Saturday, March 7, 2009

Demo anti-PPSMI dihujani gas polis






kemaskini 4.14pm Gerakan aktivis bahasa menentang dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) mencipta sejarah apabila turun ke jalan raya, mengulang peristiwa perarakan Keranda 152 beberapa dekad lalu.

Peristiwa bersejarah pada 3 Mac 1967 itu bagi membantah Rang Undang-undang Bahasa Kebangsaan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), waktu itu antara lokasi penting kegiatan sasterawan dan intelektual Melayu.

Mereka merancang mengadakan bantahan ke Parlimen. Nombor '152' merujuk Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh aspek Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan Malaysia.

Hari ini, selepas 42 tahun peristiwa penting dalam perjuangan mendaulatkan Bahasa Melayu, kira-kira 2,000 orang berarak dari Masjid Negara selepas jam 2 petang tadi.

Mereka bagaimanapun dihujani tembakan gas pemedih mata oleh polis di Kampung Attap, hanya beberapa ratus meter dari Istana Negara.

Peserta perhimpunan itu - yang asalnya hanya dibenarkan oleh polis diadakan di masjid tersebut - melanggar arahan polis yang melarang sebarang perarakan.

Mereka berhasrat membawa memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon campur tangan baginda dalam pemansuhan dasar kontroversi itu yang diperkenalkan sejak 2003.

Polis pada mulanya berkawal dekat mahkamah syariah Wilayah Persekutuan, beberapa ratus meter dari Masjid Negara, jalan menuju istana.

Untuk memintas sekatan polis di situ, kumpulan ribuan penentang dasar tersebut - termasuk pemimpin dan penyokong pembangkang - bergerak melalui jejantas depan masjid menuju Kampung Attap melalui Jalan Syed Putra.

Polis melepaskan gas pemedih mata beberapa kali kepada penentang dasar PPSMI di situ sehingga memecahkan kumpulan tersebut kepada dua kelompok kecil.

Suasana kelam-kabut, orang ramai berpakaian putih - sebagai lambang membantah PPSMI - di barisan hadapan bertempiaran lari.

Walaupun kelihatan asap gas pemedih mata berkepul-kepul di udara, barisan belakang peserta perhimpunan terus bergerak ke depan, dengan harapan dapat menuju Istana Negara.

Mereka bersurai seketika bagi mengelak kesan asap gas pemedih mata. Manakala sebahagian terus berdegil cuba berarak ke istana walaupun diminta bergerak pulang ke masjid.

Polis antirusuhan pula memancutkan air kepada orang ramai di jalan menuju mahkamah syariah dari arah Jalan Syed Putra sewaktu mereka ingin pulang ke lokasi awal perhimpunan.

Sebahagian peserta demonstrasi telah kembali ke Masjid Negara selepas jam 3 petang tadi.

Ratusan orang ramai yang berkumpul di perkarangan dan di dalam masjid sekali lagi ditembak dengan gas pemedih mata. Sekurang-kurangnya tiga gas kelihatan dilepaskan.

Sementara di Istana Negara, kawalan lebih 150 anggota polis dan unit pencegah rusuhan FRU, termasuk kenderaan pemancut air.

Polis membuka semula laluan di Lebuhraya Mahameru dari kedua-dua arah yang ditutup bagi menghadapi sebarang kemungkinan kehadiran peserta perhimpunan tersebut.

Difahamkan empat lelaki ditahan polis dan mereka kini dimasukkan di dalam sebuah trak di depan istana. Butiran lanjut belum diperolehi.

Penasihat Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP), yang menganjurkan perhimpunan itu, Sasterawan Negara Datuk A Samad Said dan pengerusinya Datuk Dr Hassan Ahmad menyerahkan memorandum anti-PPSMI kepada penolong Datuk Paduka Maharajalela, Azuan Effendy Zairakithnaini di pintu masuk utama Istana Negara kira-kira jam 2.50 petang.

Lima lagi pemimpin GMP yang dijadual menyerahkan memorandum tersebut tidak kelihatan, dipercayai tersekat dalam kumpulan penyokong gerakan itu.

Kawasan tersebut, yang dijadikan daya tarikan pelancong, kini dikawal ketat oleh polis.

Laporan awal:

Sebelum mereka berarak kira-kira jam 2.10 petang tadi, kelihatan ketua Persatuan Penulis Nasional (Pena) Datuk Baha Zain dan naib presiden PAS Mohamad Sabu di Masjid sejak sebelum solat zohor, kira-kira jam 1.15 petang tadi.

Demonstrasi anjuran Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP) itu turut disertai Sasterawan Negara terkenal Datuk A Samad Said dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]