Tuesday, September 1, 2009

BN Perlu Terlibat Leraikan Kemelut MCA







Dari Meja Ketua Pemuda UMNO

Kemelut dalaman parti MCA yang sampai kemuncaknya Rabu lepas dengan pemecatan Timbalan Presidennya Dato' Seri Chua Soi Lek menuntut pihak Barisan Nasional amnya untuk bertindak memastikan krisis ini dileraikan secepat mungkin demi kepentingan bersama Barisan Nasional.
Antara pengajaran yang kita perolehi daripada keputusan Pilihanraya Umum (PRU) ke-12 tahun lepas adalah bahawa semangat setiakawan dalam BN perlu dipertingkatkan, di mana kita tidak lagi boleh membiarkan
saudara-saudara kita dalam mana-mana parti komponen BN terkapai-kapai tanpa kita bersama cuba menyelesaikan sebarang masalah.
Sebarang isu dalaman sebuah parti komponen BN sudah pasti akan mendatangkan kesan kepada keutuhan dan kekuatan BN itu sendiri. Konsep BN adalah berteraskan persaudaraan sepanjang masa, dan bukan sebagai satu
pakatan longgar tanpa pegangan bersama seperti Pakatan Pembangkang.
Ini tidak bermaksud saya menyokong campurtangan parti lain dalam urusan parti MCA sewenang-wenangnya. Namun, kita juga perlu menyedari hakikat bahawa jika kemelut MCA ini berpanjangan, BN secara
keseluruhan akan menanggung akibatnya.
Jadi, BN sebagai sebuah entiti – dan bukan parti-parti komponen lain seperti UMNO atau MIC - perlu terlibat membantu menyelesaikan permasalahan yang ada dalam parti MCA.
Oleh itu, saya menyokong gesaan YAB Perdana Menteri Dato' Sri Najib Tun Razak supaya kedua-dua 'kem' dalam MCA dapat mencari jalan penyelesaian secepat mungkin.
Saya juga melihat pertemuan Presiden MCA, YB Dato' Seri Ong Tee Keat, dengan YAB Perdana Menteri untuk menerangkan keputusan memecat Dato' Seri Chua sebagai satu perkembangan positif yang juga menonjolkan kesedaran dari pihak MCA tentang kekhuatiran pihak BN mengenai isu ini.
Namun, di sini saya juga ingin menyeru agar YAB Perdana Menteri selaku Pengerusi BN bersama-sama Dewan Tertinggi BN mengambil langkah yang lebih proaktif dengan memanggil kedua-dua belah pihak dalam MCA untuk
duduk semeja dan sama-sama berunding.
Pada hemat saya, tindakan ini menjanjikan peluang terbaik untuk menamatkan saga ini secepat mungkin disamping memberi isyarat yang jelas bahawa kepentingan BN tidak akan dikompromi.
Perlu ditegaskan bahawa prinsip setiakawan ini bukan wujud hanya apabila sesebuah parti komponen menghadapi masalah dalaman.
Malah, dalam perjuangan kita supaya BN kembali mantap menjelang PRU ke-13, parti-parti komponen perlu meningkatkan semangat berpasukan dan berjuang di bawah payung BN dan bukan semata-mata panji UMNO, MCA, MIC, Gerakan, PPP, PBB, SUPP, PBS, PBRS atau mana-mana lagi parti komponen dalam BN.
Jika kita membiarkan parti-parti komponen bergerak dan beroperasi secara bersendirian, atau dalam kes MCA ini, menghadapi masalah 'seorang diri' tanpa input rakan-rakan dalam BN, maka potensi formula BN yang sebenar tidak akan tercapai.
Dalam pada kita mempersoal Pakatan Pembangkang yang tidur sebantal, mimpi lain-lain, jangan pula kita lupa kepada peri pentingnya memelihara keutuhan persaudaran Barisan kita jika kita mahu kekal menjadi tulang belakang kepada kancah politik Malaysia.

2 comments:

Anonymous said...

apa yang MCA dah buat semasa PRU yg lepas dan rata-rata calon mereka tewas semasa PRU yg lepas..

adakah mereka tidak bekerja kuat untuk rakyat dan telah beranggapan sentiasa berada di dalam kondisi selamat didalam setiap PRU?..MCA terlalu byk meminta dari pihak kerajaan dari memikirkan untuk menyatupadukan semula barisan nasional..kadang-kadang kita lihat tindak tanduk MCA ini seperti musuh dalam selimut BN sendiri..

Alfonso2009 said...

Polemik yang melanda MCA kini perlu kepada penyelesaian.Ini kerana sebagai satu rakan tegar dalam BN, suka atau tidak mesti dilihat bebas dari sebarang masalah dalaman. Perselisehan kali ini bukanlah perkara baru dalam sejarah MCA,kita yakin perwakilan akan buat keputusan menang-menang dalam EGM dalam tempoh sebulan.
Sebagai satu keluarga dalam BN, apa yang kita boleh sarankan agar kurangkan politiking tetapi banyakkan turun berjumpa masyarakat yang perlukan pembelaan dan bantuan.

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]