Tahukah anda bahawa setakat ini hanya 927 individu sahaja menerima darjah kebesaran, bintang dan pingat Persekutuan yang membawa gelaran Tun, Tan Sri dan Datuk daripada Yang di-Pertuan Agong.Daripada jumlah tersebut, sebanyak 34 menggunakan gelaran Tun, 424 Tan Sri dan 469 Datuk.
 
Butir-butir ini diberitahu oleh Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Johari Baharum sbagai menjawab soalan Tan Kok Wai (DAP-Cheras) di Dewan Rakyat Selasa yang ingin mengetahui mengenai darjah dan pingat seperti Datuk yang dikatakan dijual oleh sindiket dan individu tertentu .
 
Beliau memberitahu, kerajaan telah menetapkan kuota dalam pemberian darjah dan pingat kebesaran kepada individu iaitu SMN hanya diberikan kepada 25 orang, SSM (25 orang), PMN (75 orang), PSM (550), PJN (450 orang) dan PSD (200 orang).
 
Manakala ketika bercakap kepada para wartawan di lobi parlimen beliau menjelaskan pemberian darjah, bintang dan pingat kebesaran dibuat dengan ketat di mana setiap pencalonan akan ditapis oleh dua jawatankuasa.
 
Katanya ,``Tapisan pertama dilakukan oleh Jawatankuasa Khas di Jabatan Perdana Menteri yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan kemudian ditapis semula oleh Jawatankuasa Tetap Darjah Kebesaran Bintang dan Pingat Persekutuan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.
 
``Senarai nama individu yang telah disahkan oleh Perdana Menteri diserahkan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan Polis Diraja Malaysia bagi memastikan mereka berakhlak baik, bermoral tinggi dan bersih daripada melakukan jenayah.''