olitik Baru? Dongengan atau Politik Utopia? Tadi pagi (28/2) saya berkesempatan menghadiri satu program yang dianjurkan oleh Youth Centre for Political Education. Dalam program yang bertemakan 'Menuju Politik Baru' - persoalan sekitar 'Politik Baru' dan 'Suara Rakyat' telah dikupas dan didiskusikan. Ada beberapa perkara yang bagi saya menarik untuk dicatat kembali dalam entri blog ini. Ucaptama untuk program tersebut telah disampaikan oleh Datuk Zaid Ibrahim. Dalam ucaptamanya yang bertajuk 'Membina Politik Baru', beliau cuba mengupas perihal beberapa perkara tentang politik baru. Secara dasarnya, beliau cuba menyatakan bahawa, politik yang dijana oleh Pakatan Rakyat ialah politik Baru, kerana cara dan sistem yang cuba dibawa sangat berbeza dengan cara politik lama(baca: Politik ala Barisan Nasional). Kata beliau, dalam konteks politik baru yang cuba dibawa oleh Pakatan Rakyat - apa yang cuba diketengahkan ialah kehendak rakyat itu sendiri. Dan lebih penting, dalam konteks ini, kata beliau, politik baru ialah politik yang menjadikan perlembagaan sebagai asas pergerakan, sebagai asas tatanegara. Dalam konteks ini, perlembagaan negara menjadi kerangka utama. Politik baru membawa paradigma yang lebih segar, kata beliau, dalam erti kata tidak lagi digerakkan oleh politik perkauman. Sebarang isu yang timbul, seperti kalimah 'Allah' misalnya seharusnya disorot dalam konteks yang betul, tanpa dilihat dalam momokan 'Barisan Nasional' yang kelihatannya lebih suka mengemukakan isu untuk menimbulkan huru hara dan ketakutan masyarakat Melayu. Secara peribadi, saya tidak begitu jelas dengan apakah inti sebenar yang mahu disampaikan oleh beliau. Malah, saya cenderung untuk menyatakan politik baru, jika diinterpretasikan daripada ucapan beliau, hanyalah satu lagi politik yang dipakaikan baju baru, yakni baju Pakatan Rakyat, dan dipropagandakan oleh lidah baru, yakni lidah pakatan Rakyat juga. Lebih-lebih lagi apabila beliau menyatakan pentingnya PAS dilihat sebagai satu parti yang mewakili kepentingan kaum Melayu itu sendiri. Hal ini menurut beliau sangat penting supaya imej 'penjaga Melayu(istilah saya sendiri)' yang kini cukup sinonim dengan UMNO, boleh menjadi milik PAS. Dalam erti kata yang lain, jika benar Pakatan Rakyat mahu mengambil alih Malaysia dalam pilihanraya yang akan datang - PAS mesti mempunyai imej yang boleh meyakinkan masyarakat Melayu. Dalam konteks hujah beliau inilah, saya rasa dan saya yakin, sebenarnya tidak ada politik baru. Yang ada, ialah 'baju' dan 'lidah' baru. Menafikan kepentingan isu perkauman dalam proses demokrasi di negara ini, lebih-lebih lagi dalam konteks parti, bagi saya adalah satu perkara yang hanya dilakukan oleh politikus yang tidak mahu menjejakkan kaki ke dunia politik yang sebenarnya. Dan itulah yang cuba dilakukan oleh Datuk Zaid dalam ucapannya, dan itulah juga yang menjadi ciri penting dalam ucapan-ucapan kebanyakan pemimpin utama Pakatan Rakyat. Bagi saya, dalam konteks politik negara kita, menyedari peranan kotak-kotak kaum, adalah sangat penting. Dan perkara ini kelihatannya sangat difahami oleh para pemimpin dan aktivitis masyarakat Cina. Kita lihat, 'seliberal' manapun masyarakat Cina, sama ada dalam konteks Pro1malaysia, atau proSuara Rakyat - mereka mempunyai sempadan yang jelas. Mereka akan cukup terbuka dan menggesa beberapa isu, yang kelihatannya disebut dengan jelas dalam perlembagaan yang menyentuh isu-isu keistimewaan orang Melayu misalnya, tetapi dalam masa yang sama, menjadi sangat tertutup dan chauvinistik - apabila kepentingan masyarakat Cina, misalnya isu aliran vernakular, dalam konteks ini, Sekolah Kebangsaan Jenis Cina cuba diperkatakan atau cuba disentuh. Begitu juga dalam konteks ekonomi, yang dalam beberapa perkara, mereka melihat mereka dianaktirikan, didiskriminasikan - tetapi pada masa yang sama, jika disenaraikan orang terkaya di Malaysia sendiri misalnya, berapalah sangat nama-nama Melayu atau mamak atau Islam. Malah, saya yakin, jika ada pihak yang sanggup melakukan kajian empiris dan kritis terhadap kaum yang paling banyak mengaut keuntungan daripada DEB misalnya - masyarakat Cinalah yang paling banyak mengautnya. Namun, dalam konteks ini, kelihatannya masyarakat Cina yang mengaut keuntungan itu sedar akan diri mereka, lalu sebahagian pendapatan mereka dialirkan kembali ke persatuan-persatuan Cina, dan digunakan untuk mengawal kebebasan media Cina - dan tentunya perkara itu dibuat demi menjaga kelangsungan mereka sendiri, khususnya dalam bidang-bidang seni, ekonomi, kebudayaan, dan pendidikan kaum Cina. Hal ini tidak pula dilakukan oleh kebanyakan elit Melayu yang mengaut laba tersebut, malah mereka kita lihat bercakap seolah-olah jaguh ekonomi, atau lebih tepat lagi contoh model 'taikun' Melayu yang berjaya atas kemandirian dan kebijaksanaan dalam mengatur perniagaan. Mereka menghentam budaya 'subsidi', menuntut liberalisme sepenuhnya, tetapi mereka lupa pula untuk melihat diri sendiri, yang selama ini hidup hasil budaya menjilat dan pelbagai budaya kotor yang lain, demi menjamin kelangsungan mereka. Golongan elit Melayu inilah sebenarnya yang banyak sekali makan subsidi. Dan kelihatannya, mereka ini mewariskan kefahaman yang sama, kepada anak-anak mereka, yang sebenarnya dibesarkan hasil pendapatan mewah 'subsidi' tadi, dan anak-anak subsidi inilah yang banyak sekali dilihat dalam Pakatan Rakyat, khususnya Keadilan, bercakap dalam nada menuntut pembaharuan, lebih fasih dan mengutamakan bahasa Inggeris, dan melihat hal-hal yang melingkari Melayu misalnya, hanya sebelah mata. Selepas Datuk Zaid Ibrahim menyampaikan ucapan - forum diteruskan lagi dengan sesi seterusnya, yakni Kuasa Rakyat. Penting untuk diungkapkan di sini pendapat SM Zakir yang melihat politik baru ialah sejenis dongeng sahaja. Jadi, jika mahu dibaca dengan lebih jelas, nyata politik baru ini nilainya sama sahaja dengan cerita-cerita hikayat, cerita Sri Rama, yang tidak pun berpijak pada realiti dan kebenaran. Beliau melihat, pentingnya untuk melihat realiti sebenar yang berlaku dalam konteks negara, dan melihat isu-isu yang timbul dalam negara, harus dinilai dan ditafsirkan berdasarkan konteks tempatan. Malah, SM Zakir berhujah, perkembangan yang berlaku dalam lanskap politik, sebenarnya tidak memberikan suasana yang lebih sihat kepada masyarakat Melayu. Di sini, beliau melihat, apa yang cuba dilakukan oleh Pakatan Rakyat seolah-olah mahu mengurangkan 'status quo' masyarakat Melayu, tetapi dalam masa yang sama, tidak pula cuba