Apa masalahnya PAS menjadi Kapten Pakatan Rakyat? | Oct 12, 2010 12:33:24 pm Chua Soi Lek, Presiden MCA telah cuba memberi gambaran yang salah khususnya kepada masyarakat Cina berkenaan kemungkinan yang bakal berlaku sekiranya Pakatan Rakyat (PR) memerintah negara ini. Semasa berucap dalam Perhimpunan Agung MCA kali ke-57 pada hari Ahad 10 Oktober 2010, beliau telah menyatakan bahawa jika PR memerintah maka PAS akan menjadi kaptennya. PAS akan membawa dasar-dasar autokratik dan kembali kepada perjuangan asalnya. Ucapan ini disampaikan di hadapan Perdana Menteri, Mohd Najib Abd Razak yang merupakan Pengerusi Barisan Nasional serta para pewakilan MCA seluruh negara. Persoalannya, apa masalahnya jika PAS menjadi Kapten PR? Dasar PAS adalah Islam. Semenjak ditubuhkan 59 tahun dahulu hingga ke hari ini dasar PAS tidak pernah berubah. Islam adalah agama yang universal. Kebaikan yang dibawa oleh Islam adalah untuk seluruh manusia tidak kira agama mahupun bangsa. PAS berkeyakinan bahawa Islam diturunkan atas muka bumi ini adalah untuk menyelamatkan dunia ini daripada kehancuran akibat kerakusan manusia. Buktinya sekitar kampung Chua Soi Lek sendiri di Batu Pahat, masyarakat Cina boleh tinggal dengan selamat dan berniaga bersama orang Melayu yang beragama Islam. Bilangan masyarakat Cina tidak sampai 10% di perkampungan tersebut tetapi mereka boleh hidup selesa. Islam menjamin keselamatan semua umat manusia. Jika terdapat kelemahan bukanlah disebabkan oleh Islam tetapi disebabkan oleh penganutnya yang tidak melaksanakan Islam yang sebenar. Kemuliaan bangsa Melayu itu hanya apabila ia berpegang kepada Islam. Jika orang Melayu meninggalkan Islam maka kita akan dapat melihat kehancurannya. Berapa ramai orang Cina di Kelantan, Kedah dan Terengganu yang tertindas semasa pemerintahan PAS bersama Angkatan Perpaduan Ummah(APU), Barisan Altenatif(BA) dan Pakatan Rakyat (PR) daripada tahun 1990 hingga sekarang? Jika Islam itu zalim maka PAS sudah menindas masyarakat bukan Islam sejak tahun 1990. Jika Islam itu tidak bertamadun maka sudah beribu orang bukan Islam yang dibunuh oleh PAS. Islam melarang memaksa orang lain untuk menganut agama Islam. Hak memilih agama adalah hak masing-masing. Agama bukan untuk ikut-ikutan tetapi diikat dengan keyakinan teguh dalam hati yang ikhlas. Bagi Islam, tiada paksaan dalam agama. Namun apabila telah menganutnya, tiada pilihan melainkan wajib mengikut segala peraturan yang telah ditetapkan Allah. Islam menentang perkauman sempit. Islam melarang umatnya berlaku zalim dan menafikan hak orang bukan Islam. UMNO adalah parti perkauman. Chua Soi Lek (gambar kanan), jangan mengambil contoh pegangan agama Islam daripada UMNO. Sebahagian besar pemimpin UMNO gagal menunjukkan ciri-ciri Muslim yang sebenar. Sebelah tangan memegang Islam sementara sebelah tangan lagi menerima rasuah. Dalam Islam tidak boleh bercampur antara yang baik dengan yang jahat. Parti perkauman seperti UMNO tiada panduan yang jelas tetapi PAS jadikan Al-Quran dan kehidupan Nabi Muhammad sebagai panduan yang jelas. Ini termaktub dalam perlembagaan PAS. Tidak ada satu ayat Al-Quran yang menindas orang bukan Islam. Kalau Chua Soi Lek terjumpa satu ayat Al-Quran yang menindas orang bukan Islam sila kemukakan dengan segera. Dalam