Sunday, August 8, 2010

Taktik baru pembangkang



Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my

Kira-kira 22 bulan lalu atau lebih tepat lagi 16 September 2008, harapan pembangkang untuk menawan Putrajaya melalui pintu belakang tidak menjadi kenyataan.

Perancangan itu yang dicetuskan oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim terkubur begitu sahaja, biarpun kesan akibat kegilaan politik berkenaan dirasai sampai sekarang.

Bagaimanapun impian untuk menawan Putrajaya tidak pernah terpadam di dalam otak politik pembangkang terutamanya Anwar yang begitu mengidamkan kerusi Perdana Menteri. Justeru Pilihan Raya Umum Ke-13 menjadi sasaran terbaru kepada PKR, DAP dan Pas untuk sekali lagi mencuba.

Mereka beranggapan pilihan raya akan datang sebagai detik terbaik untuk memenuhi impian menawan Putrajaya. Apa yang berlaku ketika pilihan raya umum 2008 dijadikan sandaran dan pembakar semangat, kononnya rakyat kini semakin menyokong mereka.

Justeru bagi menggambarkan kononnya impian menuju Putrajaya adalah cita-cita rakyat maka pada Sabtu ini bertempat di Shah Alam, pembangkang akan melancarkan apa yang dipanggil Tabung Impian Rakyat Malaysia (Tiram). Program itu bertujuan mengutip sumbangan daripada rakyat dengan sasaran mencecah berjuta-juta ringgit. Wang itu akan digunakan bagi membiayai perbelanjaan pembangkang dalam pilihan raya umum akan datang.

Sama ada fakta ini yang banyak didedahkan dalam blog-blog benar atau tidak, ia persoalan kedua tetapi apa yang pasti pembangkang sekali lagi cuba mengheret rakyat dalam permainan politik mereka. Bagi pembangkang, apa yang ingin mereka gambarkan ialah impian menuju Putrajaya itu dengan matlamat menjadikan Anwar sebagai Perdana Menteri bukanlah cita-cita politik mereka semata-mata tetapi juga cita-cita rakyat.

Mereka menggembar-gemburkan kononnya rakyat kini sudah bosan dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan hanya menanti masa melakukan perubahan.

Sebab itulah walaupun mempunyai perbezaan ideologi yang ketara antara satu sama lain, PKR, DAP dan Pas sanggup mengetepikannya buat sementara, biarpun hakikatnya tindakan itu umpama cuba menutup asap dari api di dalam sekam. Projek Tiram yang bakal dilancarkan ternyata membuktikan pembangkang terus menggunakan sentimen rakyat bagi menghalalkan tindakan politik mereka.

Walaupun pelancaran Tiram tersebut dikatakan mendapat restu kepimpinan ketiga-tiga parti, namun di kalangan pemimpin di peringkat akar umbi terutamanya di dalam Pas, mereka melihat ia hanyalah satu propaganda semata-mata.

"Saya tidak fikir, rakyat keseluruhan akan menyokong program ini. Ia menampakkan bahawa ada di kalangan pemimpin termasuk di dalam Pas sendiri mahu menonjolkan diri. Maklumlah tahun depan pemilihan dalam parti akan diadakan,'' kata seorang pemimpin Pas kepada penulis.

Beliau beranggapan program Tiram dilancarkan ketika kebanyakan negeri di bawah pakatan pembangkang sedang berhadapan dengan masalah. "Ada pandangan di peringkat umbi yang mahukan persoalan-persoalan tertentu yang melumuri pembangkang diselesaikan terlebih dahulu. Ia terutamanya melibatkan situasi politik di Selangor yang jelas banyak menjejaskan imej pakatan berkenaan,'' katanya.

Pandangan beliau turut dikongsi oleh Exco Pemuda UMNO yang juga Ketua Pemuda UMNO Selayang, Datuk Sohaimi Shahadan yang menegaskan, pembangkang sengaja memilih Selangor kerana hendak mengalih pandangan rakyat terhadap kemelut di negeri itu.

''Mereka hendak tunjuk kononnya kerajaan pakatan pembangkang di Selangor masih kukuh dan segala kontroversi yang berlaku tidak menjejaskan mereka, tetapi hakikatnya mereka cuba menyembunyikan masalah 'di bawah karpet','' katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, jika PKR, DAP dan Pas benar-benar berjuang untuk rakyat dan ingin memenuhi hasrat, maka selesaikan dahulu kemelut di Selangor yang menyaksikan pelbagai penyelewengan dan kepincangan berlaku.

''Tidak perlu beretorik dengan meneruskan agenda merebut kuasa politik untuk ke Putrajaya, tumpu dulu perhatian kepada masalah rakyat di Selangor ini,'' katanya.

Selain itu, apa yang boleh dipersoalkan, tidak kiralah berapa pun jumlah sumbangan yang disasarkan tetapi adakah itu harga bagi membentuk sebuah kerajaan di Malaysia. Contohnya, tak kanlah jumlah untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) hanya RM20 juta?

Mungkin sekali lagi istilah 'jihad' akan menjadi modal bagi menarik sokongan rakyat terutamanya di kalangan penyokong-penyokong Pas. Selama ini pun, penyokong Pas sudah menyerahkan sumbangan ikhlas mereka setiap kali menghadiri ceramah parti itu, ke manakah pergi wang berkenaan? Adakah Pas yang kini sudah mengetuai dua kepimpinan negeri sudah muflis sehinggakan hendak bertanding dalam pilihan raya pun terpaksa bersekongkol dengan PKR dan DAP meminta sumbangan rakyat?

Apakah perjuangan meruntuhkan sebuah kerajaan yang sentiasa memberi keadilan kepada semua kaum dan meletakkan agama Islam di tempat tertinggi di Malaysia adalah satu jihad?

Selain ini, turut menjadi persoalan adakah rakyat akan terpengaruh dengan dakyah-dakyah pembangkang yang menggambarkan seolah-olah kalau mereka memerintah maka Malaysia mungkin akan menjadi negara serba sempurna sama ada dalam politik, ekonomi dan sosial.

Bukankah selama ini, pembangkanglah yang mencetuskan pelbagai kemelut di negara ini demi kepentingan politik mereka.

Siapakah yang tidak menghormati institusi raja-raja? Siapakah yang menyerang institusi penguat kuasa kerajaan? Siapakah yang sentiasa menuduh apa sahaja yang kerajaan lakukan tidak betul? Hanya mereka sahaja yang betul? Siapakah yang mengamalkan sikap 'kalau kami buat halal, kalau mereka buat haram? Siapa pula yang semakin berani menganggu satu demi satu perkara yang sudah termaktub di dalam Perlembagaan? Tidakkah semua gelagat ini dilakukan oleh parti-parti pembangkang yang sudah 'bagaikan si kera mendapat bunga' apabila diberi diberi secebis kuasa memerintah beberapa buah negeri? atau sanggup menggadaikan segala-galanya demi mencari secebis kuasa politik.

Atas sebab itulah, rakyat perlu memikirkan dengan semasak-masaknya sama ada hendak menyokong atau tidak program Tiram yang dilancarkan oleh pembangkang.

Renung dan kajilah bagaimana pembangkang memerintah di Selangor dan Pulau Pinang yang menyaksikan satu demi satu kontroversi berlaku.

Memang benar dalam demokrasi mereka mempunyai hak untuk membuat penentuan tetapi rakyat terutamanya orang Melayu perlu mempertimbangkan banyak perkara, jangan sampai kerana terpedaya dengan janji manis pembangkang dan lakonan politik mereka, maka masa depan negara dan anak cucu kita digadaikan.

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]