Tuesday, September 7, 2010

MESTI BACA : TAK PERASAN ATAU BUAT-BUAT TAK PERASAN.

Yang kita tak perasan — Loyar Muda
September 06, 2010

6 SEPT — Isu rasis semakin hangat dan menjadi bahan berita bagi setiap media. Tidak kira cetak atau elektronik, semua berlumba-lumba untuk meletakkan isu rasis sebagai santapan utama para pembaca. Ironinya ia terjadi sewaktu negara kita menyambut kemerdekaan yang ke-53. Sungguh menyedihkan apabila isu ini bukan sahaja berpenyakit di kalangan ahli politik tetapi sudah menular hingga ke akar umbi. Baiklah, cukup saya berbasa-basi di sini. Mari kita pergi ke isu yang utama.

Pertubuhan politik mahupun bukan kerajaan begitu lantang mempertahankan perkara 153 Persekutuan Perlembagaan yang memperuntukkan kedudukan istimewa Melayu dan penduduk asli Sabah dan Sarawak (oklah “hak istimewa” lagi sesuai). Ia turut dijaga oleh Perkara 159(5) yang memperuntukkan izin Majlis Raja-Raja sekiranya perkara 153 mahu dipinda atau digubal. Ditambah lagi dengan peruntukan dalam akta hasutan seksyen 3 (f) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan “A seditious tendency is a tendency to question any matter, right, status, position, privilege, sovereignty or prerogative established or protected by the provisions of Part III of the Federal Constitution or Article 152, 153 or 181 of the Federal Constitution.”

Justeru, barangsiapa yang cuba mempertikaikan apa-apa persoalan berkaitan perkara 153 mempunyai potensi untuk disabitkan kesalahan dalam Akta Hasutan.

1) Yang kita tak perasan:

Bukan sahaja Perkara 153 yang dijaga oleh Perkara 159(5) dan seksyen 3(f) Akta Hasutan 1948 tetapi juga Bahagian 3 Perlembagaan Persekutuan. Apakah Bahagian 3 itu? Pernahkah ada mana-mana ahli politik memberitahu hal ini?

Bahagian 3 Perlembagaan Persekutuan adalah berkaitan soal kerakyatan. Citizenship.

Nah, di sini sudah terserlah keseimbangan yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan. Sesungguhnya kontrak sosial yang berteraskan kedudukan istimewa Melayu dan prinsip kerakyatan Jus Soli telah dijamin dalam perkara 159(5) yang memperuntukkan “A law making an amendment to Clause (4) of Article 10, any law passed thereunder, the provisions of Part III, Article 38, 63 (4), 70, 71 (1), 72 (4), 152, or 153 or to this Clause shall not be passed without the consent of the Conference of Rulers.” Maka di sini jelas bahawa bukan sahaja kedudukan istimewa dipelihara tetapi juga soal kerakyatan berdasarkan prinsip jus soli turut dipelihara dalam Perlembagaan Persekutuan.

2) Yang kita tak perasan:

Seskyen 3(f) Akta Hasutan bukan sahaja memperuntukkan tiada sesiapa yang boleh mempertikaikan atau mempersoalkan apa-apa isu berkaitan Perkara 153 tetapi juga memperuntukkan tiada sesiapa pun yang boleh mempertikaikan atau mempersoalkan apa-apa isu berkaitan Bahagian 3 Perlembagaan Persekutuan yakni kerakyatan.

Justeru, mari kita melihat secara saksama: kalau mempertikaikan isu 30% ekuiti bumiputera dalam sektor ekonomi mempunyai potensi hasutan maka sesiapa yang menyuruh orang bukan melayu pulang ke negara masing-masing perlu dilihat termasuk dalam potensi hasutan yang termaktub dalam seksyen 3(f) Akta Hasutan 1948.

