Monday, January 12, 2009

Pilihan Raya Kecil: Tegakkan Demokrasi Kukuhkan Perpaduan






PILIHAN Raya kecil Parlimen Kuala Terengganu telah pun ditetapkan dan akan berlangsung pada 17 Januari depan selepas 11 hari penamaan calon diadakan yang secara tidak langsung akan membuktikan bahawa sistem demokrasi berparlimen kembali ditegakkan dengan suara rakyat menjadi penentu.

Hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil Kuala Terengganu berjalan dengan suasana aman dan lancar pada 6 Januari lalu tanpa sebarang perkara buruk berlaku seperti mana yang pernah terjadi dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh sebelum ini.

Dalam proses penamaan calon yang berlangsung di Stadium Negeri, Datuk Wan Farid yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu telah menyerahkan kertas pencalonannya pada jam 9.13 pagi dengan diiringi oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama lebih 10,000 penyokong BN.

Selepas proses penamaan calon selesai, secara rasminya pertandingan tiga penjuru akan berulang di tempat tersebut apabila calon BN akan ditentang oleh calon PAS, Wahid Endut dan seorang calon bebas, Azharuddin.

Pada pilihan raya umum yang berlangsung 8 Mac lalu turut sama menyaksikan persaingan tiga penjuru yang dimenangi oleh BN melalui calonnya Datuk Razali Ismail, yang juga timbalan menteri pelajaran dengan mengalahkan calon Pas, Mohamad Sabu dan calon Bebas, Maimun Yusof.

Dalam jangka 11 hari, tempoh berkempen berlangsung antara parti calon yang bertanding bagi memastikan sokongan kepada calon tidak luntur di samping menarik golongan ‘atas pagar’ yang dikatakan akan menjadi penentu kepada kemenangan calon dalam pilihan raya kecil tersebut.

Meninjau semula kempen-kempen yang dijalankan oleh parti-parti politik yang bertanding dalam mana-mana pilihan raya kecil, biasanya, pihak pembangkang akanmenggunakan kaedah yang dianggap negative seperti serangan peribadi dengan memburuk-burukkan pihak lawan, fitnah dan hasutan di samping ada segelintir mereka yang bertindak liar dan samseng.

Berhubung hal tersebut, SPR telah menggariskan peraturan-peraturan khas untuk berkempen, seperti yang tertera di dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya (Pindaan) 2002.

Bagi memastikan pilihan raya berjalan lancar SPR mempunyai kuasa di bawah perkara 3(5) Akta Pilihan Raya 1958 dan perkara 27A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 untuk melantik Pegawai Penguat Kuasa dan membentuk satu atau lebih Pasukan-pasukan Penguat Kuasa di setiap bahagian pilihan raya Parlimen, jika difikirkan perlu.

Unit ini dianggotai oleh Pegawai Penguat Kuasa yang dilantik oleh Suruhanjaya Pilihan Raya, seorang wakil dari Ibu Pejabat Polis Daerah, seorang wakil dari Pihak Berkuasa Tempatan dan seorang wakil tiap-tiap parti/calon yang bertanding.

Pegawai Penguat Kuasa bertanggungjawab kepada Pegawai Pengurus, dan tugas pasukan ini ialah untuk memantau bahan-bahan kempen, ceramah-ceramah pilihan raya dan perhimpunan umum, bagi memastikan peruntukan-peruntukan di bawah undang-undang dan peraturan-peraturan pilihan raya tidak dilanggar.

SPR juga akan menubuhkan jawatankuasa-jawatankuasa di peringkat Pusat/Negeri/bahagian-bahagian pilihan raya bagi memberikan penerangan kepada parti-parti politik, calon-calon atau ejen-ejen dan petugas-petugas parti mengenai undang-undang dan peraturan pilihan raya.

Biasanya, kempen pilihan raya adalah berupa pengedaran risalah dan surat; poster; ceramah tertutup dan ceramah umum dan juga kempen dari rumah ke rumah.

Parti-parti politik turut dibenarkan membentangkan dan memperjelas menifesto masing-masing sama ada melalui media cetak dan juga boleh menggunakan media elektronik.

Sepanjang tempoh berkempen ini, pihak polis akan dari semasa ke semasa akan mengeluarkan garis-garis panduan kepada calon-calon yang bertanding untuk memastikan pilihan raya berjalan secara aman.

Difahamkan, lebih 3,000 anggota polis akan bertugas semasa pilihan raya kecil tersebut dan mereka akan ditempatkan di pusat-pusat mengundi serta beberapa kawasan yang telah dikenal pasti.

Semua bentuk kempen mesti ditamatkan pada jam 12.00 tengah malam sebelum hari mengundi.

Dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu, Datuk Bandarnya, Datuk Razali Kassim telah dilantik sebagai pegawai pengurus pilihanraya, bersama enam penolong pegawai pengurus.

SPR membenarkan kehadiran wakil NGO pemantau pilihanraya Mafrel untuk meneruskan pemerhatian dengan syarat yang ditetapkan suruhanjaya itu termasuk membenarkan Mafrel membuat pemantauan seperti pada pilihan raya umum ke-12, (8 Mac) dan pilihan raya kecil Permatang Pauh, (26 Ogos).

Pemantau juga hanya dibenarkan berada di pusat mengundi pada hari pengundian dan mereka sama sekali dilarang memasuki saluran pengundian dengan hujah undang-undang tidak membenarkan sesiapa sahaja masuk ke dalam saluran pengundian kecuali petugas pilihan raya, ejen calon, pengundi, anggota SPR dan mereka yang dibenarkan oleh sahaja.

Parlimen P036, Kuala Terengganu mengandungi 80,229 pemilih berdaftar, termasuk 1,035 pemilih pos.

Kawasan Parlimen Kuala Terengganu mempunyai empat Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Wakaf Mempelam, Ladang dan Batu Buruk.

Dalam pilihan raya kecil tersebut, Daftar Pemilih yang akan diguna pakai ialah Daftar Pemilih yang diperakui dan disahkan semula oleh SPR dan diwartakan pada 5 Disember lalu.

Daftar pemilih tersebut mengandungi 80,229 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 79,194 pemilih biasa dan 1,035 pemilih pos dan layak mengundi pada pilihan raya kecil berkenaan.Petikan dari umno-online oleh Ropikah Ahmad

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]