Thursday, September 6, 2012

PAS TOLAK ANUAR SEBAGAI PM!


ULASAN Kenyataan bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Hasan Ali berhubung isu golongan Anwarinas menguasai parti itu kini nyata tersasar. Mungkin, jika memang ada pun penyokong tegar Anwar Ibrahim dalam barisan pimpinan PAS, bilangan mereka tidak ramai. Atau, mereka kurang berpengaruh.
Sebab itu, agaknya, sehingga hari ini kenyataan paling penting yang dibuat Anwar Ibrahim menjelang pilihanraya umum akan datang, tidak disahut oleh PAS. Anwar menegaskan jika Pakatan Rakyat pimpinannya gagal dalam PRU-13, beliau akan bersara dari politik. Setakat ini tiada kenyataan simpati dan ucapan setiakawan “akan berenang atau tenggelam bersama Anwar” daripada PAS, jika PR gagal.
Namun tidak pula demikian dengan DAP. Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng tidak teragak-agak mengisytiharkan dalam debat beliau dengan Presiden MCA, Dr Chua Soi Lek minggu lalu bahawa jika Pakatan Rakyat menang PRU 13, Anwar Ibrahim akan diangkat menjadi Perdana Menteri.
PAS – tidak kira ada ramai Anwarinas atau tidak dalam pimpinannya – masih belum menyatakan kesediaan menobatkan Anwar sebagai perdana menteri jika PR menawan Putrajaya.
Bayangkanlah apatah sikap PAS Pakatan Rakyat gagal dalam cita-cita menggantikan Barisan Nasional. Seolah-olah masih ada dalam PAS menganggap bahawa Anwar tidak, atau belum layak diisytiharkan sebagai pemimpin utama PR – di masa kemenangan atau dalam kekalahan.
Ini menyerlahkan beberapa hakikat:
1. PAS masih belum yakin Anwar layak menjadi perdana menteri sekalipun PR berjaya menumbangkan BN dalam PRU 13. Sikap teragak-agak atau “enggan” menamakan Anwar sebagai Perdana Menteri ini jika PR menang, semakin ketara.
PAS seakan-akan  mahu berkawan dengan Anwar setakat bekerjasama menumbangkan BN sahaja. Apabila menang, PAS ada banyak perhitungan lain untuk dibuat. Sebab itu, agaknya, Haji Hadi memberitahu akhbar Cina masih belum ada keputusan dicapai siapa akan menjadi perdana menteri jika PR menang.
2. PAS menaruh harapan bahawa dalam PRU 13, jika PR menang, sumbangan bilangan kerusi parlimen terbanyak akan datang daripada PAS. Perkara ini diperkukuh oleh kenyataan Presiden PAS, Haji Hadi Awang, bahawa dalam PR, PAS adalah parti yang terkuat.
3. PAS juga melayan impian bahawa jawatan perdana menteri seharusnya diberikan kepada pemimpin PAS. Semangat perjuangan Islam yang ditunjukkan selama ini menebalkan lagi keyakinan PAS bahawa ia adalah pergerakan Islam yang tuntas dan suci. Anwar Ibrahim dan PKR tidak boleh mengenepikan hakikat ini.
4. PAS masih kurang yakin akan kewibawaan Anwar sebagai perdana menteri. Kempen-kempen media dan Barisan Nasional mempertikaikan ketelusan dan kekudusan moral Anwar nampaknya ada meninggalkan kesan pada sebilangan pemimpin kanan PAS.
5. PAS kini hanya bermain dengan waktu untuk menunjukkan taring politik sebenarnya apabila usai PRU 13 yang diyakini akan memihak kepadanya. Jika ia membuat perisytiharan sekarang bahawa  ia menyokong Anwar menjadi perdana menteri, kemenangan PR kelak akan menafikan peluang PAS memimpin Malaysia.
6. PAS mungkin tidak mahu mengumumkan Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri jika PR menang PRU 13 sekarang kerana tidak mahu terjebak dalam percaturan siapa yang akan mengisi kabinet Anwar Ibrahim. Soal pemimpin PAS mana akan mengisi portfolio kritikal dalam kabinet PR kelak pasti akan menjadi satu isu sensitif.
Atau, mungkin juga PAS sebenarnya sudah ada senarai kabinetnya sendiri! Sudah tentu akan agak menyulitkan PR dalam mencatur langkah politik selepas PRU jika ia sudah menamakan Anwar sebagai perdana menteri sekarang. Isu siapa patut jadi Yang dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang, sehingga hari ini belum selesai. PAS mungkin mahu menjadikannya iktibar dalam menjalin hubungan kerjasama dengan PKR dan DAP.
Apapun, yang pasti PAS seolah-olah masih belum menemui kesepakatan di kalangan pemimpin-pemimpinnya. Pada akhirnya mungkin ada kebenarannya juga kenyataan Hasan Ali bahawa sendi politik PAS kini sedang dimamah parasit politik yang tidak mahu lagi mengikut telunjuk ulama tanpa banyak soal. Mungkin parasit-parasit ini juga sedang mengatur formula bagaimana mahu menjadikan PAS parti politik mutlak dan bukan lagi sebuah pergerakan dakwah.

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]