Tuesday, September 21, 2010

Analisis: Adakah Angka 13 beri kejutan kempen Pilihan Raya Umum Ke-13


SEKALI lagi kejutan berlaku apabila tempoh kempen untuk pilihan raya umum kali ini dilihat sebagai ‘agak panjang’ iaitu 13 hari, menidakkan ramalan banyak pihak yang menjangka tempoh kempen itu pendek sekitar tujuh atau lapan hari seperti pada beberapa pilihan raya umum sebelum ini.

Tempoh itu adalah terpanjang berbanding lima pilihan raya umum lalu, iaitu 2004 (lapan hari), 1999 (sembilan hari) dan 10 hari masing-masing pada 1995, 1990 dan 1986. Pada 1982, tempohnya adalah 15 hari, 1978 (17 hari), 1974 (16 hari) berbanding 35 hari pada 1969 dan 1964. Paling lama pada Pilihan Raya Umum Pertama 1955, iaitu 42 hari.

Walau apapun, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai alasan tersendiri untuk memanjangkan tempoh kempen dan seperti kata Pengerusinya, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, ia adalah lebih daripada mencukupi serta mengambil kira aspek keselamatan dan ketenteraman awam apabila menetapkan tempoh berkempen.

Mungkin secara tidak sengaja tempoh 13 hari itu sekali lagi menyamai nombor yang diminati Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan kebetulan pula hari lahir anak Perdana Menteri, Nori ialah 13 Januari. Malah, anak Nori dan Khairy Jamaluddin, Jibreil Ali Jamaluddin Abu Bakar dilahirkan pada 13 September lalu.

Pada hari penamaan calon 24 Februari ini juga adalah hari lahir ke-66 Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN)/Umno, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad.

Bagaimanapun, tempoh kempen yang panjang memberi kelebihan kepada parti politik, seperti persediaan yang lebih rapi, calon muka baru mempunyai banyak masa untuk dikenali dan mengenali pengundi serta jentera kempen dijangka lebih menyeluruh ke akar umbi.

Sama ada kepada Barisan Nasional (BN) atau pembangkang, kelebihan itu dirasai bersama. Sebaliknya, jika tempoh itu pendek, ada parti politik tertentu akan berasa ‘terkilan’ kerana masa tidak cukup untuk mereka bergerak.

Mungkin itulah niat SPR memanjangkan tempoh berkempen untuk memberi peluang sama rata kepada semua parti politik yang bertanding.

Pada Pilihan Raya Umum 1999, iaitu kali pertama pengundian sehari untuk Sarawak berbanding dua hari sebelum ini, memerangkap pihak pembangkang yang amat sukar untuk menjalankan kempen di luar bandar serta pedalaman kerana tempoh kempen sembilan hari.

Kali ini, dengan tempoh berkempen selama 13 hari, parti dan calon yang bertanding mempunyai masa yang cukup untuk mendekati rakyat, termasuk berkempen dari rumah ke rumah.

Bagi Pas, tempoh kempen yang pendek atau panjang bukan isu dan seperti kata Timbalan Presidennya, Nasharuddin Mat Isa, yang penting ruang mencukupi perlu diberi kepada pembangkang untuk berkempen menerusi media arus perdana.

Kita ingin bertanya Nasharuddin, apakah akhbar rasmi Pas, Harakah memberi ruang yang sama kepada BN? Jika diperhatikan laporan Harakah, tiada apa yang ‘baik’ dilakukan kerajaan, semuanya dikecam, disindir dan ditempelak.

Benar, masa kempen yang pendek atau panjang bukan isu bagi Pas kerana sejak selepas pilihan raya umum lalu lagi, parti itu sudah berkempen dengan mengadakan ceramah di merata tempat.

Sebenarnya, tempoh berkempen adalah untuk memperkenalkan calon, manakala dasar dan manifesto sesebuah parti sudah pun diketahui kebanyakan pengundi.

Sebab itu, di kawasan luar bandar dan pedalaman termasuk di Sarawak dan Sabah, parti yang bertanding kalau pun mengadakan ceramah berjam-jam sama ada mengenai dasar, manifesto dan sebagainya, yang menjadi penentu kadangkala adalah calon itu sendiri.

Kita jangan terkejut apabila seseorang calon, tak kira daripada parti mana, yang sanggup duduk bersila di dapur, menjamah sambal belacan dan berlawak dengan orang ramai, akan lebih menarik perhatian pengundi.

Pada masa sama, tempoh kempen yang panjang diharap digunakan calon dengan sebaik mungkin tanpa menimbulkan sebarang isu sensitif yang boleh mencetuskan ketegangan.

Maklumlah 13 hari dianggap masa yang banyak untuk berceramah, berbisik dan melawat ke merata tempat, sekali gus mendedahkan kepada segala kemungkinan.

Dalam hubungan ini, pihak keselamatan terutama polis haruslah bekerja lebih keras sepanjang tempoh berkempen itu bagi mengawal keamanan dan ketenteraman awam.

Petugas pilihan raya sama ada BN atau pembangkang pula hendaklah mematuhi segala peraturan dan tata susila sepanjang berkempen bagi mengelak sebarang kekecohan.

PANDANGAN PENULIS,

PRU 13 kini menjadi tanda tanya kepada pemimpin politik, penganalisis dan juga pengundi malah yang tak daftar pengundi pun turut tertanya-tanya bilakah tarikhnya.Setakat ini ada ramalan dari pembangkang bahawa PRU akan di adakan dalam masa terdekat. Hanya PM sahaja yang dapat memastikannya. Apa pun sejak PRU 12 hingga kini landskap politik negara terus didendang oleh kedua-dua pihak. Ternyata bagi pembangkang,semakinkerap dan acap isu-isu ini didendangkan maka ianya akan memberi kelebihan kepada mereka. Malah tidak ketinggalan semua isu seolah-olah menjadi 'kempen' politik yang tidak kesudahannya. Ketika ini soal pendaftaran pengundi menjadi topik utama kepada parti-parti politik. Terkini dianggarkan seramai 5 juta pemilih yang belum mendaftar sebagai pengundi. Apa pun kita nantikan apakah langkah yang dibuat oleh kedua-dua parti demi memastikan pemilih mendaftar. Pengundi muda/baru dikatakan bakal menentukan siapakah yang bakal membentuk kerajaan selepas PRU 13. Peranan yang begini besar yang dimainkan oleh pengundi muda tidak boleh dinafikan. Sama ada generasi muda memilih BN atau PR masih menjadi tandatanya kepada kita, sma-sama kita nantikan. Hanya yang berkerja kuat sahaja dapat menambat hati mereka dengan strategi yang tepat dan sesuai dengan jiwa orang muda.

Oleh Kadir Dikoh

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]