PERMULAAN PENYATUAN MELAYU.
Isu kerjasama UMNO-PAS bermula dengan saranan berbentuk akademik daripada Lokman Nor Adam yang dilaporkan berkata, hasrat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang mengamalkan dasar Islam akan menjadi kenyataan jika PAS dan UMNO bersatu.
PANDANGAN AHLI POLITIK.
Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Umno sentiasa bersikap terbuka untuk mengadakan sebarang perundingan dengan PAS yang menjurus kepada perpaduan, tetapi itu mestilah dibuat tanpa prasyarat.
Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden UMNO menyatakan komitmen serta kesediaan UMNO untuk bertemu dan menjalinkan kerjasama dengan PAS dalam pelbagai bidang, termasuk usaha memperkukuhkan Islam serta kedudukan orang Melayu di negara ini.
Anggota Parlimen Sri Gading, Datuk Mohamad Aziz berkata menerusi kerjasama itu ia bukan sahaja dapat mengukuhkan perpaduan di kalangan pemimpin, bahkan dapat mengurangkan gejala ‘politiking’ dan mengikat semangat perkauman.
“Kerjasama ini perlu dilihat secara positif dan bukan perkauman semata-semata sebab ia boleh membawa kepada kestabilan negara dan gejala politiking akan berkurang.
“Bila kurang politiking, kuranglah gelora dan kuranglah panas, maka rakyat akan lebih selesa,” katanya kepada Bernama di lobi Parlimen di sini hari ini.
Sementara itu Anggota Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin berkata beliau menyambut baik kerjasama tersebut jika ia membawa kebaikan untuk semua pihak. “Kalau kerjasama itu datang dengan kebaikan, kita sangat mengalu-alukannya sebab perpaduan itu adalah lebih penting daripada pergaduhan,” kata Naib Pengerusi Kelab Penyokong BN itu.
Anggota Parlimen Silam,
Salleh Kalbi yang mengatakan para pemimpin perlulah terlebih dahulu ikhlas dalam penyatuan ini kerana ia adalah intipati dalam
memastikan pembangunan negara secara holistik, tercapai. “Para pemimpin menjadi cermin kepada masyarakat dan mereka perlu ikhlas dalam hal ini. Jika para pemimpin bersatu dan berpolitik demi kesejahteraan rakyat, maka rakyat dengan sendirinya akan bersatu dan ini sekaligus dapat memantapkan kejayaan negara secara keseluruhannya,” katanya.
Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata peluang untuk mewujudkan kerjasama antara Umno dengan PAS yang menjurus kepada perpaduan akan hilang sekiranya kedua-dua pihak masih tidak bersunguh-sungguh ke arah itu.
PANDANGAN BLOGGER.
Salleh Saad (sallehsaad.blogspot.com) berkata, gagasan kerjasama Umno dan PAS adalah untuk memantapkan lagi kuasa politik orang Melayu yang telah terhakis sejak pilihan raya umum lalu serta mengatasi masalah perpecahan Melayu yang sangat serius sehingga mudah dikotak-katikkan oleh pihak-pihak berkepentingan.
Katanya, kedua-dua parti mewakili Melayu itu merupakan parti tertua di negara ini dan pernah bekerjasama dalam Barisan Nasional (BN) ketika Allahyarham Tun Razak menjadi Perdana Menteri dan Presiden Umno sekitar awal tahun 1970-an.
“Lagi pun, ia bukan lagi boleh dilihat sebagai masalah politik dan ideologi semata-mata tetapi hendaklah lebih menjurus kepada masalah keselamatan dan “survival” negara bangsa untuk masa depan,” katanya.
Sebaliknya, Amir Hamzah (amirhamzah64.blogspot.com) berkata, isu kerjasama Umno-PAS bukan dibangkitkan oleh Umno sebaliknya pihak lain yang mahu melihat kepentingan Melayu dan Islam terus terpelihara. Malangnya, kata beliau, isu kerjasama kedua-dua parti itu diputarbelitkan seolah-olah ia dibangkitkan oleh Umno, sama seperti cadangan kerajaan perpaduan sebelum ini yang dibuat oleh beberapa pemimpin dalam PAS.
“Sebagai rakyat tidak ada gunanya kita mengajak orang berbuat baik tetapi dibalas dengan tuba. Umno pula yang dilabel sebagai tidak siuman dan gila talak. Kalau Umno hendak bekerjasama pun tentu lebih logik dengan pemimpin-pemimpin Melayu PKR kerana mereka pun pernah bersama Umno di satu ketika dahulu berbanding dengan PAS yang rata-rata pemimpinnya ada “besar batu dalam kepala”,” katanya.
