Tuesday, September 21, 2010

PRU 13 : PERIBADI DAN PRESTASI CALON: MANA TUMPUAN PENGUNDI?

Prestasi, peribadi calon jadi tumpuan


Rekod cemerlang kerajaan sukarkan pembangkang cari isu lawan wakil BN

PENGUMUMAN pembubaran Parlimen Ke-11 oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam menamatkan teka-teki sejak beberapa bulan lalu mengenai bila Pilihan Raya Umum Ke-12 diadakan walaupun tempoh Parlimen sekarang hanya akan berakhir pada 16 Mei 2009. Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan pengundian hendaklah diadakan dalam masa 60 hari selepas tarikh pembubaran Parlimen, tetapi berdasarkan beberapa pilihan raya umum sebelum ini, hari penamaan calon dan mengundi dilakukan dalam tempoh antara dua hingga tiga minggu selepas pembubaran.

Parlimen kesembilan misalnya dibubarkan pada 11 November 1999 dengan pengundian diadakan 18 hari selepas itu iaitu pada 29 November, manakala Parlimen Ke-10 dibubar pada 3 Mac 2004 dan pengundian pada 21 Mac 2004, juga dalam tempoh 17 hari. Justeru, tidak salah jika ramai meramalkan hari mengundi pada pilihan raya kali ini jatuh pada akhir bulan ini atau minggu pertama bulan depan. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat hari ini untuk menetapkan tarikh pencalonan dan hari pengundian.

Apa pun, rakyat sekali lagi diberi peluang untuk menggunakan hak bagi memilih kerajaan yang mereka yakini mampu memberi perkhidmatan terbaik kepada mereka. Sementara parti pemerintah menjadikan pilihan raya sebagai landasan untuk mendapatkan mandat baru untuk meneruskan segala program yang dirancangnya sebelum ini, parti pembangkang pula sekali lagi akan mencuba nasib dengan menawarkan pilihan kepada rakyat dengan pelbagai janji.

Sebanyak 222 kerusi Parlimen termasuk tiga kerusi baru di Sarawak dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (kecuali di Sarawak) akan dipertandingkan kali ini. Sebelum Parlimen dibubarkan, Barisan Nasional (BN) menguasai 199 kerusi di Dewan Rakyat, manakala pembangkang 20 kerusi dengan 12 dimiliki DAP, enam Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta Bebas masing-masing satu kerusi.

Kemenangan BN pada pilihan raya umum lalu mencatat sejarah apabila ia berjaya menguasai lebih 90 peratus kerusi Parlimen dan menubuhkan kerajaan dengan mandat besar di semua negeri kecuali Kelantan, tetapi berjaya menafikan majoriti dua pertiga kerajaan Pas di negeri itu. Lebih manis lagi, kemenangan itu dicatat selepas empat bulan Abdullah menjadi Perdana Menteri menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kemenangan besar seperti itu bukan asing kepada parti pemerintah setiap kali ia mendapat pemimpin baru. Sejarah pilihan raya umum di negara ini menunjukkan BN mencatat kemenangan besar setiap kali selepas ia berubah pucuk pimpinan iaitu pada 1976 di bawah pimpinan Allahyarham Tun Abdul Razak; Allahyarham Tun Hussein Onn pada Pilihan Raya Umum 1978 dan ketika BN mula dipimpin oleh Dr Mahathir pada 1982.

Cuma jumlah kerusi yang dipertandingkan dan yang dimenangi parti pemerintah ketika itu tidak sebesar ketika Abdullah mula menerajui BN empat tahun lalu. Kerana itu, bukan sesuatu luar biasa jika BN tidak dapat mengekalkan rekod 2004 pada pilihan raya kali ini terutama ketika ekonomi global tidak begitu memberangsangkan yang kesannya turut dirasai oleh rakyat negara ini.

Malah, Abdullah sendiri sebelum ini dilaporkan berkata harapan BN pada pilihan raya umum kali ini akan lebih realistik berdasarkan keadaan semasa. Ketika ditanya semalam apakah BN dapat mengulangi kejayaan besar Pilihan Raya Umum 2004, beliau berkata: “Entahlah, saya ingat 2004 itu rekod istimewa. Kita harap akan mendapat sokongan yang besar, sekurang-kurangnya dua pertiga, insya-Allah.”

Walaupun sukar untuk mengekalkan rekod 2004, tidak ramai menafikan bahawa BN tidak menghadapi masalah untuk sekali lagi membentuk kerajaan dengan majoriti dua pertiga termasuk di Terengganu. Malah, jika dilihat pencapaian luar biasa BN di Kelantan pada 2004, pilihan raya umum kali ini adalah peluang terbaik bagi BN untuk merampas semula negeri itu.

Pas, selaku parti pembangkang terbesar, tidak yakin dapat menafikan majoriti dua pertiga BN, tetapi hanya mahu mengurangkan majoriti itu. Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, semalam berkata Pas dan sekutunya, PKR mahu memastikan majoriti dua pertiga BN dapat dikurangkan.

