lantang menyerang Anwar?


Apakah gelagat politik Datuk Dr Hasan Ali, Datuk Ibrahim Ali dan Ustaz Nasharuddin Mat Isa serta bekas tokoh PKR akan menarik pengundi Melayu kepada UMNO (BN)? Orang seperti Senator Nallakaruppan eloklah berhenti menonjolkan diri. 




Pada awal Ogos lalu, umat Islam diperingatkan mengundi DAP ‘haram dan berdosa’ kerana parti itu terang-terang menentang penubuhan negara Islam dan hudud. Tidak boleh juga menyokong PAS dan PKR kerana bekerjasama dengan DAP yang pemimpinnya kafir harbi. 



Karpal tahu PAS yang teringin sangat hendak jadi pemerintah, tak boleh tinggalkan DAP. PKR dan Anwar Ibrahim pun begitu. Justeru, strategi politik jangka panjang DAP sudah mulai capai matlamatnya”


Begitulah ‘fatwa’ beberapa tokoh agama sebagai reaksi kepada ketabahan Karpal Singh menentang perjuangan asal PAS. Baru seorang yang bernama Karpal Singh bercakap, orang Melayu termasuk tokoh agama, gelabah bagai cacing kepanasan. Karpal makin seronok. Beliau berjaya memesongkan perhatian orang Melayu daripada perkara yang perlu dikerjakan untuk memperkukuhkan bangsa dan agama. 



"Sudah berpuluh-puluh tahun kita berdebat mengenai hukum hudud tetapi tak juga selesai. Sebabnya ia bukan isu hukum tetapi isu politik dan kuasa. Akhirnya Karpal dan DAP yang ketawa."

Pemimpin dan pejuang Melayu-Islam perlu mencontohi Karpal. Tabah dan konsisten dalam perjuangan meskipun menentang rakannya yang sangat penting dalam pakatan politik. PAS lebih penting daripada PKR. Tetapi Karpal tak peduli kerana dalam percaturan politik pembangkang menjelang PRU-13 ini, Karpal dan DAP lebih kuat daripada Datuk Hadi Awang dan PAS, lebih kuat daripada Anwar dan PKR. Karpal tahu PAS yang teringin sangat hendak jadi pemerintah, tak boleh tinggalkan DAP. PKR dan Anwar Ibrahim pun begitu juga. Hati-hatilah bermain politik, orang Pulau Pinang dah menangis tak berlagu! 

Ketua PKR Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman, baru sekali cuba buka mulut bercakap perkara benar – dalam mesyuarat sulit yang bocor – sudah angkat kedua-dua tangan. Ketika ketuanya, Guan Eng berada di sisi memerhati dengan mata sinis pada satu sidang media, Timbalan Ketua Menteri itu gelabah lantas dengan sungguh-sungguh ‘mengangkat’ Guan Eng.

Apabila pensyarah USM ini masuk politik dan jadi orang nombor dua dalam kerajaan negeri, orang Melayu Pulau Pinang berasa ada seorang pembela Melayu dalam kerajaan. Pensyarah universiti selalunya dihormati dan dipandang tinggi, ilmuan dan guru kelas tinggi pastilah ada integriti dan harga diri macam Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim. Tetapi harapan itu nampaknya tak akan tercapai. 

Dalam mesyuarat sulit PKR yang heboh bocor itu, apa dibincang pun bukan masalah rakyat tetapi masalah pembahagian kerusi. Catatan mesyuarat yang bocor itu juga menyebut ‘how PKR members should rally as there would be plenty of jobs to go around if Pakatan managed to wrest Putrajaya in the coming general election’. (NST 25 Ogos 2012)

Nyatalah apa sebenarnya matlamat perjuangan pakatan pembangkang. Maka itulah sebabnya pemimpin PAS pun sanggup tunduk kepada DAP demi banyaknya ‘peluang menanti’ selepas menawan Putrajaya. Tidaklah pelik apabila Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu pun sanggup mempergunakan Tun Ghafar Baba yang sudah lama kembali ke alam baqa. Apakah rakyat masih nak undi pakatan pembangkang?

Kata Ketua Dewan Ulama PAS Kelantan pula: “PAS Kelantan tidak menafikan adalah haram mengundi golongan menentang Islam pada dasarnya, namun ia dibolehkan bagi menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional yang diterajui UMNO.” Ulama ini menegaskan, ‘hukum boleh berubah mengikut keadaan dan waktu tertentu’. Betulkah hukum dalam Islam begitu? Boleh diubah-ubah ikut suka hati?

Apabila ditanya wartawan mengenai fatwa ‘haram dan berdosa’ ini, jawapan Tun Dr Mahathir Mohamad: “Jika itu pendapat mereka, terpulang kepada umat Islam menerimanya atau tidak tetapi saya fikir orang ramai tidak akan mengikut orang agama ini. Ini masalah kita, semua dikatakan Islam tapi tidak diamal.”

Pendapat Dr Mahathir ini berdasar realiti dan sikap pengundi pada pilihan raya sebelum ini. Namun keputusan pilihan raya menunjukkan pengundi tidaklah begitu terpengaruh dengan fatwa, meskipun heboh jadi bahan kempen dan berita besar dalam akhbar. Pengundi terutama ahli dan penyokong parti lebih dipengaruhi oleh ketokohan pemimpin yang menjadi pujaan mereka. 

Kira-kira 40 tahun lalu, ulama PAS menegah umat Islam mengundi BN kerana UMNO berpakat memerintah dengan orang kafir. Waktu itu PAS kata UMNO itu asabiyyah dan kafir. Namun majoriti Melayu tetap mengundi UMNO (BN) kecuali pada PRU 2008. Sekarang dah terbalik pula, ada ulama yang kata ‘haram dan berdosa’ mengundi DAP dan pakatan pembangkang. 

Mengeluarkan fatwa agama untuk kepentingan politik parti sangatlah tidak wajar dan memperbodohkan pemikiran politik Melayu-Islam. Ulama bijaksana tidak seharusnya menjadikan hukum agama sebagai permainan politik, apa lagi untuk menonjolkan diri atau untuk menentang orang tertentu atau musuh peribadi.

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]