Bagi Nik Mohd. Abduh (nikabduh.wordpress.com) pula, beliau berkata, tindakan Umno dan PAS yang saling menuduh sebagai parti sesat menyebabkan kedua-dua parti Melayu itu akan saling bercakaran, walaupun puncanya adalah perbezaan ideologi. Katanya, sejak dahulu lagi PAS mengatakan Umno sesat dan pada masa yang sama juga Umno menuduh PAS sebagai sesat.
“Tak tahulah bila nak berhenti. Memang bila dah sesat, memang susah nak sampai ke penghujung, apatah bila dah saling sesat menyesatkan, lagi-lagilah susah nak ketemu hujung habisnya.
“Apabila Umno menuduh PAS sebagai sesat, maka ia adalah tuduhan yang berat... Juga, apabila PAS menuduh Umno pula sesat, maka ia pun satu tuduhan yang berat juga, sama berat dengan tuduhan oleh Umno tadi.”
Cuma kata beliau, tuduhan Umno tidak disertakan dengan penjelasan manakala tuduhan PAS terhadap Umno pula adalah sebaliknya.
PANDANGAN PEMIMPIN PAS.
PAS tidak pernah menutup pintu rundingan dengan mana-mana pihak sama ada parti politik atau badan bukan kerajaan (NGO), kata Timbalan Presidennya, Nasharuddin Mat Isa."Apa yang disebut oleh presiden (Datuk Seri Abdul Hadi Awang), kita tidak pernah menutup pintu rundingan dengan parti politik dan NGO.
"Muktamar PAS adalah kuasa tertinggi untuk membuat keputusan berkenaan," katanya.
Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Hj Omar yang memperingatkan UMNO usahlah mempermainkan isu kerjasama UMNO-PAS, kerana isu tersebut sudah tertutup, mukadimah untuk perbincangan UMNO-PAS tiada lagi. Keputusan PAS adalah muktamad akan terus pertahan dan bekerjasama dengan Pakatan Rakyat dan bukan UMNO. Justeru itu, ianya sesekali tiada berbangkit apa yang dikatakan pentingnya kerjasama UMNO-PAS demi perpaduan Melayu/Islam yang mula di canang UMNO melalui PM baru-baru ini.
Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kenyataan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempelawa orang tengah dalam menjayakan kerjasama Umno-PAS sebagai sia-sia.
"Kita dah tutup fail untuk kerjasama dengan Umno dan tak timbul lagi isu ini.
"Guna orang tengah ni menunjukkan Umno kritikal sungguh,” katanya kepada Harakahdaily. PAS, jelasnya hanya bersetuju bekerjasama atas semangat faderalisme antara kerajaan Pusat dengan kerajaan negeri Pakatan Rakyat atau goverment to goverment (G to G).
PENGKALAN CHEPA, 13 Jun - PAS membuat penegasan bahawa tidak akan melaksanakan sebarang kerjasama dengan Umno-BN dalam apa jua bentuk.
Ianya diulangi Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ketika menjawab persoalan yang dibangkitkan pada sidang media selepas menyampaikan Ucapan Penangguhan Muktamar Tahunan PAS kali ke-56 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik) petang tadi.
Menurutnya, kerjasama dengan Umno-BN hanya akan mendatangkan masalah dan tidak memberi apa-apa manafaat.
"Gagasan dengan Umno-BN tidak boleh menyelesaikan masalah kerana mereka masih lagi tebal dengan perkauman," ujarnya kepada pemberita.
Sedangkan pihak PAS ujarnya, mempunyai agenda tersendiri. "Ini bermakna kita (PAS) menutup terus pintu rundingan bersama Umno-BN," tegasnya. Terdahulu, dalam ucapan Dasarnya Ustaz Hadi menyatakan ia ibarat memikul biawak hidup.
"Perpaduan tersebut ibarat memikul biawak hidup, juga seperti memikul kezaliman dan segala masalah yang dimiliki Umno-BN," katanya lagi.
PANDANGAN KOMPONEN BN
MCA bersikap terbuka dan tidak mempunyai sebarang masalah jika Umno dan Pas ingin berbincang dan bekerjasama untuk pembangunan agama dan ummah.
"Kita melihat apa intipati yang dibincangkan dan kalau demi nak bangunkan negara, dari soal agama dan sebagainya, saya tak nampak apa masalahnya. "Tapi yang penting kita perlu melihat dalam konteks masyarakat majmuk," kata Ketua Pemuda MCA Datuk Dr Wee Ka Siong.
