Sunday, October 17, 2010

Masyarakat Melayu Sebagai Kuasa Pendesak


Masyarakat Melayu Sebagai Kuasa Pendesak

Dalam temu bual dengan Abdullah Ahmad yang tersiar dalam Off The Edge, kebetulan beliau ada menyentuh tentang kebimbangan Melayu yang merasa kehilangan kuasa di negara ini. Bagi beliau, kebimbangan tersebut tidak berasas kerana masyarakat Melayu di negara ini menghampiri 60 peratus. Saya pun tidak tahu, entah mengapa, salah seorang 'tokoh Umno Melayu' yang sering dinggap kritis itu, tiba-tiba sahaja memberikan jawapan yang begitu mudah dan 'simple'.

Bagi saya, kebimbangan orang Melayu tentang hal itu mempunyai asas yang kukuh. Dalam konteks sistem demokrasi berpelembagaan, yang mana kerajaan dipilih hasil pungutan suara, yakni pengundian - maka sudah pasti, kebimbangan masyarakat Melayu mempunyai asas yang kuat. Hal ini kerana, biarpun masyarakat Melayu terdiri daripada 60 peratus, namun, mereka hanya betul-betul hebat jika digembleng secara betul dan tepat.

Kita tahu, masyarakat Melayu di negara ini dihinggapi semangat kepartian yang parah. Yang membentuk persepsi mereka ialah orang politik, dan sudah semestinya mereka melihat segalanya dalam kerangka perspektif kepartian. Akibatnya, kalaupun 60 peratus itu ialah angka yang besar, namun hakikatnya, akibat perspektif dan semangat kepartian yang begitu kental, maka mereka terpecah-pecah kepada serpihan yang lebih kecil. Kita ada Melayu Umno, Melayu Keadilan dan Melayu PAS. Malah, menjadi lebih malang kerana, kita tidak ada medium yang boleh mempersatukan suara, khususnya sewaktu pilihanraya berlangung.

Situasi ini berbeza berbanding situasi masyarakat Cina, yang mana, biarpun jumlah mereka lebih kecil, namun mereka mempunyai kuasa pendesak yang lebih kuat akibat mereka mempunyai orientasi politik yang lebih jelas dan munasabah. Ambil sahaja PRU ke-12, yang mana, kemenangan besar terhadap Pakatan Rakyat, ditentukan oleh masyarakat Cina.

Oleh itu, akibat kuasa pendesak yang begitu kuat - kita lihat ada satu trend dalam kalangan politikus dan parti politik - yang begitu memberikan perhatian yang besar terhadap masyarakat Cina. Trend ini bukan sahaja melibatkan Keadilan dan Umno, malah PAS. Hal ini kita boleh lihat dalam ucapan sempena Tahun Baru Cina oleh Mursyidul Am yang lalu. Malah beliau menegaskan, bahawa masyarakat Cina memainkan peranan yang jelas dalam memastikan kemenangan besar oleh Pakatan Rakyat.

Dalam konteks real politik dan amalan politik pragmatis yang menjadi asas operasi politikus di negara kita - mereka tentunya hanya mengikut arus. Jika masyarakat Cina boleh menentukan kemenangan, maka sudah pasti apa sahaja yang boleh menyentuh sensitiviti masyarakat Cina dan kepentingan mereka - akan menjadi satu perkiraan yang besar. Buktinya, lihat sahaja beberapa peristiwa yang begitu mendapat perhatian, misalnya kematian mendiang Beng Hock.

Trend tersebut ternyata merugikan masyarakat Melayu. Biarpun dalam Pakatan Rakyat ditunjangi oleh dua parti yang dianggotai oleh majoriti kaum Melayu, yakni Keadilan dan PAS - namun, akibat kepercaan tersebut, sudah pasti PAS dan Keadilan sendiri mahu mengambil perhatian kaum Cina, memandang mereka juga mahu mengekalkan pengundi Cina yang melakukan swing, agar terus menyokong Pakatan Rakyat. Begitu juga dalam Barisan Nasional yang ditunjangi oleh UMNO. Mereka juga akan mempunyai sikap yang sama, biarpun pelbagai retorik dimainkan.

Bagi saya, hal ini memperlihatkan satu realiti dalam politik moden. Biarpun ada isu-isu idealogi memainkan peranan, namun dalam konteks negara berbilang kaum, kaum yang bersatu dan boleh menjadi pendesak yang kuat - akan dapat menikmati bahagian kek yang lebih besar, birpun masyarakat mereka lebih kecil. Oleh itu, masyarakat Melayu seharusnya mempunyai paradigma baru dalam berpolitik dalam konteks negara ini. Dalam hal ini, bukanlah maksud saya orang Melayu perlu menghindari daripada berpolitik dan terlibat dalam konteks politik kepartian. Penglibatan dalam politik kepartian ada satu hal yang dituntut khususnya dalam negara demokrasi. Namun, penglibatan tersebut harus diimbangi oleh pemikiran yang kritis dan mengelak daripada terlalu fanatik parti.

Maksud saya mereka boleh sahaja menjadi ahli parti UMNO, PAS, Keadilan malah DAP sekalipun. Namun, apabila tibanya waktu pilihanraya, mereka seharusnya mempunyai pandangan yang lebih holistik. Undi mereka tidak semestinya kepada parti mereka. Mereka harus mengundi berdasarkan parti yang akan memberikan perhatian yang istimewa kepada masyarakat Melayu. Untuk itu, kita memerlukan satu paradigma politik yang baru, yang sebenarnya tidak dijana oleh perspektif kepartian.

Namun, untuk sampai ke tahap ini, seperti yang selalu saya tekankan, kita memerlukan satu medium, yang boleh mempersatukan pandangan politik masyarakat Melayu, atau yang mampu mempengaruhi pandangan politik sewaktu pilihanraya. Dalam konteks masyarakat Cina, hal ini dimainkan oleh persatuan mereka yang begitu proaktif dan media Cina yang agresif dan bebas. Pemimpin persatuan mereka sangat lantang dan dihormati dalam masyarakat Cina manakala media Cina sangat jelas dalam memainkan isu yang menyentuh kepentingan mereka.

Soalnya di sini - masyarakat Melayu tidak mempunyai dua medium utama ini. Dahulu kita mungkin ada ABIM, tapi kini kelihatannya ABIM sudah tidak begitu mampu membentuk suara kolektif Melayu. Media kita pula tidak mempunyai kebebasan kerana mewakili parti tertentu, sama ada Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional. Jadi, media kita, sevokal mana pun, akhirnya terkepung oleh perspektif parti.

Bagi saya, inilah cabaran terbesar dalam konteks masyarakat di negara kita. Selagi masyarakat Melayu masih berpolitik dalam paradigma sekarang, kita tidak akan ke mana. Kalaupun kerajaan bertukar, namun, nasib masyarakat Melayu akan kekal sama, tidak berubah akibat mereka gagal menjadi kuasa pendesak, akibat kuasa undi mereka yang terpecah belah dan terfragmentasi. Lihat sahaja kepada masyarakat Melayu di Pulau Pinang, yang mana nasib mereka masih juga sama, biarpun kini DAP telah mengambil alih.

Inilah cabaran terbesar kita, dan orang yang mahu memainkan peranan ini, ternyata amat kurang. Lebih-lebih lagi, masyarakat Muda Melayu, juga tidak mempunyai perspektif ini, akibat mereka juga kelihatan sangat terkepung dengan pandangan kepartian.

Labels: Falsafah Politik
/td>

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]