Sunday, October 10, 2010

KESETIAAN ADALAH SYARAT PERPADUAN.

MCA Ikrar Terus Setia Bersama BN

KUALA LUMPUR 10 Okt.- MCA berikrar akan terus setia sebagai parti komponen Barisan Nasional (BN) serta memberikan komitmen yang sepenuhnya dalam menjadikan BN sebagai sebuah parti pilihan rakyat.
Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata walaupun MCA mengambil pendirian berbeza dalam beberapa perkara namun komitmen parti itu terhadap perkongsian kuasa dalam BN yang dipegang lama dahulu tetap tidak berganjak.
“MCA tidak akan menjadi pengikut yang membuta tuli. Sebaliknya kita akan terus bersikap jujur dan ikhlas akan apa yang kita rasakan perlu untuk diperjuangkan demi kepentingan rakyat secara keseluruhannya,” katanya dalam ucapan dasar pada Perhimpunan Agung MCA kali ke-57 di Wisma MCA di sini, hari ini.
Justeru, katanya, kesetiaan MCA kepada BN dan komitmen mereka terhadap perkongsian kuasa tidak harus dipertikai.
Perhimpunan kali ini dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Ia turut dihadiri Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor serta barisan pemimpin parti komponen BN.
Dr Chua berkata parti politik kaum Cina terbesar itu juga akan terus mengetengahkan agenda politik dan menyelesaikan pelbagai isu yang melibatkan rakyat dengan bersungguh-sungguh agar terus relevan dalam arena politik negara.
Beliau menegaskan bahawa MCA akan terus komited dalam memperjuangkan nasib dan keperluan masyarakat Cina di negara ini serta akan terus menjadi suara rasmi mereka di dalam kerajaan.
Beliau juga menyatakan sokongan penuh MCA kepada kepimpinan Najib serta program transformasi yang dipelopori beliau dalam usaha menjana pertumbuhan negara ke arah pencapaian ekonomi yang lebih adil.
Dr Chua turut melahirkan ucapan penghargaan di atas sikap responsif Perdana Menteri kepada pelbagai dialog yang telah diadakan dengan MCA yang hasilnya adalah positif dan memberangsangkan.
Beliau menyifatkan pemimpin negara itu sebagai sangat bermurah hati dan proaktif terhadap cadangan-cadangan MCA ke arah masyarakat yang adil serta saksama.
Dalam pada itu, Dr Chua menyeru pemimpin parti untuk mula bersikap “menyerang” dan tidak hanya duduk “mempertahankan” pendirian masing-masing, seperti mengambil bahagian dalam sesi-sesi perdebatan intelek berkaitan isu utama melibatkan rakyat, dengan menggunakan medium komunikasi baru seperti Facebook, Twitter dan blog.
“Sebagai pemimpin, kita mestilah sentiasa respons kepada isu-isu semasa dengan pantas dan tidak hanya selepas semua orang memperkatakannya. Sentiasalah berada di barisan hadapan dan bukan sebagai pemerhati. Pastikan tindak tanduk kita betul dan sensitif kepada permasalahan rakyat,” katanya.
Beliau juga menggesa para pemimpin dan anggota parti untuk merapatkan semula barisan demi memastikan kejayaan BN pada Pilihan Raya Umum ke-13.
“Kita tidak boleh terus membuang masa bertengkar atau berhadapan dengan satu lagi konflik melainkan untuk terus bekerja keras dan menyusun strategi untuk memenangi semula hati rakyat. Jika kita tidak bersatu tenaga dan bergerak secara
bersama, kita tidak akan kekal di Putrajaya selepas pilihan raya,” katanya.
Dr Chua berkata MCA turut mensasarkan untuk mendaftarkan seramai 50,000 pengundi baru menjelang akhir tahun ini sebagai persediaan menghadapi PRU-13 tidak lama lagi.
Beliau berkata MCA telah memulakan kempen pendaftaran pengundi di setiap bahagian yang akan terus dipertingkatkan sehingga parti itu mencapai sasaran pengundi yang telah ditetapkan.
Katanya perhatian harus diberi kepada langkah-langkah yang berkesan untuk menarik lebih empat juta rakyat Malaysia berusia 21 tahun ke atas untuk berdaftar sebagai pengundi.
Dr Chua berkata para pengundi muda hari ini terdiri daripada golongan bijak dan mengutamakan idealisme perjuangan sebuah masyarakat yang adil dan sangat peka kepada soal-soal penyalahgunaan kuasa dan korupsi.
Beliau turut menyeru agar semua ahli politik tidak kira dari pihak kerajaan mahupun pembangkang untuk menolak kepimpinan yang bersifat ekstrem dan rasis.
“Jika BN terus mengambil jalan tengah dan berjuang atas fahaman politik yang mengambil kira nasib dan kepentingan semua kaum, saya yakin rakyat akan terus memberikan sokongan mereka kepada kepimpinan Perdana Menteri,” katanya.
Sementara itu Speaker Datuk Yik Phooi Hong mengumumkan seramai 1,764 daripada 2,369 perwakilan atau 74.46 peratus hadir pada perhimpunan hari ini.

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]