Saya mengakui bahawa saya bukanlah seorang peminat kolumnis akhbar New York Times, Thomas Friedman kerana merasakan tulisan beliau terlalu menunjuk-nunjuk.

Namun kolum terbarunya, “It’s still half-time in America” (Masih Separuh-Masa di Amerika) menggamit perasaan dan membuat saya berfikir serta membandingkan Perhimpunan Agung Parti Republikan di Tampa dengan sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 di Kuala Lumpur.

Apatah lagi, kedua-dua sambutan ini berlangsung pada minggu yang sama, dengan wajah Mitt Romney, tokoh korporat yang menjadi calon Parti Republikan menghiasi sari berita antarabangsa.

Sememangnya, Malaysia bukan Amerika Syarikat, tetapi sudah pasti ada perkara yang boleh kita pelajari dari kuasa besar ini.

Ia agak menyedihkan untuk melihat parti ulung politik Amerika ini dikuasai puak ekstremis daripada kalangan Tea Party yang marah akan perubahan sosioekonomi sedang berlaku di Amerika.

Hasil penyelidikan akhbar Washington Post akhir Ogos kelmarin menunjukkan 92 peratus daripada ahli Parti Republikan (GOP) adalah orang putih berbanding hanya 58 peratus untuk Parti Demokrat. The Economist dalam laporan edisi November 2011 pula menjangkakan tahun 2050, seramai 15 hingga 30 peratus daripada populasi Amerika daripada kaum Amerika Latin manakala Afrika dan Asia Amerika meningkat dari 19 ke 24 peratus. 

Malang sekali, persepsi masyarakat tentang GOP ialah sebuah parti yang didominasi orang berkulit putih, kaya dan dingin terhadap mereka yang tidak berkongsi norma hidup sama. Seperti ditulis Friedman “ia merupakan pesta hipokrasi tanpa segan silu.”

Walaupun begitu, kebolehan sistem politik Amerika mengakomodasi sistem dua parti ini, menampakkan kehebatan sistem politik dan demokrasi negara itu.

Debat politik di Amerika terbahagi kepada mereka yang mempunyai pandangan berbeza tentang masyarakat dan gaya hidup, bukannya tentang etnik berbeza yang mahukan kuasa.  Walaupun berbeza pendapat, rasa jati diri identiti bangsa Amerika itu
sendiri utuh, ia luas dan mampu menerima segenap lapisan masyarakat.

Dari jenis Tea Party dengan idea yang hiper konservatif ke liberal di Parti Demokrat, politik Amerika ialah pasar yang terbuka di mana semua pemain boleh menempatkan diri. Namun, dengan menjadi lebih sempit dan kurang toleran, GOP memilih untuk menuju gerbang kehancuran.

Malang sekali, politik Malaysia tidak seluas itu. Sejak kebelakangan ini, politik Malaysia banyak memainkan sentimen perkauman, memaksa rakyat  memilih parti yang disokong berdasarkan kepentingan kaum. Strategi ini menghancurkan kekuatan masyarakat kita.

Keinginan untuk kesucian perjuangan dan mengekalkan keeksklusifan telah merosakkan parti ulung politik Malaysia ala GOP, iaitu Umno. Idea-idea yang lebih kosmopolitan dan dinamik telah diketepikan dan parti mana yang tidak menggunakan khidmat ahli politik veteran yang efektif dan pakar berkomunikasi seperti Tan Sri Sharir Samad, sudah pasti dilanda kesulitan.

Ini sememangnya harus berubah. Umno seharusnya mampu untuk menyentuh isu agama, bahasa atau kebudayaan dan menggunakan ahli parti (seperti Shahrir dan Nur Jazlan) yang boleh merapatkan jurang perbezaan dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Adakah kita boleh menerima hakikat bahawa hari ini terdapat pelbagai interpretasi tentang Malaysia? Bangsa apa yang kita raikan setiap tanggal 31?

Ternyata, isu ini paling sensitif kepada orang Melayu. Selain Islam, naratif politik Melayu adalah bersandarkan pada raja dan golongan elit yang feudalistik, kita orang Melayu kerana kita rakyat dan pengikut yang setia. Menyoal peranan kita dalam
masyarakat sememangnya sesuatu yang masih tidak dapat diterima umum.

Namun, sistem ini sudah semakin runtuh dan ramai dalam Umno yang kurang selesa dengan cara lebih terbuka, transparen, dan dinamik. Malaysia kian berubah dan persoalannya ialah bagaimana kita memacu perubahan ini ke konsep identiti Melayu dan Malaysia yang lebih luas dan kurang eksklusif.

Apa yang paling penting ialah kesivilan. Pemain politik Amerika terkenal dengan kempen yang kotor, tetapi selepas mengangkat sumpah di mana pemenang diangkat menjadi presiden, secara teorinya mereka bersatu. Mereka akan patuh kepada peraturan politik yang ditetapkan dan mereka yang melanggar peraturan ini akan dihukum sekeras-kerasnya kerana melanggar “fair play”.

Sentimen ini juga ada di Malaysia, dan pemain politik kita seharusnya menghormatinya. Saya tidak tahu apa akan berlaku dalam pilihan raya di Amerika atau Malaysia akan datang, tetapi kita seharusnya menerima dengan terbuka hak untuk setiap rakyat mengutarakan pendapat sendiri dan meneruskan kehidupan mereka.