Thursday, August 20, 2009

Pengundi Hantu : Pemuda Serah Bukti Kepada SPR






Bukit Mertajam -- Pemuda UMNO hari ini menyerahkan satu memorandum beserta bukti kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung dakwaan wujudnya pengundi hantu di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir.
Memorandum tersebut diserahkan Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang, Norman Zahalan kepada Penolong Pegawai Pengurus Pilihanraya bagi DUN N.11 Permatang Pasir, Masirah Che Ani di pejabatnya di sini jam 2.30 petang tadi.
Di samping memorandum, Pemuda UMNO juga turut menyerahkan senarai nama pengundi yang meragukan dipercayai dilakukan pihak parti pembangkang bagi memastikan kemenangan calon mereka.
Norman berkata hasil maklumat dan pemantauan yang dilakukan sendiri Pemuda UMNO didapati ada sebuah rumah yang mempunyai bilangan pengundi seramai 14 orang di mana tuan rumah tersebut tidak mengenali pengundi terbabit.
"Kita telah pergi ke rumah terbabit dan kita dapati hanya tujuh orang pengundi sahaja yang tinggal di rumah itu manakala tujuh yang lain tidak dikenali tuan rumah itu sendiri.
"Justeru kita meminta pihak SPR segera melakukan siasatan ini. Ini merupakan laporan pertama kita kerana kita yakin kita akan memperolehi lebih banyak lagi bukti berkenaan perkara yang serupa", katanya.
Malah dalam laporan yang dikemukakan kata beliau lagi ada rumah pengundi Melayu yang turut didiami pengundi dari kaum Cina dan India.
"Kita cukup musykil dengan perkara ini kerana tuan rumah tersebut adalah pengundi Melayu yang tidak mengenali pengundi Cina dan India di rumah terbabit", katanya.
Turut serta dalam penyerahan memorandum itu ialah Ketua Penerangan UMNO Malaysia, YB Ahmad Maslan.
Norman seterusnya berkata jika dulu pembangkang khususnya Pas menuduh Barisan Nasional (BN) menggunakan pengundi hantu tetapi ketika ini jelas merekalah yang sebenarnya melakukan perkara tersebut.
"Dulu dia tuduh kita guna pengundi hantu tapi mereka tidak bagi bukti. Tetapi sekarang kita ada bukti bahawa mereka guna pengundi hantu untuk menang dalam pilihanraya", ujarnya.
Sementara itu Penolong Pegawai Pengurus Pilihanraya bagi DUN N.11 Permatang Pasir, Masirah Che Ani berkata pihaknya akan menghantar laporan dan bukti yang diberikan kepada pihak SPR negeri itu siasatan segera.

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]