Sejarah Mata Pelajaran Wajib Lulus Periksa – MuhyiddinKUALA LUMPUR 23 Okt – Mata pelajaran Sejarah kini menjadi mata pelajaran wajib lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013 dalam usaha meningkat jati diri serta kefahaman mengenai pembentukan negara kepada generasi muda.Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelaksanaan mata pelajaran itu mengambil masa berikutan beberapa perkara perlu diselesaikan terlebih dahulu termasuk penyediaan tenaga pengajar. “Kita kena bagi masa sedikit kalau tidak dia terkejut, jadi ini memerlukan tempoh masa untuk kita melatih guru dan juga menyediakan pelajar-pelajar kita untuk menghadapi sistem baru ini,” katanya menggulung perbahasan di Perhimpunan Agung Umno 2010. Menurutnya, pelaksanaan itu dilakukan berikutan terdapatnya gesaan daripada wakil-wakil negeri ketika membahaskan ucapan dasar dan usul pendidikan. “Seperti yang dibangkitkan oleh wakil Perak dan Kedah, di peringkat sekolah rendah, pada masa ini, elemen Sejarah diajar melalui mata pelajaran Kajian Tempatan dan akan membuat penambahbaikan kandungan mata pelajaran Sejarah. “Dengan memberi penekanan terhadap aspek-aspek berkaitan perlembagaan negara, dengan tujuan untuk membentuk kefahaman yang mendalam terhadap pembentukan negara bangsa yang kita cintai ini,” katanya. Berhubung cadangan mengkaji semula sistem peperiksaan di sekolah, Muhyiddin berkata pentafsiran berasaskan sekolah bagi Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang sebelum ini diumumkan mulai 2016, akan dipercepatkan ke tahun 2014. “PMR tidak akan kita teruskan lagi tapi digantikan dengan sistem yang berasaskan sekolah dan ianya akan kita mulakan pada tahun 2014 iaitu dua tahun lebih awal daripada asalnya kerana ada tuntutan daripada tuan-tuan supaya disegerakan. “UPSR (Ujian Pencapaian Sekolah Rendah) pula akan dikekalkan tapi ditambah baikkan dengan cara-cara lebih sesuai mengikut perkembangan masa dan kehendak perkembangan ekonomi kita. Tetapi kita masih perlu ada tempoh masa untuk menyiapkan usaha-usaha untuk melatih semula guru-guru dan sebagainya,” katanya. Sementara itu, Muhyiddin berkata kementerian itu juga akan menyalurkan peruntukan sebanyak RM10 juta bagi membiayai aktiviti-aktiviti Yayasan Guru Malaysia Berhad untuk kebajikan guru-guru. “Tadi ada wakil daripada Sabah yang telah membangkitkan yayasan ini yang dikatakan tidak memberikan apa-apa insentif ataupun dividen, saya telah pun mengemukakan perkara ini kepada Perdana Menteri sebentar tadi supaya satu suntikan dana dapat diberikan dan setuju supaya peruntukan sebanyak RM10 juta diberikan kepada yayasan ini,” katanya. Selain itu, Yayasan Guru Tun Hussein Onn, yayasan yang menjaga kebajikan guru telah diluluskan oleh Kabinet dengan peruntukkan kewangan sebanyak RM200 juta. -MediaUMNO |
Sunday, October 24, 2010
KEMBALIKAN SEMANGAT PATRIOTISME ......
Label:
PAU 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
KIRIM PESANAN ANDA
No comments:
Post a Comment