Kuota kerusi PRU: Umno, usah bawa idea hakis undi BN October 23, 2010 ANALISIS, 23 Okt — Dalam mesej Twitter pagi tadi, Ketua Pemuda MCA Datuk Dr Wee Ka Siong berkata, “(saya) berharap Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri akan menyampaikan ucapan penggulungan yang baik pada hari terakhir Perhimpunan Agung Umno.” Apa yang dimaksudkan dengan “ucapan penggulungan yang baik” tidak pasti.Bagaimanapun membaca mesej yang tersirat, Timbalan Menteri Pelajaran ini kemungkinan ingin melihat kedua-dua pemimpin nombor satu dan dua Umno akan menyampaikan amanat penghujung perhimpunan yang akan terus mengekalkan keyakinan rakyat keseluruhan khususnya parti-parti komponen bahawa Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah pemimpin untuk setiap rakyat, bukan Umno semata-mata. Perhimpunan Agung Umno yang masuk hari terakhir hari ini disambung semula pagi ini dengan pembentangan usul agama dan pendidikan. Berdasarkan hasil perbahasan sejak Rabu lalu, pengertian di sebalik mesej pemimpin MCA ini bukan sesuatu yang sukar untuk difahami. Malam tadi, beliau antara lain menyebut bahawa Barisan Nasional (BN) tidak harus bercakap mengenai peruntukan kerusi buat masa sekarang. “Ia tidak akan membantu untuk mendapatkan lebih banyak undi bagi BN. Topik ini seharusnya dibincangkan bersama oleh komponen BN termasuk pengerusi BN,” kata Wee lagi. Ia antara pandangan yang dizahirkan menerusi Twitter sebaik sahaja wakil Negeri Sembilan semalam menyarankan agar kuota pembahagian kerusi BN dikaji semula bagi menjamin kemenangan dalam pilihan raya umum akan datang. Timbalan Ketua Umno Bahagian Jelebu Datuk Jalaluddin Alias ini menegaksan bahawa sesebuah kawasan itu calon popularnya adalah orang Melayu, meskipun kerusi itu dimiliki oleh parti komponen lain, calon Umno perlu diletak untuk bertanding bagi memperolehi kemenangan. “Untuk menebus “pertukaran kerusi” itu, calon yang tidak bertanding pula masih boleh dilantik ke jawatan Menteri dan Timbalan Menteri dengan pelantikan sebagai senator,” kata beliau ketika membahaskan usul ucapan dasar presiden Perhimpunan Agung Umno 2010 semalam. Selain itu, Jalaluddin berkata peringkat akar umbi juga perlu diberikan peluang dalam menentukan calon yang akan bertanding untuk sesebuah kawasan. Wakil Umno mempunyai alasan sendiri mengapa membawa idea berkenaan ke pertemuan tahunan parti utama BN itu. Malah, sebelum ini pun sudah ada pandangan sesetengah pihak bahawa kuota itu wajar disemak semula khususnya bagi kawasan yang jelas majoriti penduduknya orang Melayu. Berdasarkan amalan sekarang ada sebilangan kawasan yang penduduknya majoriti Melayu tetapi masa pilihan raya calon MCA, MIC atau Gerakan yang bertanding. Situasi ini adakalanya dianggap mencetuskan protes sehingga mereka memangkah kepada pembangkang. Seorang lagi pengikut perhimpunan tahunan Umno, yang dikenali sebagai Kevinctg berkata, “jika Umno mahu MCA memenangi pilihan raya umum ke-13, mereka mesti melakukan perubahan, jangan jadi hero rasisme untuk meningkat naik.” Katanya lagi, “daripada kajian yang dilakukan, 80 peratus suka dengan perkhidmatan MCA, Masalah besar mereka kecewa apabila MCA duduk diam apabila diserang oleh puak pelampau.” “MCA tidak perlu menarik diri daripada BN, kita hanya perlu mengenal pasti pihak yang ekstrem, undi keluarkan mereka dalam pilihan raya umum ke-13, hanya kekalkan yang terbaik dalam Umno,” kata beliau yang turut menulis bahawa “setiap kali anda menyerang, MCA akan hilang undi, khanys undi Cina.” “Tolong jaga perasaan dan undi MCA. Jadi kamu jadi hero dan kami yang menderita,” kata beliau yang menerima respons seorang pengguna Twitter bernama jwong1208 bahawa, “terdapat juga pemimpin-pemimpin baik dalam Umno, yang sememangnya sangat baik sebagai contoh Ahli Parlimen Tambun.” Pengguna Twitter atas nama “ahmadlatif” berpendapat “kawasan majoriti Melayu harus diberi kepada Umno untuk bertanding.” Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang antara lain menjadi ‘serangan’ perwakilan Umno menekankan “Perhimpunan Agung Umno seharusnya memfokus ke atas usaha memperbaiki hubungan.” Awal bulan ini, Naib Presiden Umno Datuk seri Hishammuddin Hussein juga berkata, kuota pengagihan kerusi dalam pilihan raya akan datang antara parti komponen BN perlu dikaji semula secara menyeluruh dengan mengambil kira keadaan politik semasa sebagai jaminan mendapatkan sokongan rakyat. Menteri Dalam Negeri ini juga berpendapat perubahan itu perlu kerana landskap politik negara sentiasa berubah dan BN perlu bertindak berani mengikut keperluan semasa bagi menjamin kemenangan parti gabungan itu. Hishammuddin menekankan bahawa keputusan pilihan raya umum ke-12 tidak menggambarkan situasi sebenar kemahuan pengundi yang diterjemahkan melalui keputusan pilihan raya. Pada 8 Mac 2008, BN dinafikan penguasaan kerusi majoriti di Parlimen — kali pertama dalam sejarah pilihan raya negara ini. Berbanding 198 kerusi Parlimen dikuasai pada 2004, BN hanya mempertahankan 140 kerusi dua tahun lalu. Bakinya dimenangi oleh pembangkang — prestasi terbaik ikatan pembangkang sejak lima dekad lalu. MCA, MIC, Gerakan dan PPP menyaksikan kekalahan teruk. Selain itu, lima negeri pula dikuasai oleh Pakatan Rakyat. Di kalangan komponen BN di Semenanjung, Umno hanya memperoleh 78 kerusi, MCA (15), MIC (tiga) dan Gerakan (dua) manakala PPP kalah di satu kerusi yang ditandinginya. Parti MCA dilaporkan hanya memperoleh kira-kira 10 peratus undi popular, MIC mendapat dua peratus dan Gerakan tidak sampai dua peratus. Dua tahun lalu pemerhati melihat bahawa ia jelas membuktikan bahawa para pengundi Cina dan India secara terang-terangan menolak wakil-wakil daripada ketiga-tiga parti itu. Ia hanya memenangi 15 daripada 40 kerusi Parlimen yang ditandinginya sedangkan pada pilihan raya 2004 mereka menang 31 kerusi. MCA diberi kuota empat menteri, sembilan timbalan menteri dan empat setiausaha parlimen manakala MIC pula diberi satu jawatan menteri, tiga timbalan menteri dan dua orang setiausaha parlimen manakala Gerakan pula seorang menteri, tiga timbalan menteri dan dua setiausaha parlimen. Tetapi senario ini mengalami perubahan dua tahun lalu. Selain ketiadaan kuasa tawar-menawar, ketiga-tiga parti berkenaan juga ‘tidak cukup calon’ untuk mengisi kuota jika kuota 2004 diambil kira. Misalnya, MCA hanya mempunyai 15 kerusi Parlimen sedangkan kuota lama mereka adalah sebanyak 17 jawatan Kabinet dan kerajaan. Begitu juga MIC. Ketika mengulas isu ini beberapa minggu lalu, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat pemimpin-pemimpin politik perlu menilai ada kebaikan dan ada keburukannnya jika dikaji semula kuota pembahagian kerusi kalangan komponen BN mengikut komposisi kaum. “Ia ada kebaikan dan keburukan... kalau orang India sudah tentu tidak ada satupun kawasan yang mereka majoriti. “Tetapi kita sanggup bagi dan kita sokong manakala kaum India yang menjadi minoriti pula akan beri sokongan pada Umno, MCA atau Gerakan,” kata bekas presiden Umno ini. BN selama ini bergerak atas semangat kesepakatan. Dalam usaha Najib selaku Pengerusi BN mengamalkan pendekatan-pendekatan proaktif dan dinamik dalam mendapatkan sebanyak undi dalam pilihan raya umum ke-13, idea-idea mengkaji semula