Sunday, February 22, 2009

Anwar diminta serah bukti terbaru pada SPRM






Gerakan Rakyat Anti Korupsi (GERAK Malaysia) menyokong tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan isu pita rakaman bekas pemimpin negeri yang didakwa cuba merasuah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kulim, Lim Soo Nee.

"Tindakan seperti ini seharusnya menjadi contoh kepada individu dan badan-badan lain agar lebih berani tampil mendedahkan kes-kes salahguna kuasa serta rasuah yang berlaku sebagai amaran kepada pihak-pihak yang terlibat," kata Pengerusi GERAK, Mohd Nazree Mohd Yunus.

"Namun kita juga menyarankan agar Datuk Seri Anwar menyerahkan bahan bukti tambahan terbaru, maklumat atau salinan dokumen yang berkaitan dakwaan yang telah dibuat secara segera bagi membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Nazree berkata, mana-mana pihak yang mempunyai bahan bukti yang berkaitan, tidak harus menyembunyikannya kerana ini boleh dianggap tidak serius untuk melaporkan kes rasuah.

"Semua pihak termasuk orang awam harus bekerjasama dalam usaha melawan rasuah. Usaha melawan rasuah akan gagal sekiranya hanya pihak-pihak tertentu sahaja yang berusaha mendedahkan jenayah rasuah ini," tambahnya.

Sehubungan, katanya, GERAK menggesa agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dapat bertindak secara proaktif dalam menjalankan siasatan ke atas kes salahguna kuasa dan rasuah politik yang semakin membarah ketika ini.

"GERAK berpendapat rasuah politik yang semakin berleluasa ini bakal menjadi ancaman terhadap kestabilan pentadbiran negara sekiranya tidak dibanteras secara serius," tambahnya.

Langkah lebih proaktif

Mengenai isu pita rakaman bekas pemimpin negeri yang didakwa cuba merasuah Adun Kulim itu, Mohd Nazree berkata SPRM seharusnya mengambil langkah lebih proaktif, memandangkan bukti sedia ada cukup kukuh sebagaimana yang didakwa oleh ketua pembangkang tersebut.

"SPRM juga boleh bertemu dengan ketua pembangkang untuk mendapatkan bahan bukti terlibat ataupun pihak ketua pembangkang hadir ke SPRM untuk berkongsi maklumat dan dokumen berkaitan.

"Kedua-dua pihak perlu memainkan peranan secara proaktif, pendedahan tanpa laporan serta tambahan maklumat atau dokumen baru, akan sekadar mencetuskan polemik antara SPRM dan Anwar Ibrahim.

"GERAK Malaysia juga menyokong usaha SPRM untuk mendedahkan siapa dalang di sebalik cubaan rasuah politik ini," tambahnya.

GERAK juga, tegas Nazree berharap SPRM tidak mengamalkan sikap 'double standard' dalam menjalankan siasatan ke atas mana-mana kes penyalahgunaan kuasa atau rasuah politik bagi melambangkan budaya telus dan integriti suruhanjaya tersebut.

"Memandangkan bukti kukuh yang didakwa oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan kes Adun Kulim tersebut telah lama diperolehi, SPRM sewajarnya sudah boleh mengambil tindakan terhadap individu-individu yang terlibat.

"Namun Gerak berharap kes ini dapat didedahkan segera agar rakyat dapat menilai keberkesanan SPRM terutamanya setelah mendedahkan kedudukan kes salahguna kuasa menteri besar Selangor.

Segerakan dakwaan

"Jika kes menteri besar Selangor mampu dimaklumkan kedudukannya terhadap awam, maka kes-kes yang lain juga wajar untuk mendapat maklum balas pantas SPRM," tambahnya.

Mohd Nazree juga menyarankan agar SPRM menyegerakan dakwaan terhadap mana-mana pemimpin yang terlibat rasuah, sama ada daripada Barisan Nasional mahupun daripada Pakatan Rakyat.

"Jika kes menteri besar Selangor didedahkan ada kemungkinan kuat untuk didakwa, maka bagi kes-kes rasuah VIP yang lain juga, wajar untuk didakwa dengan kadar segera.

"GERAK menyaruh keyakinan terhadap SPRM untuk melakukan pendakwaan secara telus dan tepat. Kita percaya, jika SPRM bertindak adil, maka rakyat kebanyakan akan menyokong SPRM, tidak kira siapa yang akan didakwa.

"Kita menyarankan agar mana-mana pemimpin yang didakwa atas tuduhan rasuah wajar digantung tugas atau meletakkan jawatannya bagi memperbaiki integriti kepimpinan partinya, termasuk dalam kes menteri besar Selangor.

"Gerak menyokong kepimpinan yang berusaha untuk membudayakan integriti dan merealisasikan secara jujur," tegas Mohd Nazree

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]