Thursday, September 30, 2010

INFO DULU DAN SEKARANG :Pulau Pinang tidak semurah dulu

Pulau Pinang tidak semurah dulu
Oleh - Abd Jalil Ali


Sejak sekian lama ia dikenali sebagai ‘Mutiara Timur’, ‘Pearl of the Orient’, ‘Bumi Francis Lights’ (?), ‘Tanjung’,dan lain-lain. Malah, pernah dalam zaman moden oleh sebab kekotoran dan sampah-sarap yang menyakit mata dan hidung, ia mendapat gelaran baru – ‘Darul Sampah’.

Tanpa mengira apa sahaja ia dikenali, bagi saya secara peribadi Pulau Pinang ialah ‘Negeri Nasi Kandar’. Menurut sejarah di sinilah nasi kandar ‘dilahirkan’. Dulu, kini dan selamanya di sinilah syurga bagi penggemar tegar nasi kandar.

Walaupun di KL ada sekian banyak restoran nasi kandar, saya selalu percaya untuk menikmati nasi kandar asli kita kena pergi ke tempat asal kelahirannya. Sebab itu dari semasa ke semasa saya ke Pulau Pinang untuk menikmati makanan yang sejak lebih empat dekad lalu menjadi ketagihan saya.

Tambahan pula berkereta dari KL ke Negeri Nasi Kandar kini hanya mengambil masa tiga setengah jam. Kita boleh keluar rumah, melepasi Tol Damansara jam 7 pagi, dan sudah melintasi Jambatan Pulau Pinang menuju Komtar jam 10.30, menikmati nasi kandar hingga selepas Zohor, dan memandu balik untuk tiba semula di rumah sebelum 6 petang.

Pulau Pinang adalah bandar yang saya kunjungi hampir setiap bulan, sama ada untuk urusan kerja atau hanya untuk menikmati nasi kandar di Jalan Pinang (lebih dikenali sejak dulu sebagai ‘Penang Road’), atau melahap ‘pasembur’ di Gurney Drives.

Dua hari lalu saya memandu ke Pulau Pinang, untuk menghadiri satu seminar penerbitan di Batu Feringghi. Beberapa perkara segera mengejutkan saya. Bukan mengenai seminar tetapi tentang nasi kandar.

Sebelum ke tempat seminar di tepi pantai, saya ke Jalan Pinang dan mengunjungi gerai nasi kandar kegemaran saya, iaitu ‘Line Clear’ yang terletak di celah-celah bangunan di jalan yang paling sibuk itu. Tanpa diiklankan atau diuar-uarkan dalam internet pun semua penggemar nasi kandar mesti tahu tempat ini.

Ada sekian banyak jenama nasi kandar, tetapi bagi saya dan ‘geng’ dari KL gerai di celah bangunan ini yang paling lazat hidangannya. Sejak sekian lama keaslian resipinya tidak berubah, pendek kata enak sehingga menjilat jari.

Apa yang mengejutkan saya ialah nasi yang diletakkan dalam pinggan semakin kurang. Saya minta nasi penuh tetapi petugas di situ memberitahu “itu memang penuh punya...” Penuh, sebenarnya sama seperti separuh beberapa bulan lalu. Kemudian saya diberitahu harga beras mahal, nasi terpaksa dikurangkan untuk mengekalkan harga lama.

Mengejutkan saya lagi: sepinggan nasi (sebenarnya separuh pinggan!), kepala ikan bawal, telur ikan, telur masin, dua kacang bendir dan teh tarik gelas kecil, harganya kurang seringgit RM20. Saya boleh terima sekiranya RM10 atau lebih-lebih RM12, tetapi RM19 untuk hidangan itu adalah terlalu mahal.

Memang keaslian resipinya dikekalkan, dan berbaloi memandu dari KL untuk menikmatinya. Tetapi harganya yang melambung itu membuatkan saya berfikir dua kali untuk singgah di situ lain kali. Apa sudah jadi dengan gerai kegemaran saya ini?

Rupa-rupanya bukan nasi kandar sahaja yang naik harga. Sebelah malam saya ke Gurney Drive untuk menikmati beraneka makanan Pulau Pinang di situ. Setengah jam masa terbuang hanya untuk mendapat ruang letek kereta. Akhirnya dapat satu, itu pun di tempat yang bertanda ‘No Parking’. Saya bersedia untuk menerima saman.

Seperti biasa saya ke gerai pasembur (di KL dipanggil rojak). Mamak penjual makanan itu masih mesra seperti biasa, menjeritkan jualannya kepada setiap yang melintasi gerainya. “Apa khabar, bang. Lama tak nampak, tapi handsome macam dulu!” Saya tidak percaya dia mengenali saya, mungkin kata-kata itu dijeritkan kepada semua yang berkunjung di gerainya. Tidak ada masalah bagi saya, sebab itu adalah tanda kemesraan.

Sepotong sotong sebesar dua jari, sekeping tahu dan sebuku kentang rebus, dan saya memberitahu mamak “bubuh kuah lebih!” Percaya atau tidak, harganya RM7. Tujuh ringgit! Di pasar malam Kampung Medan atau di Kelana Jaya rojak sebegitu paling-paling RM5. Memanglah ramai pelancong Mat Salleh makan di situ, tetapi janganlah samakan saya dengan si hidung tinggi itu!

Saya memesan ‘char kuetiaw’ bungkus untuk dibawa pulang ke hotel. Harganya RM4, kira OK. Tetapi apabila tiba di hotel dan membuka bungkusan, barulah saya sedar, bukan OK tetapi KO. Macam tidak percaya isi bungkusan itu terlalu sedikit, tidak sampai empat kali suap! Rasanya memang sedap, tetapi harganya...

Kali terakhir saya ke Pulau Pinang sebelum puasa dulu, harga makanan masih boleh dikira OK. Tetapi dua hari lalu kenaikan harga betul-betul mengejutkan. Apakah harga melambung sebab kita masih dalam suasana hari raya? Atau, apakah ini akibat kenaikan petrol?

Atau, apakah Malaysia semakin makmur dan mewah maka peniaga menaikkan harga? Kalau tanya Nabil si Raja Lawak itu mesti dia kata “Lu fikirlah sendiri!”. Bagi rakyat biasa ini adalah sesuatu yang menyedihkan. Percayalah, kenaikan harga yang melampau bukan perkara lawak!

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]