sistem kuota sememangnya tidak sesuai dengan persekitaran semasa. Salah satunya ialah konsep 1 Malaysia yang ditekankan Najib dalam pentas-pentas politik sepanjang 18 bulan lalu. Ia sebenarnya boleh membawa risiko menjauhkan pengundi bukan Umno. Selama ini komponen-komponen BN bergerak atas semangat kesepakatan BN. Jangan ukur hanya kerana prestasi dua tahun lalu. Setiap parti dalam BN - tidak kira Umno, MCA atau MIC pernah berhadapan dengan krisis dan masalah, sekali gus menyebabkan sokongannya mengalami gelombang turun naik. Cuba lihat sejarah pilihan raya umum yang terdahulu. Ia akan menjadi cermin dan bukti. Ada pemimpin BN yang mengucapkan terima kasih kepada orang Melayu dan Umno, dan begitulah sebaliknya atas sokongan yang diberikan. Kenyataan terbuka Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu ekoran keputusan pilihan raya 1990 adalah buktinya. Dalam satu reaksi sebelum ini, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin pernah bersetuju dengan idea sistem kuota dikaji semula. Bagaimanapun ucapan beliau pada Persidangan Agung Tahunan Pemuda Rabu lalu boleh direnung di sini dalam melihat kepentingan menghargai semangat sepakat yang diwarisi BN selama ini. Ketua Pemuda BN ini berkata, tidak ada parti Melayu — baik Umno mahupun PAS — yang boleh mendapat seratus peratus undi Melayu. Di kebanyakan kawasan, perpecahan politik orang Melayu adalah 50 peratus di satu pihak dan 50 peratus di pihak yang lain. Ini bermakna siapa sahaja yang mahu menang mestilah menang dengan sokongan dari semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama, kata Ahli Parlimen ini. “Kalau kita mengharapkan undi orang Melayu semata-mata, kita harus ingat bahawa hanya 73 kerusi Parlimen sahaja yang mempunyai majoriti dominan Melayu 70 peratus ke atas. Inilah hakikat dan realitinya. “Kita harus belajar dari keputusan pilihan raya umum yang lalu di mana jelas kita hampir kalah sebab hilang sokongan bukan Melayu. “Sekiranya kita masih lagi berkhayal bahawa kita boleh menang tanpa sokongan mereka, 50 kerusi Parlimen BN yang sedia ada berada dalam bahaya. Sekiranya tidak ada usaha untuk mengamal kepimpinan yang inklusif lagi moderat, kepimpinan Melayu Umno akan hilang pada pilihan raya akan datang umpama pepatah Melayu bagai pintu tak berpasak, perahu tak berkemudi,” katanya. Sebagaimana diperkatakan oleh beliau, sudah tentu tanggungjawab utama menarik sokongan bukan Melayu terletak atas bahu parti-parti komponen tertentu. Segala kelemahan yang ada perlu diatasi dengan segera dan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada mereka perlu dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh. Jadi, Umno tidak harus terburu-buru dalam meminggirkan parti bukan Umno dengan meminta menyerahkan kerusi yang telah kalah. Umno juga tewas di banyak kawasan dua tahun lalu. Meminjam kata-kata Khairy, dalam menerima “naratif baru politik dan ekonomi”, Umno dan kesemua komponen perlu terus berfikir panjang. Jika tidak, yang untung bukan Umno dan BN, tetapi Pakatan Rakyat yang bercita-cita dan sedang menyusun strategi dengan sifat keterbukaan untuk menuju ke Putrajaya. Umno jangan ke belakang, tetapi terus terima komponen BN dengan memberikan teguran, bukannya meminggirkan mereka dalam suasana masing-masing memerlukan antara satu sama lain. Jangan pula harapan Presiden Umno rosak dan terjejas kerana idea perwakilan Umno yang tidak kondusif. |
Sunday, October 24, 2010
MELETAKKAN CALON YANG MENANG BUKAN POPULAR....PRU 13
Label:
PRU 13
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
KIRIM PESANAN ANDA
No comments:
Post a Comment