mahu 'mengritis' 'status quo' masyarakat lain, seperti masyarakat Cina misalnya. Kebanyakan pemimpin Pakatan Rakyat, kelihatannya mempersoalkan beberapa peruntukan perlembagaan yang menyentuh hak-hak keistimewaan masyarakat Melayu, tetapi tidak berani pula mempersoalkan isu-isu budaya dan sistem pendidikan vernakular. Bagi saya, apa yang cuba dihujahkan oleh SM Zakir mempunyai asas yang kukuh. Dan itulah yang berlaku pun dalam 'politik kepartian' di negara kita. Politik, dan sebarang perubahan yang mahu dilakukan - seolah-olah hanya akan berjaya jika dilaksanakan dalam konteks politik kepartian. Seolah-olah semestinya melalui pemimpin politik, atau politikus, tanpa kita lupa, politikus sendiri perlu mempunyai sikap pragmatik dalam meneruskan kelansungan politik mereka. SM Zakir juga turut menyentuh 'ketidakmampuan' sesetengah pemimpin Pakatan Rakyat, dalam melakukan pengurusan. Beberapa buah bandar yang kini menjadi milik Pakatan Rakyat, seakan-akan tidak terurus, kesesakan yang melampau, dan kotor. Apakah fungsi pemimpin pakatan rakyat di sini? Kita lihat, pemimpin Pakatan Rakyat memang sangat 'bertenaga' dalam menganjurkan program untuk mengutuk kebejatan oposisi mereka, tetapi kelihatannya dalam melaksanakan kerja-kerja untuk kemakmuran rakyat, seperti menyediakan infrastruktur dan suasana hidup yang damai, mereka gagal. Apa yang menarik di sini ialah forum yang diadakan tersebut memberikan ruang dan peluang yang sama kepada pendengar untuk berhujah dan bertanya. Selepas para pendiskusi menyampaikan pendapat mereka, pendapat mereka akan diulas pula oleh para pendengar. Sebagai pendengar, atas peluang yang ada - saya juga mahu tumpang sekaki. Bagi saya, sebenarnya kuasa rakyat dalam sistem politik yang ada juga tidak begitu dipentingkan. Rakyat sebenarnya hanya mempunyai peluang sekali sahaja dalam lima tahun. Selepas mereka menyerahkan 'baton undi' kepada pemimpin - kita lihat, para pemimpin ini berpolitik ikut suka sahaja. Jika itu dinamakan demokrasi, bagi saya itu ialah contoh demokrasi yang gagal akibat keserakahan pemimpin yang tidak jujur dalam merealisasikan kehendak rakyat. Lebih-lebih lagi sikap sesetengah politikus dalam Pakatan Rakyat, yang seolah-olah berfikir, sebarang khidmat yang efektif kepada rakyat, hanya dapat dijayakan setelah Pakatan Rakyat memerintah. Sebarang perubahan, hanya dapat dilaksanakan, apabila Pakatan Rakyat mengambil alih teraju. Dalam konteks ini, saya yakin, pemikiran seperti itu sangat berbahaya. Kerana itu, saya mempersoalkan tindakan PAS yang berbelanjan puluhan juta ringgit semata-mata untuk membangunkan pusat konvokesyen mereka, tetapi lupa kepada keperluan rakyat. Mengapa tidak sahaja kita contohi cara berpolitik Hamas misalnya, yang melihat keperluan rakyat dalam politik mereka. Sebelum mereka menjadi kerajaan, mereka telah pun dekat dengan rakyat, melalui kemudahan-kemudahan yang disediakan, seperti pembinaan klinik untuk rakyat Palestin. Begitu juga dengan Hezbullah di Lubnan. Jadi, apakah perlu PAS menunggu menjadi kerajaan, dan sementara itu mencari seribu satu kesalahan dalam kerajaan yang ada, tetapi melupakan tuntutan kemasyarakatan mereka yang lebih penting, seperti membangunkan klinik-klinik untuk rakyat dengan mengenakan caj