Kalau sesiapa yang cuba mempertikaikan perkara 153 perlu dimasukkan ke dalam ISA maka sesiapa yang cuba mempertikaikan Bahagian 3 Perlembagaan Persekutuan juga perlu dimasukkan ke dalam ISA. Ini kerana sudah jelas menyuruh atau menghalau orang bukan Melayu supaya pulang ke negara masing-masing bererti menafikan hak kerakyatan mereka di negara ini yang telah dijaga, dipelihara oleh Perlembagaan Persekutuan sejak 53 tahun yang lepas.

Bahkan mempersoalkan relevan atau tidak sekolah vernakular juga boleh tersenarai sebagai hasutan sepertimana yang termaktub dalam seksyen 3(e) Akta Hasutan 1948 “to promote feelings of ill will and hostility between different races or classes of the population of Malaysia”. Sila rujuk juga Melan Abdullah v Public Prosecutor [1971] 2 MLJ 280 dan PP v Mark Koding [1982].

Kesimpulan: Sila tutup isu ini. Sekali lagi dimohon: Sila tutup isu ini. Jangan lagi membuka atau cuba menyemarakkan lagi isu perkauman. Apa yang cuba saya nyatakan di atas adalah prinsip keadilan dalam membincangkan isu kontrak sosial yang sudah dipelihara dalam Perlembagaan Persekutuan bahkan dalam Al-Quran sudah menjelaskan “Janganlah kebencian kamu ke atas sesuatu kaum menyebabkan kamu berlaku tidak adil. Berlaku adillah, sesungguhnya adil itu lebih dekat dengan taqwa.”

Semua rakyat Malaysia baik ahli politik mahupun kakitangan awam, siswa dan pelajar di bangku sekolah tidak perlu mengapi-apikan lagi isu ini. Jika tidak, kita semua berpotensi untuk didakwa bawah Akta Hasutan.

3) Yang kita tak perasan:

Isu ini hangat diceritakan oleh dua komponen parti BN — MCA dan Umno. Sejak kebelakangan ini kedua-dua pemimpin dari parti tersebut saling bertikam lidah dan mengapikan suasana dengan isu perkauman. Sesungguhnya inilah yang ditunggu oleh Pakatan Rakyat yang tanpa perlu berbuat apa-apa telah menunjukkan kepada rakyat parti mana yang sudah tidak relevan lagi, parti mana yang lebih suka bercakaran tentang isu-isu sebegini dan parti mana yang melaungkan slogan supaya bersatu tanpa mengira kaum tetapi wakil rakyat mereka sendiri yang bergaduh tanpa mengira kaum.

Pergaduhan sesama sendiri inilah yang telah melemahkan parti BN sendiri dan tidaklah mahu saya mengulas lanjut kerana ahli BN sendiri sudah bersuara akan isu ini.

(Rujuk di sini)

Daripada terus bertelagah akan hal ini, bukankah lebih baik mereka fokus dan lebih peka akan isu-isu semasa terutama isu kebajikan, suara siswa dan sebagainya? Kalau susah nak cari saya syorkan dua perkara ini untuk diselesaikan:

i) Masalah kerakyatan (rujuk di sini)

ii) isu kemiskinan (rujuk di sini)

Jika isu ini terus didendangkan oleh ahli politik Malaysia maka janganlah mengharapkan bahawa pentas politik kita akan mengecap tahap kematangan dan dimensi baru. Mungkinkah kita memerlukan parti lain untuk memerintah Malaysia? Atau mengharapkan parti yang sedia ada memerintah untuk berubah? Setiap undi rakyat adalah bermakna.

Kalau terus memalu irama yang salah maka rakyat akan jadi bosan dan pergi mencari paluan irama yang sesuai dengan kehendak mereka.

Yang kita tak perasan:

Pilihanraya nak dekat. Ahli politik tak sedar. Rakyat kuasa sebenar!

* Loyar Muda ialah nama samaran seorang pembaca The Malaysian Insider.

* This is the personal opinion of the writer or publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified.

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]