Oleh Yoges Palaniappan October 02, 2010 GEORGE TOWN, 2 Okt — Sekitar 50 orang warga emas di kawasan Bayan Baru memulangkan wang ihsan RM100 yang diterima daripada kerajaan negeri Pulau Pinang atas alasan mendakwa pembayaran itu bersumberkan wang judi. Mereka memulangkan wang diterima masing-masing kepada Ketua Umno Bayan Baru Datuk Abdul Rahim Saibu pada satu majlis ringkas di pejabatnya hari ini. Pembantu khas Ahli Parlimen Bayan Baru Datuk Zahrain Hashim, Ismail Abdul Ali juga antara mereka yang memulangkan wang hari ini. Zahrain meninggalkan PKR, parti komponen Pakatan Rakyat awal tahun ini dan bertindak sebagai wakil rakyat Bebas. Dia memulangkan RM1,000 yang dibayar kepada keluarga wasiat ekoran kematian ibunya Julai lalu. Ismail berkata beliau berterima kasih kepada Umno yang menimbulkan perkara itu baru-baru ini. “Saya tidak mahu duit ini. Saya menggesa (Exco) Abdul Malik tidak memainkan isu ini meskipun saya adalah pembantu khas kepada Ahli Parlimen Zahrain,” kata Ismail merujuk kepada Exco Kerajaan Negeri Abdul Malik Kassim yang mempertahankan dana wang ihsan bukan daripada hasil aktiviti judi. Seorang warg emas Habsah Saib, 81, berkata dia mengubah fikiran untuk memulangkan wang ihsan selepas mendapati ia datang daripada sumber-sumber yang tidak halal. “Saya boleh bayar wang ini sekarang ketika saya masih hidup, tetapi tidak berupaya untuk buat apa-apa apabila saya sudah mati. Saya tidak mahu wang ini,” katanya lagi. “Saya bersama dengan Umno selama 53 tahun, saya tidak pernah dengar mereka lakukan begini,” katanya. Abdul Rahim berkata warga emas terbabit rasa terganggu selepas mendapati wang ihsan datang daripada sumber-sumber judi. Beliau menambah, pemimpin-pemimpin Umno bahagian akan berbincang dengan kepimpinan Umno sebelum menentukan tindakan susulan. “Kami mungkin akan memberikannya sebagai derma atau kepada kuil-kuil, tetapi apa pun duit itu tidak boleh diberikan kepada orang Islam, kita perlu beri kepada kafir,” katanya. Ketua Umno Taman Brown Datuk Hamid Araby Md Salih berkata, umat Islam di negeri itu tidak akan menerima wang ihsan jika tahu bahawa ia datang daripada sumber hasil judi. “Exco agama Malik tidak berguna dan harus meletakkan jawatan... beliau telah membohongi rakyat tetapi tidak boleh menipu Allah,” katanya. “Saya mencabar kerajaan negeri menghentikan aktiviti ini dengan segera,” katanya lagi. Ini kali ketiga majlis seumpama diadakan oleh pemimpin Umno. Dalam laporan pagi tadi, sambil menafikan Umno Pulau Pinang bersandiwara, setiausahanya menyifatkan Sekretariat Pemuda Pakatan Rakyat negeri itu sebagai “bodoh tidak bertempat” apabila mencabar kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Umno memulangkan gaji dan elaun wakil rakyat kerana terus-menerus mempertikaikan ‘kesucian’ wang ihsan. Datuk Azhar Ibrahim juga mendakwa pihaknya tidak pernah mendesak warga emas di Pulau Pinang agar memulangkan wang ihsan RM100 yang diterima mereka ekoran dakwaan Umno bahawa dananya bersumberkan hasil judi. “Mereka (Sekretariat Pemuda Pakatan Rakyat Pulau Pinang) ini tidak tahu pucuk pangkal, sebab itu pakai cakap sahaja. ”Apa yang kita bangkitkan adalah isu tabung wang ihsan bukan soal gaji wakil rakyat, mereka ini bodoh tidak bertempat. “Kalau nak cabar kita pulangkan gaji dan elaun bagaimana dengan kakitangan awam di negeri ini? Bukankah mereka juga patut pulangkan wang itu?,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider. ADUN Penaga itu juga berkata, pihaknya tidak pernah mendesak warga emas di negeri itu untuk memulangkan semula wang ihsan tersebut. Tambahnya, semalam sembilan orang warga emas telah memulangkan wang ihsan tersebut di Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Penaga. Dakwaan kerajaan negeri menggunakan sumber dari punca judi bagi menghargai warga emas melalui pemberian wang ihsan RM100 dan juga program miskin tegar telah dibangkitkan oleh Ketua Pemuda Umno Kepala Batas Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang juga Ketua Penerangan Umno pusat pertengahan bulan lau. Kerajaan negeri juga didakwa menggunakan wang dari dana Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang sebagai sumber kepada pemberian wang penghargaan tersebut. Di sebalik dakwaan tersebut Ketua Menteri, Lim Guan Eng semasa bercakap kepada media pada 25 September di Teluk Air Tawar, turut menyifatkan dakwaan tersebut sebagai satu fitnah dan pembohongan yang cuba ditimbulkan oleh Umno di Pulau Pinang./td> |
Sunday, October 3, 2010
50 warga emas Bayan Baru pulangkan wang ihsan RM100
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
KIRIM PESANAN ANDA
No comments:
Post a Comment