PANDANGAN ULAMA.
Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria baru-baru ini bahawa terdapat pemimpin kedua-dua parti Melayu berkenaan yang datang berjumpa beliau bagi membincang dan meminta pandangan beliau berhubung cara untuk menyatupadukan kedua-dua parti tersebut.
Harussani berkata beliau bagaimanapun menjelaskan kepada mereka bahawa beliau bukan orang politik dan tidak mempunyai hak untuk menentukan perkara tersebut bagi kedua-dua pihak.
Mufti Selangor, Datuk Seri Mohd. Tamyes Abdul Wahib berkata, dalam konteks itu adalah tidak adil sekiranya menuduh tokoh agama itu sebagai mencampuri urusan politik sedangkan beliau adalah mufti yang bertanggungjawab terhadap hal-hal berkaitan agama.
Tegasnya, kekuatan umat Islam kini bergantung kepada perpaduan orang Melayu supaya ia tidak dilihat lemah sehingga tidak mampu melaksanakan sebarang keputusan komprehensif.
‘‘Kenapa bukan Melayu boleh bersatu walaupun berbeza fahaman parti politik?
‘‘Dalam hal ini, saya yakin Melayu perlu bersatu dan semua pihak perlu mencari jalan penyelesaian bagaimana mahu Melayu menjadi kuat dan tidak berpecah sehingga boleh mengorbankan hak istimewa orang Melayu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Penasihat Agama Negeri Johor, Datuk Nooh Gadut ketika dihubungi berkata, para cendekiawan terutama golongan ulama dan ilmuwan Islam perlu melibatkan diri dalam usaha mendamaikan dan mencari penyelesaian apabila berlaku pertelingkahan antara dua golongan saudara Islam mengikut kemampuan masing-masing.
Jelasnya, Islam turut melarang umatnya bersangka buruk sesama sendiri serta mencari kesalahan dan keaiban orang lain
PANDANGAN NGO's
Razak Idris, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia mencadangkan penubuhan sebuah jawatankuasa khas supaya kerjasama antara UMNO-PAS terlaksana.
PANDANGAN AHLI AKADEMIK.
Pensyarah Undang-Undang Perlembagaan, Dr. Shamrahayu Abd. Aziz ketika ditanya tentang kemelut UMNO dan Pas berhubung konsep Melayu dan Islam bersetuju bahawa semacam wujud konflik dalam melihat 'Melayu dan Islam'.
''Khalayak sering mengambil Islam sebagai elemen pertemuan kedua-dua parti politik ini. Tetapi teras utama UMNO adalah Melayu. Walaupun Islam berada sekali di dalam ungkapan Melayu tersebut, ini tidak diterima Pas. Manakala teras utama bagi Pas adalah Islam, tanpa mengehadkannya kepada Melayu. Ini tidak boleh diterima UMNO,'' katanya.
Misi kedua-dua parti itu ada kesamaan, namun, perbezaan dari segi pendekatan kedua-duanya amat ketara,
Cahaya yang menyorot laluan kerjasama itu amat samar sehingga tidak mampu membimbing kedua-duanya menemui jalan penamat. Malah bukanlah mustahil jika kerjasama serta pertemuan yang diuar-uarkan itu umpama mahu bertepuk tetapi kedua-dua tangan enggan menyambut lantaran egois politik.
PANDANGAN PUTERI UMNO
INISATIF kerjasama antara UMNO dan Pas mesti diringi dengan usaha bersungguh-sungguh serta niat ikhlas kedua-dua belah pihak dalam memastikan kedudukan umat Islam di negara ini terpelihara dan berada di tempat yang sewajarnya. Pergerakan Puteri UMNO percaya, jika politik Melayu gagal dipertahankan maka usaha untuk memartabatkan Islam dan memelihara kesucian agama itu pasti berhadapan dengan cabaran getir.
PAS SELANGOR.
Isu perpaduan Melayu yang cuba dijadikan agenda politik oleh Umno dipandang tidak relevan oleh PAS Selangor. PAS Selangor merasakan agenda ini cuba diketengahkan oleh Umno semata-mata untuk memecahkan perpaduan erat dalam Pakatan Rakyat khasnya di negeri Selangor.
SUARA KEADILAN.
PAS tetap tolak kerjasama politik dengan UMNO.
MALAYSIA KINI.
Tolak UMNO, PAS sedia bincang diperingkat kerajaan.
ULASAN
Apa pula pandangan ahli-ahli UMNO dan juga PAS ?
No comments:
Post a Comment