Wednesday, September 12, 2012

INFO PERLEMBAGAAN...


Perlembagaan ikut makna dulu atau sekarang

Perlembagaan Persekutuan adalah di antara undang-undang negara yang pendek berbanding dengan undang-undang lain. Ia hanya melibatkan 183 Fasal berbanding dengan undang-undang lain seperti Kanun Keseksaan, Undang-undang Tanah atau Syarikat yang mempunyai beratus-ratus peruntukan. Namun, Perlembagaan Persekutuan, walaupun pendek, amat sukar untuk difahami berbanding dengan undang-undang lain.

Perlembagaan Persekutuan bukanlah satu dokumen biasa kerana ia menentukan bagaimana hubungan di antara negara dan rakyat, pemerintah dan rakyat, perlu dibuat. Ia bukan sahaja merupakan satu dokumen undang-undang malah saya berpendapat ia merupakan satu dokumen politik yang amat penting untuk difahami. Dan, dokumen ini perlu difahami seiring dengan perkembangan politik semasa.

Dalam menghadam intipati Perlembagaan Persekutuan, penentuan terhadap makna asal merupakan satu pendekatan yang sering digunakan. Terma `makna asal' ini bukan perkara yang baru. Secara perbandingan, kita boleh lihat kaedah pengkajian ini seperti kita mencari asbabul nuzul atau sebab di sebalik turunnya sesuatu ayat dalam kaedah memahami tafsir al-Quran. 

Oleh itu, pengkajian seperti ini bukan dimensi baru pentafsiran undang-undang, malah kaedah yang sedia ada dan sangat perlu dalam meneliti fasal-fasal yang termaktub. Hal ini bermakna, pengikut mazhab undang-undang makna asal akan mencari bukti-bukti sejarah yang dapat menzahirkan niat penggubal Perlembagaan tersebut. Penggubal yang dimaksudkan di sini ialah Suruhanjaya Reid.

Manakala mazhab yang kedua pula ialah mereka yang melihat Perlembagaan sebagai satu dokumen yang hidup melalui zaman. Pengalaman politik yang dilalui oleh sesuatu negara akan mempengaruhi penafsiran Perlembagaan tersebut. Fahaman seperti ini tidak bergantung kepada sejarah semata-mata tetapi keperluan semasa. Kedua-dua pendekatan tersebut mempunyai justifikasi undang-undang yang tersendiri.

Pencarian makna Perlembagaan menjadi masalah apabila kita berdepan mauduk-mauduk yang fundamental seperti peruntukan berkaitan dengan kebebasan beragama, kebebasan bersuara dan peruntukan-peruntukan yang mempunyai hubung kait dengan agama dan bangsa. 

Perlu ditekankan bahawa masalahnya bukan mauduk yang ada. Tetapi kerana ia berkaitan dengan unsur-unsur emotif dan sensitif yang tidak dapat tidak akan mengundang pelbagai pendapat yang berbeza.

Contoh paling mudah adalah isu sama ada Malaysia negara Islam atau sekular. Debat seperti ini memang terlalu banyak pendapatnya. Bermula daripada deklarasi bahawa Malaysia ini adalah negara sekular oleh Tunku Abdul Rahman sehingga kenyataan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad sedikit masa lalu bahawa Malaysia adalah negara Islam. 

Tidak kurang juga wujud pendapat bahawa tidak wujud negara Islam dan tidak ada yang menepati definisinya, apatah lagi jika dikaji Perlembagaan Persekutuan yang digubal Suruhanjaya yang condong kepada undang-undang Inggeris. Terdapat juga kes-kes yang mengguna pakai kes Ramah lwn Laton yang mengatakan Islam adalah lex loci atau undang-undang negara ini.

Namun mana-mana pengamal undang-undang akan bersetuju yang debat isu ini belum selesai lagi kerana pada hakikatnya, penafsiran isu ini amat bergantung kepada keadaan sosiopolitik semasa dan bukan `makna asal' semata-mata. 

Zaman baru pasca merdeka melihat rakyat secara umumnya `menerima' fahaman bahawa negara ini negara sekular. Tetapi, setelah gelombang gerakan Islam menular dalam aliran politik semasa, kita lihat banyak pihak termasuk pemerintah sendiri yang mendebatkan negara Islam dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan. Ini adalah contoh jelas perubahan fahaman dan tafsiran mengikut perkembangan semasa.

Acap kali diketepikan, Perlembagaan sepatutnya dijadikan pusat rujukan dalam pengeluaran sesuatu polisi. Sama ada sebagai alat justifikasi atau untuk diperiksa pengesahannya. Secara teorinya, Perlembagaan adalah undang-undang paling tinggi negara. Maka tiada undang-undang lain yang dibenarkan untuk digubal sekiranya bercanggah dengan undang-undang paling tinggi ini. 

Maka tidak hairan jika hujah ultra vires itu sering dicanangkan jika ternampak sesuatu undang-undang yang menyanggah peruntukan Perlembagaan. Misalnya, jika kita telah dijanjikan hak untuk bersuara, maka apa-apa yang menghalang hak itu boleh dihujahkan sebagai melanggar atau ultra-vires dengan Perlembagaan.

Percanggahan itu pula ada bersifat terang-terangan menyanggahi peruntukan. Ada pula percanggahan yang dihujahkan menyanggahi `semangat' Perlembagaan. Di sini pentingnya mazhab `makna asal' itu terpakai. Maka untuk mengenali semangat, kita lihat dan kaji nawaitu pihak yang menyuntik semangat asal itu.

Pada hemat saya, sekadar menyelongkar niat Suruhanjaya Reid yang rata-ratanya condong kepada falsafah perundangan Inggeris semata-mata tidak memadai. Perlembagaan adalah dokumen penting yang perlu memastikan yang ia relevan dengan rakyat. 

Paling penting lagi, perlu kita ingat bahawa ia bukan undang-undang kamil atau tidak boleh diubah. Malah, undang-undang ini telah pun melalui beberapa peringkat penting perubahan dengan pindaan-pindaan yang boleh kita kata mengubah niat orang-orang terdahulu.

Perubahan negara dari segi sosial dan politik perlu menjadi rujukan juga dalam menghargai peruntukan yang ada. Jika sesuatu undang-undang itu dimasukkan untuk membendung ancaman komunis misalnya, kita boleh sifatkan ia sudah lapuk sekarang. Undang-undang adalah kaedah menyusun masyarakat. Maka relevan atau tidak undang-undang itu bergantung kepada bagaimana `hidupnya' ia.

Hakikatnya, Perlembagaan juga mempunyai roh yang hidup dan perlu difahami secara menyeluruh mengikut perkembangan negara. Fahaman seperti ini adalah fahaman yang demokratik. Selagi kita sebuah negara demokrasi, maka suara-suara yang ada perlu dikumpulkan dan didengar, bukan lagi suara Tuan Reid yang sudah lama kita kuburkan.

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]