Islam tiada halangan bagi orang bukan Islam melaksanakan ibadat dan amalan masing-masing seperti meminum arak, memakan daging kinzir dan lain-lain. Pernahkah Chua Soi Lek melihat orang alim yang melarang penjualan daging khinzir kepada masyaraka Cina di kampung-kampung sekitar Batu Pahat? Mereka bebas melakukan aktiviti perniagaan ini. Itulah ajaran Islam sebenar. Islam hanya melarang penjualan barang terlarang seperti arak dan daging khinzir kepada orang Islam sahaja. Sekarang UMNO dan Barisan Nasional seolah-olah tidak dapat mengawal rasuah dalam negara. Penaik-tarafan BPR kepada SPRM tidak dapat membantu imej negara keluar daripada budaya rasuah. Dalam Islam rasuah boleh dihindari dengan menyemai perasaan takut kepada Allah S.W.T. Segala perbuatan kita mesti dirujuk kepada perintahNya. Umat Islam berkeyakinan segala perbuatan jahat akan dibalas dengan azab neraka apabila mati kelak. Semua orang tidak terlepas daripada mati. Oleh kerana UMNO mengamalkan dasar sekular yang mengasingkan urusan politik daripada agama maka perbuatan rasuah tidak dikaitkan dengan kemarahan Allah S.W.T dan seksaan api neraka. Secara automatik masyarakat Islam beranggapan rasuah itu tidak menjadi kesalahan yang membawa manusia masuk neraka. Sebab itu tidak mustahil umat Islam yang berfahaman sekular boleh memakai serban yang tebal tetapi tetap melakukan rasuah. Sebenarnya tidak banyak kos diperlukan untuk membanteras rasuah mengikut ajaran Islam sebenar. PAS mempunyai rekod yang jelas dalam isu rasuah ini. Tiada seorang pun EXCO PAS yang terlibat dengan rasuah di Kelantan, Terengganu dan Kedah. Bandingkan pula dengan UMNO, berapa ramai pemimpinnya terlibat dengan rasuah? Itulah bukti Islam sebenar yang dibawa oleh PAS dan bukan Islam sekular yang dibawa oleh UMNO. PAS didik pemimpinnya dengan Islam sebenar. Dengan Islam sebenarlah PAS dilihat mempunyai integriti yang tinggi. Orang bukan Islam khususnya masyarakat Cina menguasai ekonomi dalam negara ini. Islam menjamin harta-harta mereka. Islam melarang umatnya merampas harta orang bukan Islam. Islam juga melarang umatnya mencuri dan merompak harta orang bukan Islam. Jika mengikut ajaran Islam sebenar jenayah dapat dikurangkan. Negara kita sudah terlalu tepu dengan jenayah sehingga sangup membunuh dan membakar mayat manusia dengan begitu kejam sekali. Sejarah dunia telah membuktikan bahawa Islam dapat mengurangkan jenayah dalam sesebuah negara. Itulah bukti bawa Islam sebenar dapat mengatasi masalah jenayah dalam negara. PAS tidak mampu menggubal sebarang undang-undang Islam jika rakyat tidak menyetujuinya. Oleh itu PAS mengambil pendekatan mendidik terlebih dahulu terhadap prinsip-prinsip keadilan yang terdapat dalam Islam kepada seluruh rakyat Malaysia. PAS yakin suatu masa nanti rakyat Malaysia akan terbuka hatinya untuk menerima undang-undang Islam. Hati manusia sama ada yang beragama Islam atau sebaliknya adalah milik Allah S.W.T. Dialah yang membuka hati atau menutup hati rakyat Malaysia. PAS berserah sahaja kepada Allah S.W.T setelah berusaha mendidik rakyat memahami keadilan dalam Islam. PAS yakin suatu masa nanti mereka yang bernama Ah Chong atau Ramasami secara relahati memohon keadilan dalam Islam untuk melindungi nyawa, akal, harta dan keturunan mereka. Antara kegagalan