yang sangat sederhana dan berpatutan. Begitu juga dengan unit penyelidikan PAS yang sepatutnya mendapat perhatian yang lebih, disuntik dengan dana yang konsisten dan sesuai, serta diwujudkan satu kumpulan pemikir dan pengkaji yang dibayar dengan gaji yang sepatutnya. Saya juga lihat, sepanjang perbincangan, majoriti berhujah seolah-olah 'demokrasi; sebagai salah satu agama, sebagai salah satu rukun kemakmuran. Dalam konteks ini, saya lihat demokrasi itu sendiri lahir di Barat, akibat kegagalan moral masyarakat Barat itu sendiri. Masyarakat Barat dikecewakan oleh sikap raja dan pemuka agama, yang memerintah sesuka hati. Tidak ada autoriti individu di Barat, tidak ada kebenaran, yang ada hanyalah 'apa yang yang disetujui ramai', atau demokrasi - yang mana ditentukan oleh kuantitatif - yang benar ialah yang teramai. Pada hal saya melihat, sejak demokrasi menjadi 'agama baru dunia (baca juga sebagai komunisme dan sosialisme atau 'sistem manusia')' - apakah yang disumbangkan kepada khazanah ketamadunan manusia? Hari ini, apabila kita bercakap tentang seni agung, maka contoh yang paling baik bukanlah contoh yang wujud pada zaman demokrasi. Begitu juga dengan monumen dan kitab-kitab agung - yang lahir waktu masyarakat kita tidak pun mengenal demokrasi itu - lebih-lebih lagi jika kita kaitkan dengan pengalaman sejarah dalam Tamadun Islam. Zaman keagungan dan keemasan Islam, dalam sejarah - bukannya sewaktu demokrasi menjadi asas politik. Malah, zaman kemunduran masyarakat Islam, zaman kacau bilau, dan sebarang gerakan yang dilakukan oleh pembaharu politikus Islam - yang pernah berlaku dalam abad ke 19 dan 20 - telah gagal dalam sistem demokrasi. Cuba bayangkan, kalau Nabi Muhammad S.A.W melakukan dakwahnya dalam sistem demokrasi, apakah Islam akan menjadi 'rahamatan lil a'alamin? Namun, patut ditekankan di sini, bukan pula saya membenci 'demokrasi', kerana demokrasi juga ada beberapa kebaikannya. Malah, sudah tentu bukan diktatorisme yang mahu saya rasionalkan. Apa yang saya cuba ketengahkan, perlunya kita bergerak dalam 'sistem' yang telah pun dibuktikan dalam sejarah kita. Malah, saya melihat, dalam konteks demokrasi di negara kita, yang mana faktor perkauman masih menjadi faktor penting, adalah mustahil sebarang pembaharuan yang cuba dilakukan, akan memberikan keuntungan kepada masyarakat Melayu. Melihat kepada apa yang berlaku, sama ada dalam konteks Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat - yang paling rugi ialah masyarakat Melayu itu sendiri. Ketiadaan beberapa elemen, seperti media yang bebas yang proMelayu, masyarakat yang terkotak-katik dalam parti yang berbeza, dan lesunya persatuan, NGO dan mahasiswa Melayu - menjadikan masyarakat Melayu tidak mempunyai kuasa penawaran (bargaining) yang mencukupi untuk melakukan desakan. Sudahnya, seperti kata pepatah Melayu, yang dikendong berciciran, yang dikejar, tiada kedapatan. Akhirnya, pi mai pimai, tang tu juga. Dan lebih malang lagi, ramai orang yang menaruh harapan dalam politik baru, atau politik utopia dan dongeng ini. posted by lutfi at 5:14 AM |
Sunday, October 17, 2010
DEBAT : ISU POLITIK BARU
Label:
MODEL POLITIK BARU
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
KIRIM PESANAN ANDA
No comments:
Post a Comment