BERLAPANG DADA DAN MINDA TERBUKA DEMI AGAMA, BANGSA DAN NEGARA.
Pergerakan Pemuda UMNO sebagai sayap atau lebih tepat penerus perjuangan UMNO sebagai wadah membela nasib dan masa depan orang Melayu.
Di bahu kalangan ahli Pemuda UMNO ialah amanah daripada pemimpin terdahulu serta generasi akan datang dalam memastikan teras perjuangan UMNO tidak sesekali diabaikan.
Mereka juga memikul tanggungjawab yang besar dalam menentukan kelangsungan perjuangan parti dan bangsa untuk satu tempoh yang panjang kerana di kalangan merekalah akan lahirnya penerus kepada kepimpinan parti dan juga negara.
Beban dan tanggungjawab besar yang digalas oleh Pemuda UMNO itu menyebabkan sayap parti ini sering menjadi tumpuan serta tidak kurang juga kritikan. Perhatian paling utama ialah sejauh mana sayap parti itu berjaya mendekatkan teras perjuangan UMNO di kalangan generasi muda?
Perkara ini menjadi sesuatu yang kritikal dan serius kerana sejak kebelakangan ini, UMNO dan generasi baru seolah-olah tidak mempunyai hubungan atau kaitan langsung.
Generasi muda yang merupakan kumpulan majoriti dalam pecahan pengundi dilihat masih lagi cenderung dan terpengaruh dengan pembangkang. Ini adalah satu kerugian kerana trend sokongan generasi muda terhadap pembangkang itu sebenarnya tidak lagi begitu menonjol seperti ketika pilihan raya umum 2008.
Seharusnya dalam situasi seperti ini, Pemuda UMNO mengambil langkah yang agresif dan lebih pantas dalam menarik kembali kepercayaan di kalangan pengundi muda.
Perkara ini turut mendapat perhatian beberapa pemerhati politik tempatan antaranya pensyarah di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kampus Dungun, Terengganu, Che Hamdan Che Mohd Razali. Kata beliau, peranan Pemuda UMNO dalam membentuk generasi muda pada hari ini bukan saja untuk kepentingan UMNO tetapi dalam memastikan golongan itu tidak tergelincir dalam arus politik dan pembangunan negara.
Namun begitu, apa yang dapat disimpulkan pada hari ini ialah wujudnya satu jurang di antara pemimpin atasan dan juga pemimpin bawahan serta akar umbi.
Sewajarnya, pengurusan politik dalam Pemuda UMNO perlu memastikan pemimpin mereka tidak terlalu jauh ke hadapan dalam melaksanakan misi dan visi. Ini kerana, ia berkemungkinan akan menyebabkan pemimpin bawahan tertinggal jauh dalam memenuhi aspirasi perjuangan.
''Dari segi kepimpinan, hal ini perlu dijadikan keutamaan agar kelompok yang dipimpin sentiasa merasai wadah yang diperjuangkan sentiasa dekat dengan mereka," katanya.
Seiring dengan perkembangan politik semasa, pemuda UMNO perlu sentiasa bergerak seiring dengan pemimpin atasan. Namun, dalam konteks ini, mereka perlu berpijak pada realiti politik tempatan.
Apabila pemimpin Pemuda sering melaungkan isu-isu yang global seperti ke arah liberalisasi ekonomi dan politik, masalah pokok yang dihadapi oleh kelompok bawahan seperti taraf hidup yang tidak seimbang dengan kos sara hidup seolah-olah dipinggirkan. Ini bakal menyaksikan perjuangan yang tidak selari dengan tuntutan ahli.
Oleh itu, Pemuda perlu merakyatkan pergerakan sayap UMNO ini dengan melihat kehendak sebenar golongan muda. Selain itu tambah Che Hamdan, penekanan harus diberikan kepada isu-isu pendidikan, kemiskinan luar bandar dan tidak kurang pentingnya kesedaran politik.
Pemuda UMNO perlu memberikan kefahaman tentang kepentingan penyertaan golongan muda dalam politik dan juga pemahaman terhadap konsep kenegaraan Malaysia pada hari ini. Ia meliputi kedudukan agama Islam, orang Melayu dan bumiputera serta hak dan tanggungjawab yang digariskan dalam perlembagaan.
Dalam masa yang sama tambah Che Hamdan, Pemuda tidak perlu terlalu agresif dalam meraih sokongan kaum lain kerana kesederhanaan dalam memberikan kefahaman kepada kaum bukan Melayu tentang hasrat dan perjuangan Melayu lebih mudah untuk diterima.
''Kita tidak mahu menyaksikan golongan muda yang menjadi wira dalam isu-isu tertentu tetapi pada masa yang sama tidak mampu memenuhi aspirasi perjuangan sebenar parti yang dipimpin," katanya.
Dalam hal ini, perlu ada keseimbangan antara jati diri Melayu dan kepekaan terhadap tuntutan politik semasa. Pemuda UMNO mesti menjadi orang yang jelas dengan semangat membela bangsanya. Semangat itu tidak boleh dikompromi. Tetapi dalam masa yang sama, Pemuda UMNO juga seharusnya berani menongkah arus dalam memberikan maklum balas terhadap isu semasa yang tidak memerlukan mereka terikat dengan faktor etnik semata-mata.
Dalam mengambil pendekatan popular misalnya, ia tidak bermaksud Pemuda UMNO perlu meninggalkan identiti kemelayuan. Sebaliknya, Pemuda UMNO perlu tampil dengan memperlihatkan satu bentuk jati diri sebagai seorang pemuda Melayu yang juga boleh menerima etnik lain.
Seperkara yang perlu jelas dalam Pemuda UMNO juga ialah garis pemisah antara perjuangan berbentuk peribadi dan perjuangan demi parti. Ada persepsi yang teguh di kalangan orang ramai terutamanya generasi baru hari ini yang melihat Pemuda UMNO hanyalah platform kepada individu yang bercita-cita besar untuk mengejar keuntungan dan kepentingan peribadi.
Persepsi ini tidak hanya timbul di kalangan pemimpin atasan. Di peringkat yang lebih awal seperti Bahagian dan Cawangan juga, platform Pemuda sering menjadi persoalan. Dalam hal ini, Pemuda UMNO tidak mempunyai pilihan melainkan memastikan pemimpin pelapis yang ada benar-benar merupakan individu yang profesional.
Maksudnya, individu yang diketengahkan sebagai wajah Pemuda UMNO perlulah merupakan tokoh yang tidak mempunyai pertindihan antara kepentingan peribadi dengan perjuangan parti. Soal integriti Pemuda UMNO ini penting kerana sebagai pewaris kepimpinan parti, merekalah nanti yang bakal menentukan sama ada usaha menghapuskan budaya kronisme dan rasuah dalam parti menjadi kenyataan atau indah khabar dari rupa.
Tambah Che Hamdan, Perhimpunan Agung UMNO pada kali ini juga seharusnya menjadi peluang kepada Pemuda UMNO untuk membawa usul yang benar-benar mewakili akar umbi di kawasan mereka.
''Walaupun terdapat isu-isu yang mungkin tidak disenangi oleh pemimpin atasan, namun atas kepercayaan bahawa penilaian rakyat lebih penting, maka Pemuda perlu lebih berani," katanya.
No comments:
Post a Comment