UMNO dalam memerintah negara ini adalah gagalnya UMNO mendidik masyarakat Islam menjadi umat Islam yang cemerlang dalam pendidikan, ekonomi, sosial dan lain-lain. Statistik menunjukkan bahawa remaja Islam menjadi juara masalah sosial dalam negara. Dalam pencapaian akademik pula kualiti pelajar Islam lebih rendah daripada bukan Islam. Keadaan tidak seimbang inilah menyebabkan dasar afirmatif terpaksa dikenalkan sehingga ke hari ini. Sebenarnya dasar afirmatif sudah tidak diperlukan lagi jika kedudukan sosio-ekonomi semua masyarakat sudah seimbang. Islam yang sebenar mampu membina jatidiri remaja Islam sebenar. Buktinya sekolah-sekolah aliran agama Islam di negara ini menunjukkan prestasi akademik yang lebih baik dan tidak menghadapi masalah sosial yang besar dibandingkan sekolah yang bukan aliran Islam. Umat Islam yang hampir dengan Tuhannya dapat menghindarkan diri daripada gejala yang tidak bermoral. Oleh itu agenda utama PAS dan PR jika memerintah negara ini adalah membina hubungan mantap remaja dengan Tuhannya. Tentunya modalnya tidak sebesar Program Rakan Muda atau PLKN. Islam sebenar dapat menjaga nyawa, harta, keturunan dan akal fikiran manusia. Saya penuh yakin masyarakat bukan Islam lebih selamat bersama Islam sebenar. Mereka boleh mengundi PAS dan PR dalam pilihanraya akan datang. Jika masyarakat bukan Islam merasa tidak selesa dengan cara-cara PAS maka mereka boleh menyalurkan pandangan mereka kepada Dewan Himpunan PAS, DAP/PKR rakan sekutu PAS atau NGO yang berkaitan. Negara kita adalah sebuah negara demokratik. Tempoh lima tahun bukannya lama. Jika masyarakat bukan Islam tidak selesa dengan PAS dan PR maka pilihanraya seterusnya pilihlah UMNO-BN. Pada waktu ini, apakah masyarakat bukan Islam lebih rela bernaung di bawah UMNO-BN yang telah terbukti tidak mampu menjaga kepentingan rakyat Malaysia dengan peningkatan rasuah, jenayah, kemerosotan ekonomi dan sebagainya. Atau masyarakat bukan Islam perlu mencuba pemerintah baru yang menjanjikan pemerintahan yang lebih bertanggungjawab, telus, demokratik dan adil. Sebahagian usaha ini telah dilaksanakan di Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang. Chua Soi Lek pernah menjadi Exco Kanan Kerajaan Negeri Johor, Ahli Parlimen Labis dan Pengerusi MCA Batu Pahat. Sudah tentunya beliau mendapat gambaran Islam daripada daripada Muhyidin bin Mohammad Yassin (Timbalan Perdana Menteri), Hishamuddin Hussein (Menteri Dalam Negeri) dan Abd. Ghani Othman(Menteri Besar Johor). Saya kira Chua Soi Lek belum mendapat gambaran Islam sebenar daripada PAS khususnya PAS Johor. Saya mencadangkan kepada beliau agar mendapatkan maklumat Islam sebenar daripada anak-anak Johor seperti Mahfoz Muhammad (Pesuruhjaya PAS Johor), Sallehuddin Ayub (Naib Presiden PAS) dan Mazlan Alman (AJK PAS Pusat) dan lain-lain lagi. Mungkin adalah lebih mudah berbicara tentang Islam yang sebenar sesama anak Johor sendiri. *Tulisan blog oleh Suhaizan Bin Kaiat, selaku Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat. PANDANGAN PENULIS : DAH BACA JANGAN TERUS PERCAYA : FIKIR DULU.... |
Thursday, October 14, 2010
LUAR LINGKARAN : Apa masalahnya PAS menjadi Kapten Pakatan Rakyat?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
KIRIM PESANAN ANDA
No comments:
Post a Comment