Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan ucapan dasar Presiden UMNO hari ini tepat pada masanya bagi menjelas dan memperingat perjanjian yang sekian lama didokong antara pelbagai kaum dalam negara ini. Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan dasarnya bertajuk “Mendaya Bangsa Menuju Kemakmuran” antara lain berkata kedudukan dan hak-hak Melayu dilindungi sepenuhnya serta "terkunci kemas" dalam Perlembagaan Persekutuan tanpa dapat digugat lagi. Menurut Dr Mahathir, isi kandungan ucapan Najib itu penting bagi rakyat patuh kepada perkara-perkara dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan yang tidak boleh diubah tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja. "Kita telah mempunyai satu formula yang berjalan dengan baik selama 50 tahun. Mengapakah kita mahu menukarnya? Mengapakah anda mahu menimbulkan ketegangan antara kaum," katanya. Jelas Dr Mahathir lagi, mereka yang cuba meminda Perlembagaan Persekutuan sebenarnya tidak faham mengenai isi kandungannya. ”Sejak dahulu lagi, jika ada pihak yang hendak membuat perubahan ia tidak dibenarkan kerana perkara itu akan menimbulkan pertentangan antara kaum-kaum,” katanya ditemui selepas menghadiri perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2010 pagi ini. Menurut beliau, jika rakyat Malaysia berpegang kuat kepada perjanjian asal, yang dipersetujui oleh pemimpin daripada pelbagai kaum sewaktu merdeka dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, tidak akan ada pertikaian hak. Sementara itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan ucapan Najib sebagai "ucapan penyedar" terhadap isu-isu Perlembagaan, kedudukan orang Melayu dan sebagainya yang kini "menampakkan wujudnya kekeliruan dan kecelaruan" dalam perbincangan. "Tapi hari ini Presiden UMNO telah menjelaskan, dan saya percaya akan ada satu kesedaran mengenai situasi itu, jadi (tidak ada sebab) kita timbulkan perkara-perkara yang nak menakut-nakutkan, nak memomok-momokkan," kata bekas Perdana Menteri. Abdullah berkata dengan kesedaran itu, ia akan menghindar pelbagai perbalahan yang mungkin timbul kerana tidak adanya pemahaman mengenai apa yang dimaktub dalam Perlembagaan. "Inilah perkata yang kita namakan klausa gagasan politik yang telah berakar umbi dalam Perlembagaan Persekutuan... ertinya apa yang ada dalam Perlembagaan itu dimeteraikan dengan diadakan perjanjian dahulu serta diadakan muafakat pada masa itu antara semua pemimpin-pemimpin kaum," katanya. -21/10/2010 |
Sunday, October 24, 2010
Komen dua bekas PM terhadap ucapan Najib…
Label:
PAU 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
KIRIM PESANAN ANDA
No comments:
Post a Comment