Beliau berkata, Pas akan berusaha untuk menang sekurang-kurangnya 40 daripada 60 kerusi Parlimen yang akan ditandingi kali ini. Parti itu juga akan bertanding di lebih 200 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) serta yakin dapat mempertahankan Kelantan.

Memang perlu diakui bahawa majoriti rakyat negara ini terutama di luar bandar masih menaruh kepercayaan kepada BN untuk terus memerintah negara. Jika mereka berjauh hati dengan parti yang mereka sokong, faktornya bukan kerana dasar parti tetapi lebih kepada prestasi wakil rakyat, peribadi calon dan isu setempat.

Politik Melayu, khususnya politik Umno-Pas lebih bersifat kedaerahan. Kerana itu, dalam setiap pilihan raya, faktor tempatan lebih menonjol daripada faktor lain. Soal dasar Kerajaan Pusat, dasar luar negara, ekonomi dan sebagainya tidak begitu memberi kesan kepada keputusan pilihan raya. Sering kali yang menjadi bahan berkempen dan menarik minat pengundi ialah perkara yang membabitkan peribadi calon, kepemimpinan negeri dan janji kerajaan negeri untuk rakyatnya. Inilah yang berlaku kepada BN di Terengganu pada Pilihan Raya Umum 1999 dan kemudian menimpa Pas pada 2004.

Orang Melayu mudah dilembutkan hatinya jika pemimpin mereka tidak sombong, angkuh dan suka berbohong. Mereka tidak merajuk atau marah jika projek yang dijanjikan tidak dipenuhi asalkan alasannya munasabah, tetapi mereka marah jika pemimpin mereka berhidung tinggi dan angkuh. Rakyat di kampung lebih rapat dengan institusi kampung seperti imam, penghulu, ketua kampung dan pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung. Cakap mereka lebih diterima daripada cakap Menteri Besar atau wakil rakyat. Mereka mungkin mengangguk kepala dan tertawa mendengar pidato pemimpin politik, tetapi jangan sekali mereka dianggap tidak boleh berfikir dan menilai yang mana benar dan yang mana bohong.

Justeru, faktor calon amat penting dalam pilihan raya umum kali ini sama ada bagi parti pemerintah atau pembangkang sendiri kerana semakin ramai pemilih di kalangan pengundi muda yang berpendidikan. Harapan mereka kepada wakil rakyat kini bukan sekadar seorang yang suka melawat kematian dan kenduri kahwin, tetapi yang mampu menyuarakan pandangan secara bernas di Parlimen atau DUN. Dalam erti kata lain, calon yang bakal memenangi pilihan raya kali ini selain berperibadi tinggi, boleh berkhidmat di kawasan masing-masing, juga mesti mempunyai tahap keintelektualan yang dihormati oleh pengundi. Zaman membuat lawak bodoh atau memaki hamun di dewan persidangan sudah berlalu.

Hakikat ini disedari oleh semua parti politik dan kerana itu, sehingga hari penamaan calon nanti, pemilihan calon menjadi perhatian utama. Pembangkang sebenarnya ketiadaan isu besar pada pilihan raya umum kali ini kecuali kenaikan harga barang yang berupa fenomena global dan peningkatan kadar jenayah yang sedang ditangani polis dengan pelbagai kaedah baru.

Pelancaran lima koridor pembangunan jangka panjang di seluruh negara, sistem penyampaian awam lebih baik, kedudukan ekonomi lebih memberangsangkan dan kesediaan kerajaan mengembalikan semula kewibawaan beberapa institusi penting termasuk kehakiman adalah antara janji BN dalam manifesto pilihan raya umum lalu. Sementara ada perkara yang kesannya boleh dilihat sekarang seperti ‘pembangunan paling pesat di Terengganu’, ada juga langkah kerajaan yang memerlukan masa bagi membuahkan hasil.

Kerana itu, tidak ramai yang akan terkejut jika pembangkang, seperti pada pilihan raya sebelum ini, akan menumpukan kepada serangan peribadi dan memainkan isu lama. Pas sedar, walaupun ia tidak mungkin dapat dijatuhkan, undi popularnya mungkin akan merosot di Kelantan dan sukar untuk menafikan majoriti dua pertiga BN di Terengganu.

Pas terpaksa mencari isu lain bagi menghangatkan kempennya dan peribadi serta prestasi calon lawan mungkin satu daripadanya. Seperti biasa Pas sanggup memutarbelitkan apa saja isu untuk kepentingannya. Maka tidak hairanlah jika parti itu nanti sanggup mengatur kempen seluruh negara untuk menghentam Umno dan menuduh Umno mahu membuang Islam sedangkan isu sebenarnya Umno mahu menyelamatkan umat Islam daripada dipesong akidahnya oleh dakyah politik Pas melalui pendekatan Islam Hadhari.

Oleh Manja Ismail

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]