Beginilah jadinya apabila rakyat sudah hilang kepercayaan kepada kerajaan negeri, di Pulau Pinang kira-kira 1,000 lagi warga emas dijangka memulangkan semula wang ehsan RM100 yang diterima selepas curiga dengan sumber wang yang mungkin datang dari kegiatan perjudian.

Ketua Pemuda Umno negeri Norman Zahalan berkata kebanyakan daripada warga emas berkenaan kecewa kerana wang ehsan yang diperolehi itu datang daripada Kelab Lumba Kuda Pulau
Pinang.

Menurutnya, pengakuan Ketua Menteri Lim Guan Eng sendiri sebelum ini telah menyebabkan lebih ramai lagi warga emas akan berbuat demikian dalam masa yang terdekat kerana mereka tidak sanggup menggunakan wang dari sumber haram.

"Kami menjangkakan lebih kurang 1,000 warga emas lagi akan memulangkan wang ehsan tersebut kepada Umno Bahagian masing-masing," katanya.

Bernama melaporkan,
Norman berkata Umno tidak memaksa mereka untuk memulangkan wang ehsan tersebut, sebaliknya warga emas berkenaan bertindak atas kerelaan hati.

"Kami tidak memaksa mereka tetapi mereka tidak sanggup guna wang sumbangan yang berasal dari sumber haram," katanya yang menjawab dakwaan kerajaan negeri bahawa warga emas itu dipaksa untuk mengembalikan wang ehsan mereka.

Norman berkata pemuda Umno negeri akan mengumpulkan kesemua wang itu dan akan mengembalikan wang itu secara rasmi kepada kerajaan negeri tidak lama lagi.

Katanya, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Abdul Malik Abdul Kassim seharusnya meletak jawatannya kerana gagal memaklumkan orang ramai sebelum mengagihkan dana itu.

"Sebagai Exco Agama yang beragama Islam, Abdul Malik gagal menunaikan tanggungjawabnya dan oleh itu beliau tidak layak memegang jawatan itu," katanya.

Media baru-baru ini, melaporkan Pemuda UMNO negeri mendakwa kerajaan negeri menggunakan sumbangan sebuah syarikat perjudian sebagai wang ehsan kepada warga emas negeri itu.

Dakwaan itu berdasarkan sepucuk
surat yang dikeluarkan Pejabat Ketua Menteri kepada Pengurus Besar Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang, berhubung baki sumbangan cek bernilai RM500,000 untuk program tersebut. -5/10/2010