Pelajar di Malaysia menghabiskan masa pada purata 3.8 jam sehari untuk membuat kerja rumah dan perkara itu hanya membazirkan masa, menurut sekumpulan pengetua dan penyelidik Australia.

Mereka menyatakan kerja rumah patut dikecualikan bagi kanak-kanak sehingga Tahun 9, kerana ia menjejaskan zaman kanak-kanak, menyebabkan pertengkaran dalam keluarga dan tidak meningkatkan pencapaian pendidikan mereka.

Itu merupakan pendapat ahli psikologi remaja Michael Carr-Gregg dan beliau disokong oleh Persatuan Pengetua-pengetua Sekolah Menengah
Victoria dan Majlis Penyelidikan Pendidikan Australia.

Purata jam bagi kerja rumah setiap hari di negara-negara lain termasuk
Australia ialah 2, Kanada 2.2, Iran 4, Itali 3.6, Jepun 1.7, New Zealand 2, Rusia 3.1, Singapura 3.5 dan Amerika Syarikat 2.1.

Mendakwa pelajar "dibebani" kerja rumah yang tidak bermakna yang membawa kepada tekanan psikologi, Dr Carr-Gregg berkata isu itu lebih berat daripada isu buli di sekolah.

Kerja rumah membawa kepada tiada keyakinan diri, tekanan dan masalah pemakanan, katanya.

"Kesihatan mental terjejas akibat masa yang lama menggunakan komputer, berjaga malam untuk belajar dan senaman terhad kerana kesuntukan masa.

Dr Carr-Gregg berkata pelajar sehingga Tahun 9 patut dikecualikan daripada membuat kerja rumah dan dari Tahun 10 hingga 12, mereka patut menghabiskan masa maksimum 2 1/2 jam sehari.

Presiden Persatuan Pengetua-pengetua Sekolah Menengah Victoria, Andrew Blair, menyokong Dr Carr-Gregg.

"Kita terlalu menekan pelajar bagi alasan yang salah," katanya dalam akhbar Herald Sun.

Fellow kanan penyelidikan Majlis Penyelidikan Pendidikan
Australia, Sue Thomson berkata tiada bukti menunjukkan kerja rumah meningkatkan pencapaian.

"Kanak-kanak boleh berjaya melalui kurikulum di sekolah," katanya.